Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia lancar dana pelaburan Danantara bagi urus aset negara

Danantara mirip Temasek di S’pura, Prabowo lahir harapan ia dapat bantu Indonesia capai sasaran pertumbuhan ekonomi 8%
Feb 24, 2025 | 5:30 AM
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengesahkan bahawa pelancaran Badan Pengurusan Pelaburan Daya Anagata Nusantara (Danantara) akan diadakan pada 24 Februari. Lembaga itu diharap dapat menjadi pengurus pelaburan strategik yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Indonesia secara mampan.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengesahkan bahawa pelancaran Badan Pengurusan Pelaburan Daya Anagata Nusantara (Danantara) akan diadakan pada 24 Februari. Lembaga itu diharap dapat menjadi pengurus pelaburan strategik yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi Indonesia secara mampan. - Foto SEKRETARIAT PRESIDEN

JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto mengumumkan bahawa pemerintah akan melancarkan Badan Pengelola Investasi Daya Anagata Nusantara (Danantara) pada 24 Februari 2025.

Ia merupakan sebuah dana kekayaan berdaulat yang akan mengurus aset bernilai AS$900 bilion ($1.2 trilion)

“Kami sedang bersiap untuk melancarkan Danantara Indonesia, institusi dana kekayaan berdaulat terbaru yang menurut penilaian awal kami akan mengurus lebih AS$900 bilion dalam aset.

“Pelancarannya akan berlangsung pada 24 Februari,” kata Encik Prabowo pada 13 Februari.

Menurut beliau, Danantara akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sumber semula jadi dan aset negara bagi projek mampan yang memberi kesan besar dalam pelbagai sektor.

Sektor itu termasuk tenaga boleh diperbaharui, industri pengilangan berteknologi tinggi, hiliran dan pengeluaran makanan.

Encik Prabowo berharap Danantara dapat membantu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi Indonesia sebanyak 8 peratus.

Dana permulaan bagi projek itu dianggarkan mencecah AS$20 bilion.

“Saya fikir ini adalah langkah transformasi besar. Kami merancang untuk memulakan sekitar 15 hingga 20 projek bernilai berbilion dolar yang akan memberikan nilai tambah yang ketara kepada negara kita,” katanya.

Pada 4 Februari, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia meluluskan rang undang-undang untuk meminda undang-undang Badan Usaha Milik Negara (BUMN) yang akan menjadi landasan bagi penubuhan Danantara, sebuah badan pengurusan pelaburan negara yang pertama di Indonesia, mirip dengan model Temasek di Singapura.

Badan ini turut berperanan sebagai pengurus pelaburan negara dengan mandat menyusun dan mengawal selia BUMN di Indonesia, yang memiliki aset melebihi 10 kuadrilion rupiah ($802 bilion), sekali gus menjadikannya lebih strategik dalam pelaburan domestik dan di peringkat sejagat.

Menurut draf pindaan undang-undang yang diterbitkan pada 16 Januari, Danantara akan bekerja rapat dengan Kementerian BUMN untuk mengawasi dan mengurus syarikat milik negara.

Danantara akan bertindak sebagai pengurus utama BUMN, dengan modal awal sekurang-kurangnya 1 kuadrilion rupiah.

Walaupun akan beroperasi secara autonomi, peranan Menteri BUMN, Encik Erick Thohir, masih dikekalkan sebagai pemegang kuasa pengawasan utama.

Menteri BUMN akan berfungsi sebagai ketua dewan pengawas Danantara, dengan kuasa memberikan tugasan dan menyiasat entiti di bawah agensi tersebut.

Selain itu, Danantara akan menguruskan dividen daripada syarikat pegangan pelaburan, syarikat induk utama, serta BUMN yang berada di bawahnya.

Sebahagian keuntungan yang diperoleh boleh diagihkan kepada belanjawan negara selepas mengambil kira risiko pelaburan dan keperluan pengukuhan modal.

Struktur dan Fungsi Danantara

Salah satu unsur utama dalam struktur baru itu adalah pengagihan tugas antara Danantara dengan Kementerian BUMN.

Danantara akan memiliki dua syarikat induk besar yang masing-masing memberi tumpuan kepada pengurusan operasi BUMN dan penciptaan nilai.

Menurut penganalisis dari Universiti Indonesia, Dr Toto Pranoto, struktur itu akan menjadikan Danantara sebagai agensi utama yang melaksanakan pengurusan BUMN, manakala peranan Menteri BUMN terbatas kepada penyeliaan melalui lembaga pengawas.

“Semua keputusan korporat, termasuk pelantikan lembaga pengarah dan ahli lembaga pengarah akan berada di bawah mandat Danantara.

“Jika pemerintah ingin membantah mana-mana keputusan, Menteri BUMN masih memegang kuasa veto kerana beliau adalah pemegang saham pemerintah,” jelas Dr Toto.

Namun, sistem itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan kepimpinan berganda dalam pengurusan BUMN yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dan ketidakcekapan.

Pengarah ekonomi digital dari Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Encik Nailul Huda, menekankan bahawa peranan Menteri BUMN yang kekal dalam struktur baru adalah jalan tengah politik yang sukar dielakkan.

“Erick Thohir masih Menteri BUMN, dan tidak mudah baginya untuk menyerahkan kawalan ke atas BUMN,” ujar Encik Nailul.

