Indonesia dan Kesatuan Eropah (EU) telah memeterai perjanjian dagangan di Bali pada 23 September yang dijangka menyediakan pekerjaan untuk berjuta-juta rakyat Indonesia yang bekerja dalam industri intensif buruh.
Ketua Menteri Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto dan Pesuruhjaya Perdagangan EU, Encik Maros Sefcovic menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Kesatuan Eropah-Indonesia (Cepa) selepas sekurang-kurangnya 19 pusingan rundingan dan mesyuarat sejak ia dimulakan pada September 2016.
Ia juga dicapai hasil persetujuan politik antara Presiden Prabowo Subianto dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula der Leyen pada 13 Julai di Brussel.
“Selepas sembilan tahun, kami akhirnya mencapai kejayaan bersejarah ini, yang mencerminkan komitmen bersama dan berterusan kami untuk perkongsian ekonomi yang terbuka, adil dan mampan,” kata Encik Airlangga dalam satu kenyataan akhbar bersama Encik Sefcovic selepas majlis menandatangani perjanjian itu.
Pengerusi Persatuan Majikan Indonesia (Apindo), Cik Shinta Kamdani, berkata komuniti perniagaan telah menghubungkan perbincangan di Jakarta dan Brussels dengan realiti industri perladangan, perkilangan dan pusat perikanan di seluruh Indonesia.
Indonesia adalah negara Asean ketiga yang menandatangani perjanjian dagangan sedemikian dengan EU selepas Singapura dan Vietnam.
Encik Airlangga berkata kesimpulan substantif rundingan Cepa membawa era baru dalam hubungan dua hala Indonesia-EU.
Perjanjian itu akan menghapuskan tarif import barangan Indonesia, dengan 80 peratus daripada eksport Indonesia ke EU bakal menikmati tarif sifar peratus, membuka akses eksport untuk produk Indonesia ke 27 negara anggota EU.
Ia juga akan menghapuskan duti import ke atas 98.5 peratus talian tarif dan memudahkan prosedur eksport barangan EU ke Indonesia.
Perjanjian itu telah mencapai keseimbangan yang tepat antara cita-cita dengan keadilan, memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat dari segi ekonomi dan mampan, kata Encik Sefcovic dalam ucapannya.
Perjanjian itu juga termasuk peruntukan bagi melindungi sejumlah besar Petunjuk Geografi (GI) Eropah dan Indonesia demi melindungi produk dan warisan unik kedua-dua negara itu.
GI merujuk kepada label atau tanda yang menunjukkan bahawa sesuatu produk berasal dari geografi tertentu dan ini dapat memastikan perlindungan terhadap keaslian produk, kualiti yang berkait rapat dengan tempat asalnya dan kepentingan ekonomi pengeluar serta komunitinya.
Antara produk GI Indonesia dan EU termasuk keju Parmigiano-Reggiano Italy, buah pala Indonesia yang berasal dari Sulawesi Utara, lada putih Pulau Bangka dan garam Bali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg