Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia perkukuh pelancongan mesra Muslim, sasar 262j perjalanan sejagat
Indonesia perkukuh pelancongan mesra Muslim, sasar 262j perjalanan sejagat
Beri tumpuan pasaran serantau seperti M’sia, S’pura dan Asia Timur
Indonesia perkukuh pelancongan mesra Muslim, sasar 262j perjalanan sejagat
JAKARTA: Indonesia memperhebat usaha untuk menjadi hab utama pelancongan mesra Muslim tatkala pasaran sejagat bagi kumpulan tersebut dijangka mencecah 262 juta perjalanan menjelang 2030.
Kementerian Pelancongan Indonesia berkata peningkatan jumlah pelancong Muslim di seluruh dunia membuka peluang besar kepada negara itu untuk memperkukuh ekosistem pelancongan berasaskan gaya hidup Islam.
Pakar Staf Transformasi Digital dan Inovasi Pelancongan kementerian itu, Cik Masruroh, berkata pelancong Muslim kini bukan sahaja mencari destinasi menarik, malah mahukan kemudahan yang membolehkan mereka menjalankan tuntutan agama dengan mudah ketika melancong.
“Ketika jumlah pelancong Muslim terus meningkat di peringkat global, mereka mahukan pengalaman pelancongan seperti pelancong lain.
“Tetapi satu perkara yang tidak boleh dikompromi adalah akses kepada kemudahan untuk menunaikan kewajipan agama,” katanya semasa Dialog Kewangan Islam di Jakarta pada 1 Julai.
Menurut beliau, konsep pelancongan mesra Muslim tidak hanya tertumpu kepada makanan halal, sebaliknya merangkumi keseluruhan pengalaman perjalanan.
“Ia melibatkan pengangkutan, penginapan, kemudahan sanitasi dan ruang solat yang membolehkan pelancong menjalankan ibadah dengan selesa sepanjang perjalanan,” katanya.
Cik Masruroh berkata konsep halal yang dimaksudkan Indonesia merangkumi satu ekosistem dan gaya hidup lengkap.
“Ia meliputi setiap peringkat perjalanan pelancong, bermula dari saat mereka meninggalkan rumah, sepanjang perjalanan, sehingga pulang dan berkongsi pengalaman mereka,” katanya.
Indonesia dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk muncul sebagai peneraju sejagat bagi pelancongan mesra Muslim kerana negara itu mempunyai penduduk Muslim terbesar dunia.
Menurut Cik Masruroh, Indonesia menempatkan 11.3 peratus penduduk Muslim dunia; 17 peratus penduduk Muslim Asia; dan 86 peratus penduduk Muslim Asean.
Menurutnya, 19 wilayah di Indonesia mempunyai penduduk Muslim melebihi 90 peratus, sekali gus menyediakan asas budaya yang kuat bagi pembangunan sektor pelancongan berasaskan agama.
Ketika ini, Indonesia berada di tangga kedua dunia dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2026 di belakang Malaysia.
Kedudukan itu meningkat daripada tangga kelima pada 2025, sekali gus mencerminkan daya saing Indonesia yang kian kukuh dalam pasaran pelancongan halal sejagat.
Antara faktor penilaian GMTI adalah akses, komunikasi, persekitaran dan perkhidmatan mesra Muslim.
Cik Masruroh berkata perkembangan geopolitik semasa turut mengubah corak perjalanan pelancong Muslim dunia.
Daripada 616 juta ketibaan pelancong antarabangsa di Asia, hampir 128 juta atau lebih 20 peratus terdiri daripada pelancong Muslim.
Bagaimanapun, ketegangan geopolitik di Timur Tengah menyebabkan beberapa laluan penerbangan dari rantau itu berkurangan, memaksa Indonesia mengubah strategi promosinya.
“Kami kini memberi tumpuan lebih besar kepada pasaran serantau seperti Malaysia, Singapura dan negara Asia Timur,” katanya.
Selain memperkukuh promosi luar negara, Indonesia turut meningkatkan kempen antarabangsa menerusi pameran dan misi jualan bagi menarik lebih ramai pelancong asing.
Pakar utama kementerian bagi pelancongan dan ekonomi kreatif, Encik Vinsensius Jemadu, berkata kementerian diarah meningkatkan promosi pelancongan mesra Muslim di luar negara.
“Kami diminta memperhebat promosi termasuk menerusi bidaan antarabangsa dan misi jualan di luar negara,” katanya di Jakarta.
Menurutnya, pihak kementerian turut menggunakan Ekspo Islam Antarabangsa 2026 bagi memperkukuh ekosistem pelancongan Mice (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) berteraskan pelancongan halal.
Acara yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun itu melibatkan kira-kira 18 persatuan pelancongan; 80 pempamer tempatan; dan 46 pempamer antarabangsa dari 16 negara.
Kementerian menjangkakan sekitar 18,000 pengunjung hadir dengan nilai urus niaga mencecah 115 bilion rupiah (sekitar $9.4 juta).
Pameran itu mengetengahkan pakej pelancongan termasuk destinasi baharu mesra Muslim, penginapan dan pelbagai tawaran khusus untuk pelancong Islam.
Antara destinasi utama yang dipromosikan ialah Sumatera Barat, Lombok, Banten, Jawa Barat, Jawa Timur dan Sulawesi Selatan.
Menurut Encik Jemadu, sesebuah destinasi hanya boleh diiktiraf sebagai mesra Muslim jika restoran, hotel dan perniagaan pelancongannya menyediakan produk serta makanan yang mempunyai pensijilan halal.
“Pelancongan mesra Muslim bukan sekadar makanan halal. Ia juga merangkumi kemudahan yang memastikan keselesaan pelancong seperti ruang solat khas di penginapan dan perkhidmatan sokongan lain,” katanya.
Menteri Pelancongan Indonesia, Cik Widiyanti Putri Wardhana, menjadikan peluasan destinasi mesra Muslim sebagai antara keutamaan kementerian.
Encik Jemadu berkata langkah itu bertujuan memastikan pelawat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, mudah dan mesra.
“Kami berharap pelancong Muslim terus memilih Indonesia dan menikmati keunikan destinasi kami sambil dapat menunaikan kewajipan agama dengan mudah,” kata Cik Masruroh. – Agensi berita.