Proses Bentuk Danantara dan Isu Politik

Proses pembentukan Danantara menghadapi pelbagai cabaran pada peringkat awal.

Walaupun pada asalnya dirancang untuk dilancarkan pada 7 November 2024, penubuhan badan itu ditangguhkan disebabkan perbezaan pendapat dan pengaruh politik yang saling bertentangan dalam kalangan pemangku kepentingan utama.

Encik Prabowo telah melantik Encik Muliaman Hadad sebagai Ketua Danantara pada 28 Oktober, serentak dengan pelantikan menteri dalam Kabinetnya.

Analisis daripada CreditSights, firma penyelidikan kredit sejagat, menunjukkan penyatuan Danantara dan Kementerian BUMN mungkin akan memperlahankan proses penyusunan semula, menyebabkan kesukaran dalam melaksanakan pelbagai arahan yang diberikan kepada badan itu.

“Kejayaan Danantara dalam meningkatkan ekonomi tempatan bergantung pada keberkesanan usaha penggabungan dan pelaksanaan oleh pasukan pengurusannya,” lapor CreditSights.

Timbalan Ketua DPR dari Parti Gerindra, Encik Sufmi Dasco Ahmad, menegaskan bahawa pelantikan anggota lembaga pengawas Danantara akan dilakukan oleh Presiden, tetapi nama-nama tersebut masih belum didedahkan kepada umum.

Beliau turut menjelaskan bahawa di bawah undang-undang baru, semua BUMN akan dikelola oleh Danantara, bukan hanya tujuh syarikat utama seperti yang dilaporkan pada akhir 2024.

Peranan dan Cabaran Ekonomi Prabowo

Penubuhan Danantara merupakan langkah strategik dalam usaha Encik Prabowo untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Indonesia hingga mencapai 8 peratus menjelang akhir penggal kepimpinannya.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Indonesia memerlukan pelaburan berskala besar serta penciptaan berjuta-juta peluang pekerjaan baru.

Dalam hal ini, Danantara dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan dan pengurusan yang lebih berkesan dalam BUMN.

Namun, cabaran utama bagi Encik Prabowo adalah pembiayaan program besar yang memerlukan belanja yang tinggi seperti program makanan percuma untuk kanak-kanak sekolah yang dianggarkan menelan kos lebih 100 trilion rupiah pada 2024 sahaja.

Tambahan pula, projek ibu kota baru, Nusantara, yang dimulakan oleh mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo turut menjadi keutamaan Encik Prabowo.

Kekangan fiskal menjadi isu utama.

Defisit belanjawan negara mencapai 507.8 trilion rupiah atau 2.29 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada 2023, dan dijangka meningkat kepada 616 trilion pada 2025.

Dengan keterbatasan dana, Encik Prabowo perlu mencari sumber pendanaan alternatif, dan Danantara dilihat sebagai instrumen utama dalam merealisasikan agenda ekonominya.

Walaupun Danantara mempunyai potensi besar dalam meningkatkan ekonomi negara, beberapa pakar ekonomi dan ahli politik membangkitkan kebimbangan mengenai ketelusan dan risiko yang mungkin timbul daripada badan itu.

Salah satu kebimbangan adalah mengenai kekebalan imuniti yang diberikan kepada Danantara daripada tindakan perampasan aset oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, yang berpotensi membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa dan risiko rasuah.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan tentang fungsi Danantara yang mungkin bertindih dengan fungsi Penguasa Pelaburan Indonesia (INA) yang ditubuhkan pada 2020.

Walaupun INA beroperasi di bawah pengawasan Kementerian Kewangan, terdapat kebimbangan kedua-dua badan itu akan beroperasi dengan peranan serupa dalam menguruskan pelaburan negara, menimbulkan kemungkinan konflik dalam pelaksanaan tanggungjawab mereka.

Persoalan lain adalah keperluan sebenar untuk mewujudkan entiti baru itu sedangkan INA boleh diperkukuh untuk mencapai matlamat yang sama.

Danantara mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu dana pelaburan kekayaan negara yang terbesar di dunia, mengendalikan aset bernilai sekitar AS$600 bilion ($810 bilion) dan berpotensi meningkat kepada AS$982 bilion, menjadikannya dana kekayaan negara keempat terbesar selepas Norway, Abu Dhabi dan China.

Namun, kejayaannya bergantung kepada keupayaannya dalam menguruskan penyusunan semula aset negara dengan berkesan dan mengelakkan konflik kepentingan antara agensi yang terlibat.

Dengan mandat undang-undang yang baru, kini tumpuan beralih kepada pelaksanaan sebenar Danantara, dan bagaimana ia akan berfungsi untuk menguruskan BUMN dan pelaburan negara di masa hadapan.

Bagi Encik Thohir, penubuhan Danantara merupakan langkah penting bagi mengubah cara pengurusan BUMN di Indonesia, dan untuk mewujudkan perusahaan negara yang lebih berdaya saing dan profesional dalam menghadapi cabaran ekonomi sejagat.

Beliau berkata: “Penubuhan Danantara adalah bukti komitmen pemerintah untuk menyelaraskan pengurusan BUMN dengan visi ekonomi Indonesia, khususnya di bawah pentadbiran Presiden Prabowo.

“Kerjasama antara pemerintah, BUMN dengan pemangku kepentingan adalah kunci untuk mencipta perusahaan negara yang mampu bersaing di peringkat sejagat dan menyumbang kepada pembangunan negara.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg