Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tidak dilanda jerebu meski terdapat kebakaran hutan di Sumatera

Jul 23, 2025 | 2:09 PM
jerebu, singapura, sumatera, nea
Situasi titik panas dan jerebu di rantau ini dijangka bertambah baik kerana cuaca lebih lembap diramalkan akan kembali menjelang hujung minggu ini, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). Gambar menunjukkan keadaan berjerebu di Singapura pada 26 Mac. - Foto fail

Singapura tidak terjejas dengan jerebu rentas sempadan meskipun kepulan asap dikesan di Sumatera sejak beberapa hari lalu.

Ini kerana angin kerap bertiup dari arah tenggara merentasi Singapura dan kawasan sekitarnya, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 22 Julai.

Keadaan titik panas dan jerebu serantau juga dijangka bertambah baik kerana cuaca lebih lembap diramalkan akan kembali menjelang hujung minggu ini, kata NEA dalam respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST).

Kebakaran yang semakin teruk di kawasan hutan dan tanah gambut di Sumatera telah menyebabkan wilayah barat Indonesia itu berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, bilangan titik panas – iaitu kawasan dengan tahap kepanasan tinggi yang menjadi petanda kebakaran hutan – di Sumatera meningkat daripada 94 kepada lebih 1,000 dalam tempoh 10 hari pada Julai.

Dua daerah di wilayah Sumatera Barat – Solok dan Lima Puluh Kota – yang melaporkan lebih banyak titik panas telah mengisytiharkan keadaan darurat pada 22 Julai.

Pencemaran jerebu di kawasan tersebut telah merebak ke Malaysia, yang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara tidak sihat di empat lokasi pada 22 Julai, lapor ST.

Menyusuli keadaan yang semakin meruncing, Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) yang berpusat di Singapura, telah menaikkan tahap amaran jerebu rentas sempadan di rantau ini kepada tahap dua pada 19 Julai, yang menandakan peningkatan risiko jerebu rentas sempadan.

Dalam kemas kini tahap amaran di laman webnya, ASMC berkata: 

“Keadaan cuaca kering yang berterusan di rantau Asean selatan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan peningkatan jumlah titik panas dan asap jerebu.”

Pusat itu juga memaklumkan bahawa pemantauan satelit menunjukkan asap jerebu sederhana yang berasal dari kelompok titik panas yang dikesan di bahagian tengah Sumatera dan beberapa jerebu rentas sempadan dilihat sedang bergerak ke arah barat Semenanjung Malaysia.

Masalah kebakaran hutan tahunan di Indonesia sering menimbulkan ketegangan antara negara itu dengan negara-negara jirannya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, asap daripada kebakaran tersebut telah menyelimuti sebahagian kawasan di Indonesia, Singapura, Malaysia dan selatan Thailand.

Menurut NEA lagi, musim kering bagi rantau Asean selatan dijangka berterusan sehingga Oktober. 

Sepanjang tempoh ini, rantau tersebut mungkin mengalami keadaan kering dan jumlah titik panas serta keadaan asap jerebu mungkin meningkat dari semasa ke semasa.

Bergantung pada keadaan tiupan angin, risiko jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Singapura juga mungkin meningkat, tambah NEA.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa mereka sedang memantau keadaan cuaca dan jerebu serantau dengan teliti, serta menyediakan kemas kini harian menerusi laman web Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dan laman jerebu haze.gov.sg.

Orang ramai juga boleh merujuk kemas kini di laman web ASMC di https://asmc.asean.org/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg