JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan rang undang-undang untuk menubuhkan sebuah pusat kewangan antarabangsa, dengan Pulau Bali disenaraikan sebagai antara lokasi yang dipertimbangkan bagi menarik pelaburan asing dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Rang undang-undang itu diluluskan sebulat suara oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada 21 Julai dan memperuntukkan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Indonesia (PFII), selain menetapkan rangka kerja institusi serta pelbagai insentif cukai untuk menarik pelabur global.

Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa, berkata PFII dijangka menjadi pemangkin kepada aliran modal asing dan pelaburan portfolio jangka panjang bagi menyokong pembangunan ekonomi negara.

“PFII akan menarik aliran modal asing dan pelaburan portfolio yang mampan sebagai sumber pembiayaan jangka panjang untuk memperluaskan ekonomi negara supaya Indonesia dapat berkembang dengan lebih pesat.

“Jika ekonomi negara terus berkembang pada kadar lebih pantas, manfaat jangka panjangnya akan dirasai dalam pembangunan di seluruh Indonesia,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen.

Ahli Parlimen, Encik Mohamad Hekal, berkata undang-undang baharu itu bukan sahaja menyediakan asas perundangan bagi operasi pusat kewangan tersebut, malah menawarkan pelbagai insentif cukai untuk meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur antarabangsa.

Beliau berkata sebuah badan timbang tara serta mahkamah khas turut akan ditubuhkan bagi mengendalikan pertikaian dan kes berkaitan urusan dalam pusat kewangan itu.

Bagaimanapun, teks penuh rang undang-undang berkenaan masih belum didedahkan kepada umum.

Sebelum ini, pemerintah Indonesia mencadangkan Pulau Bali sebagai lokasi yang berpotensi menjadi pusat kewangan antarabangsa itu.

Cadangan berkenaan diumumkan oleh Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi pada Mei lalu, namun pemerintah belum membuat keputusan muktamad mengenai lokasi pembinaannya.

Penubuhan PFII dilihat sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi Presiden Prabowo Subianto untuk memperkukuh kedudukan Indonesia sebagai hab kewangan serantau.

Encik Prabowo sebelum ini menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus menjelang 2029, dengan peningkatan perbelanjaan awam menjadi antara pemacu utama.

Menurut Badan Pusat Statistik (BPS), ekonomi Indonesia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pemerintah berharap penubuhan pusat kewangan antarabangsa itu akan memperluaskan akses kepada modal global, meningkatkan keyakinan pelabur serta mengukuhkan daya saing Indonesia dalam sektor kewangan di rantau Asia. - Agensi berita