JAKARTA: Parlimen Indonesia pada 4 Februari mengundi rang undang-undang yang akan membolehkan pemerintah menubuhkan sebuah agensi pelaburan baru bagi menguruskan kepentingannya dalam beberapa syarikat terbesar milik negara.
Penubuhan Agensi Pengurusan Pelaburan Daya Anagata Nusantara atau Danantara, pertama kali diumumkan dua hari selepas Presiden Prabowo Subianto memegang jawatan pada Oktober 2024.
Agensi itu bertujuan meningkatkan prestasi dan pulangan daripada pelaburan negara – beroperasi sama seperti Temasek, syarikat pelaburan Singapura.
Rang undang-undang itu mungkin akan diluluskan, setelah menerima pengesahan pada hujung minggu daripada suruhanjaya parlimen yang menyelia perusahaan milik pemerintah (SOE).
Agensi baru itu dijangka menerima 1,000 trilion rupiah ($83.3 juta) sebagai modal awal.
Namun, Anggota Parlimen, Encik Darmadi Durianto, daripada Suruhanjaya Parlimen yang menyelia rang undang-undang itu, tidak memberikan butiran lanjut mengenai sumber pembiayaan.
Pegangan milik pemerintah dalam pemberi pinjaman terbesar Indonesia seperti Bank Mandiri, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Negara Indonesia serta syarikat utiliti Perusahaan Listrik Negara, pelombong Industri Perlombongan Indonesia, Pertamina dan syarikat telekomunikasi Telkom Indonesia, adalah antara dana yang dijangka dipindahkan ke Danantara, lapor media Indonesia.
Syarikat-syarikat tersebut telah menggabungkan aset mencecah AS$600 bilion ($815.8 bilion), menurut CreditSights, firma penyelidikan hutang Fitch Group.
Rang Undang-undang yang bakal penggubal undang-undang mengundi, adalah sebagai menyahut seruan untuk mengoptimumkan dividen daripada syarikat milik negara melalui Danantara, kata Menteri Undang-undang, Encik Supratman Andi Agtas.
Di bawah peraturan semasa, dividen dibayar kepada Kementerian Kewangan, manakala pegangan pemerintah dalam syarikat-syarikat milik negara diuruskan oleh Kementerian Perusahaan Milik Negara.
Dr Toto Pranoto, pensyarah Universiti Indonesia yang merupakan perunding bagi Rang Undang-undang itu, menyatakan undang-undang itu mencadangkan Kementerian Perusahaan Milik Negara bertindak sebagai penyelia Danantara, dan mengekalkan kepentingan kecil dalam syarikat negara dan kuasa veto ke atas tindakan korporat.
Agensi itu akan berusaha untuk meniru beberapa kejayaan Temasek Singapura, yang mempunyai nilai portfolio AS$284 bilion dalam pelaburan di seluruh dunia setakat Mac 2024. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg