Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia lulus undang-undang benarkan polis aktif pegang jawatan awam
Indonesia lulus undang-undang benarkan polis aktif pegang jawatan awam
Ini termasuk jawatan berkaitan keselamatan awam, penguatkuasaan undang-undang, perlindungan masyarakat
Indonesia lulus undang-undang benarkan polis aktif pegang jawatan awam
JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan pindaan terhadap undang-undang Polis Nasional pada 9 Jun yang membolehkan pegawai polis aktif memegang jawatan dalam pemerintah awam tanpa perlu meletakkan jawatan daripada pasukan polis.
Pindaan itu diluluskan setahun selepas Parlimen turut meminda undang-undang ketenteraan yang memperuntukkan lebih banyak jawatan awam kepada anggota tentera.
Langkah terbaru itu dilihat mengukuhkan lagi peranan pasukan keselamatan dalam pentadbiran negara di bawah Presiden Prabowo Subianto.
Sejak mengambil alih pemerintahan pada 2024, Encik Prabowo yang juga mantan komander pasukan khas tentera memperluaskan peranan tentera dalam urusan awam termasuk membantu program makanan percuma dan agenda sara diri makanan negara.
Polis turut dilibatkan dalam beberapa program nasional utama selain ramai pegawai kanan polis dan tentera dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran beliau.
Undang-undang baharu itu diluluskan secara sebulat suara dalam sidang pleno Parlimen yang dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Sufmi Dasco Ahmad, daripada Parti Gerindra.
Turut hadir dalam sidang itu ialah Ketua Polis Nasional Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo dan Menteri Undang-Undang, Encik Supratman Andi Agtas.
Di bawah undang-undang baharu itu, pegawai polis aktif dibenarkan memegang jawatan di kementerian atau institusi negara lain selagi jawatan tersebut berkaitan dengan fungsi dan tugas polis.
Menurut salinan rang undang-undang yang dilihat Reuters, jawatan yang dibenarkan termasuk berkaitan keselamatan awam, penguatkuasaan undang-undang, perlindungan masyarakat dan perkhidmatan awam.
Pegawai polis aktif juga boleh dilantik ke jawatan lain atas permintaan presiden, kementerian atau agensi negara sekiranya kepakaran mereka diperlukan.
Ahli jawatankuasa Parlimen yang terlibat dalam perbahasan rang undang-undang itu, Encik Sarifuddin Sudding, berkata kepakaran pegawai polis diperlukan dalam pentadbiran negara.
“Kerangka undang-undang yang lebih responsif dan mudah disesuaikan amat penting bagi memastikan Polis Nasional dapat melaksanakan tugas mereka secara berkesan,” kata Encik Supratman ketika sidang pleno.
Pindaan itu turut menaikkan umur persaraan wajib pegawai polis termasuk ketua polis negara.
Jeneral polis kini dibenarkan berkhidmat sehingga usia 60 tahun, manakala tempoh perkhidmatan ketua polis negara boleh dilanjutkan setahun lagi atas budi bicara presiden.
Bagaimanapun, langkah itu mencetuskan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan peguam yang melihatnya sebagai ancaman kepada demokrasi serta profesionalisme institusi awam.
Pengarah Amnesti Antarabangsa Indonesia, Encik Haeril Halim, berkata pindaan tersebut menyerupai pendekatan yang digunakan dalam pindaan undang-undang tentera sebelum ini.
Beliau berkata langkah itu menunjukkan pengaruh pasukan pertahanan dan keselamatan dalam pentadbiran awam semakin berkembang di bawah pemerintahan Presiden Prabowo, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai keseimbangan antara keperluan keselamatan dan prinsip demokrasi.
Wakil Yayasan Bantuan Guaman Indonesia, Encik Muhammad Isnur, berkata pelantikan pegawai polis aktif ke kementerian dan agensi negara bercanggah dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 2025.
Mahkamah sebelum ini memutuskan bahawa pegawai polis perlu meletakkan jawatan jika mahu memegang jawatan di luar pasukan polis.
“Langkah ini tidak mengikut perlembagaan dan boleh menjejaskan profesionalisme polis serta sistem merit dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Pengkritik turut mempertikaikan proses kelulusan rang undang-undang itu yang dianggap terlalu tergesa-gesa.
Rang undang-undang tersebut hanya dibincangkan dalam dua mesyuarat kerja antara Parlimen dengan pemerintah pada 4 dan 8 Jun sebelum dimuktamadkan pada pagi 9 Jun.
Walaupun menerima bantahan, kesemua lapan pecahan parti politik di Parlimen tetap menyokong pindaan itu.
Timbalan Menteri Undang-Undang, Encik Edward Omar Sharif Hiariej, berkata perincian lanjut mengenai pelaksanaan undang-undang baharu itu akan dijelaskan menerusi peraturan pemerintah yang bakal diperkenalkan nanti.
Penganalisis melihat pindaan tersebut sebagai sebahagian daripada perubahan lebih besar dalam struktur pentadbiran Indonesia yang semakin memberi ruang kepada pasukan keselamatan memainkan peranan lebih luas dalam sektor awam.
Bagi penyokong pemerintah, langkah itu dianggap perlu bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran dan keselamatan negara. – Agensi berita.
