KUALA LUMPUR/JAKARTA: Malaysia dan Indonesia dengan tegas menolak sebarang cadangan yang tidak munasabah berkaitan rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza serta memindahkan rakyat Palestin secara paksa ke negara jiran.

Encik Trump mengumumkan hasrat tersebut semasa sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih pada 4 Februari sehingga mencetuskan bantahan antarabangsa, termasuk dari Malaysia dan Indonesia.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Encik Rolliansyah ‘Roy’ Soemirat, menyatakan bahawa Indonesia menolak sebarang usaha untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa atau mengubah komposisi demografi wilayah Palestin yang diduduki.

“Tindakan seperti ini menghalang pembentukan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat sebagaimana yang dipersetujui dalam penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya,” kata Encik Roy.

Menurut Kementerian Luar Indonesia, penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan berkekalan dan masyarakat antarabangsa harus memastikan ia menghormati undang-undang antarabangsa.

“Hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta hak mereka untuk kembali ke tanah air adalah hak yang tidak boleh dinafikan,” tambahnya.

Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan pada 6 Februari turut mengutuk keras sebarang usaha pemindahan secara paksa rakyat Palestin di Gaza, sambil menyifatkannya sebagai satu bentuk pembersihan etnik dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Sebarang percubaan untuk mencari penyelesaian secara sepihak yang mengetepikan hak rakyat Palestin terhadap penentuan nasib sendiri serta kebebasan mereka adalah tidak boleh diterima dan tidak dapat dipertahankan,” kata kenyataan tersebut.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa penyelesaian yang berkekalan bagi konflik Israel-Palestin hanya boleh dicapai dengan pembentukan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kota.

“Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka.

“Penyelesaian yang berwibawa dan berkekalan haruslah berpandukan kepada kehendak rakyat Palestin sendiri,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam ucapannya di Parlimen pada 6 Februari, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, menzahirkan kekesalan terhadap cadangan pemindahan rakyat Palestin di Gaza.

“Rakyat Palestin sendiri telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan meninggalkan tanah air mereka.

“Sokongan Malaysia kepada Palestin bukan bersifat sementara.

“Sejak sekian lama, kami menyokong perjuangan mereka untuk mendapatkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,” tegas beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Februari berkata pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak berubah susulan kenyataan Presiden Trump bahawa Amerika akan mengambil alih Jaluran Gaza. – Agensi berita.