Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia minat ambil alih syarikat beras Kemboja

Tetapi usaha itu mungkin terjejas berikutan sekatan eksport dan undang-undang pemilikan tanah tempatan
Jun 27, 2024 | 3:57 PM
Indonesia, pengeluar beras keempat terbesar di dunia dan pengguna beras ketiga terbesar, merancang mengimport lebih 3.6 juta tan beras pada 2024.
Indonesia, pengeluar beras keempat terbesar di dunia dan pengguna beras ketiga terbesar, merancang mengimport lebih 3.6 juta tan beras pada 2024. - Foto AFP

JAKARTA: Rancangan Indonesia baru-baru ini untuk mengambil alih syarikat beras Kemboja bagi menambah bekalannya mungkin terjejas berikutan sekatan eksport dan undang-undang pemilikan tanah tempatan, kata pakar.

Bulog, agensi logistik milik pemerintah, telah memulakan perbincangan dengan beberapa syarikat beras Kemboja dan beberapa bank Indonesia mengenai rancangan pengambilalihan itu.

Pengarah Presiden Bulog, Encik Bayu Krisnamurthi, memberitahu The Straits Times bahawa masih awal dan perkara itu akan dibincangkan dengan semua pihak berkaitan secara berperingkat.

Ia digerakkan selepas Presiden Joko Widodo, yang akan tamat tempoh pemerintahannya, meminta Bulog pada 10 Jun mempertimbang untuk mengambil alih syarikat pengeluar beras di Kemboja bagi memastikan rizab beras negara berada pada “tahap selamat”.

Indonesia, pengeluar beras keempat terbesar di dunia dan pengguna beras ketiga terbesar, merancang mengimport lebih 3.6 juta tan beras pada 2024, dengan menjangkakan penuaian yang lebih kecil akibat kemarau, dan untuk mengekalkan harga yang stabil untuk pengguna, menurut beberapa pegawai.

Pada 2023, Indonesia hasilkan 31.1 juta tan beras – meningkat 1.4 peratus berbanding 2022, menurut Statistik Indonesia.

Negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu menggunakan kira-kira 30 juta tan beras setiap tahun.

Beras adalah makanan utama yang penting bagi kebanyakan orang di Asia.

Indonesia mengimport kurang daripada 5 peratus daripada jumlah keperluan negara, kata Encik Widodo pada Mei.

Dari Januari hingga Mei 2024, Indonesia membeli beras paling banyak dari Thailand, diikuti oleh Vietnam, Pakistan dan India, dengan Kemboja jauh kelima, menurut Statistik Indonesia.

Walaupun kepulauan yang luas itu mempunyai banyak tanah, kawasan penanaman padi yang paling sesuai terletak di Jawa, yang sudah banyak ditanam, kata pakar.

Penanaman padi di pulau-pulau utama lain – Sumatera, Kalimantan, Sulawesi dan Papua – kurang produktif disebabkan faktor seperti iklim dan kesuburan tanah, serta kekurangan prasarana seperti saluran pengairan yang betul.

Di samping itu, apabila proses perbandaran merebak di Jawa, yang menempatkan 56 peratus daripada hampir 280 juta penduduk negara itu, penukaran penggunaan tanah ladang kepada pembangunan perindustrian dan kediaman yang lebih menguntungkan, berlaku dengan pantas.

Menteri Pertanian, Encik Amran Sulaiman, memberitahu Parlimen pada 20 Jun bahawa penuaian padi yang lebih kecil dijangka pada 2024, berikutan perubahan cuaca dan penurunan kawasan tanaman yang menyusut 36.9 peratus kepada 6.55 juta hektar, dari Oktober 2023 hingga April 2024.

Encik Widodo baru-baru ini berkata adalah lebih baik bagi Indonesia melabur dalam pengeluar beras di Kemboja, daripada hanya mengimport dari negara jirannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg