JAKARTA: Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli ke Singapura sebanyak 31 bilion unit terma British sehari (BBTUD) bermula 24 Oktober, ketika pemerintah Presiden Prabowo Subianto bertindak memberi keutamaan kepada keperluan tenaga domestik di tengah-tengah kebimbangan berhubung keselamatan tenaga.

Pengurangan yang menjejas bekalan gas yang disalurkan menerusi paip dari Natuna dan Sumatra, berlaku hanya beberapa hari selepas Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, membangkitkan kemungkinan untuk menghentikan eksport gas ke negara-negara jiran.

Badan pengawal selia minyak dan gas Indonesia, SKK Migas, menyatakan jumlah eksport dikurangkan 15 BBTUD, manakala 16 BBTUD lagi akan dipotong daripada bekalan yang berasal dari Sumatra, lapor The Straits Times yang media Indonesia pada 24 Oktober.

Ketua SKK Migas, Encik Djoko Siswanto, berkata bahawa pengurangan tersebut berkuat kuasa mulai 24 Oktober, dengan potongan di Sumatera berasal dari medan gas Jambi Merang.

Beliau yang bercakap di luar majlis anugerah industri tenaga di Jakarta pada 23 Oktober, menambah bahawa potongan tersebut hanya akan menjejaskan Singapura kerana saluran paip eksport berkenaan disambungkan terus ke negara kota itu.

Pengurangan tersebut adalah bersamaan dengan kira-kira lapan peratus daripada gas paip yang dieksport ke Singapura pada 2024, berdasarkan angka daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA).

Agensi tersebut menyatakan bahawa Indonesia mengeksport kira-kira 4.11 bilion meter padu gas ke Singapura pada tahun berkenaan, walaupun masih tidak jelas sejauh mana kadar potongan terbaru ini mewakili keseluruhan bekalan semasa.

Indonesia telah merancang untuk mengurangkan eksport gas ke Singapura sejak beberapa tahun lalu bagi menampung permintaan domestik yang semakin meningkat. Pada 2022, Jakarta bersetuju untuk melanjutkan bekalan gas tetapi dengan jumlah lebih rendah ke Singapura hingga 2028.

Pada April 2025, Encik Djoko berkata Indonesia merancang untuk memotong eksport gas dari Sumatera ke Singapura, sambil menggunakan bekalan dari Natuna untuk menampung pengurangan tersebut, lapor Reuters.

Bulan berikutnya, syarikat tenaga Indonesia, MedcoEnergi, menandatangani perjanjian pertukaran gas dengan pembeli daripada Singapura iaitu Sembcorp Gas dan Gas Supply, bagi membolehkan lebih banyak gas dari Sumatera dialihkan untuk kegunaan domestik.

Bagaimanapun, pengumuman terkini melibatkan potongan daripada kedua-dua wilayah, iaitu Sumatera dan Natuna.

Langkah ini juga susulan kenyataan yang semakin tegas daripada Encik Bahlil mengenai keperluan untuk melindungi sumber tenaga Indonesia dan mengutamakan penggunaan domestik.

“Saya juga mungkin berfikir untuk tidak melanjutkan eksport gas ke negara jiran kerana kita perlu bertahan dan memenuhi keperluan domestik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet di Jakarta pada 21 Oktober.

Pengurangan tersebut juga susulan amaran oleh Encik Bahlil bahawa Indonesia mungkin berhenti mengeksport tenaga ke negara-negara yang gagal menunjukkan rasa hormat kepada Indonesia.