WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengemukakan cadangan luar biasa dengan menyarankan agar negaranya mengambil alih Jaluran Gaza.
Ini beliau nyatakan ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bagi membincangkan gencatan senjata dengan Hamas.
Dalam sidang media bersama Encik Netanyahu, Encik Trump bukan sahaja mengusulkan pengambilalihan Gaza oleh Amerika, tetapi turut menggesa rakyat Palestin supaya berpindah ke negara Timur Tengah lain, seperti Mesir dan Jordan – satu cadangan yang telah ditolak mentah-mentah oleh Palestin serta kedua-dua negara berkenaan.
“Amerika Syarikat akan mengambil alih Jaluran Gaza, dan kami akan melakukan sesuatu mengenainya. Kami akan memiliki Gaza,” kata Encik Trump dengan nada tegas.
Encik Trump menjelaskan bahawa Amerika akan menghapuskan bom yang belum meletup, meratakan kawasan terbabit, serta memulakan pembangunan ekonomi yang mampu menawarkan pekerjaan dan kediaman tanpa had kepada penduduk di sana.
Namun, kenyataan beliau menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan tinggal di Gaza selepas pengambilalihan tersebut.
“Ia tidak sepatutnya dipulihkan dan diduduki semula oleh orang yang sama yang telah berjuang dan tinggal di sana selama ini. Mereka telah menjalani kehidupan yang sengsara,” tambahnya.
Encik Trump menegaskan bahawa penduduk Gaza, yang kini berjumlah dua juta orang, wajar berpindah ke negara lain yang lebih bersimpati dengan nasib mereka.
Cadangan luar biasa Encik Trump mendapat reaksi positif daripada Encik Netanyahu, yang menyifatkan presiden Amerika itu sebagai “sahabat terbaik Israel pernah miliki”.
“Pelan Trump ini boleh mengubah sejarah dan ia sesuatu yang patut diberi perhatian,” kata Encik Netanyahu.
Namun, Mesir dan Jordan secara terang-terangan menolak idea pemindahan rakyat Palestin ke negara mereka. Jurucakap pemerintah Mesir menegaskan bahawa sebarang penyelesaian kepada konflik Gaza mesti melibatkan hak rakyat Palestin untuk terus tinggal di tanah air mereka.
Sementara itu, wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak pemimpin dunia supaya menghormati aspirasi rakyat Palestin.
“Trump berfikir bahawa Gaza hanya satu timbunan sampah – ini sama sekali tidak benar,” kata Encik Hatem Azzam, 34 tahun, penduduk Rafah yang menolak cadangan tersebut.
Encik Trump juga mengaku memainkan peranan utama dalam menjayakan gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang kini memasuki fasa pertama selama enam minggu. Perbincangan bersama Encik Netanyahu dijangka memberi tekanan kepada pemimpin Israel itu untuk meneruskan fasa kedua bagi mencapai keamanan yang lebih berpanjangan.
Encik Netanyahu sebelum ini ditanya sama ada beliau optimis untuk meneruskan rundingan fasa kedua.
“Kami akan mencuba,” jawabnya ringkas.
Beliau turut memuji kepimpinan Encik Trump dalam usaha gencatan senjata dan secara tidak langsung menyindir bekas Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dengan menyatakan bahawa “apabila ada kerjasama erat antara Israel dan Amerika, peluang untuk berjaya lebih tinggi.”
Israel telah menghantar pasukan perunding ke Qatar untuk membincangkan fasa kedua perjanjian gencatan senjata. Hamas pula mengesahkan bahawa rundingan telah bermula dan menekankan keperluan segera untuk menyelesaikan isu tempat perlindungan, bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, pertukaran tahanan antara Israel dan Palestin telah dimulakan. Setakat ini, 18 tebusan telah dibebaskan sebagai pertukaran kepada lebih 600 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan 1,210 orang di pihak Israel, kebanyakannya orang awam. Sebagai tindak balas, serangan balas Israel ke atas Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 47,518 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Walaupun gencatan senjata sedang berlangsung, ketegangan masih belum reda. Israel melancarkan operasi ketenteraan ke atas militan di Tebing Barat, khususnya di utara Jenin. Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa kem pelarian Jenin sedang menuju ke arah “krisis kemanusiaan yang kritikal”.
Pada 4 Februari, seorang lelaki bersenjata menembak mati dua askar Israel sebelum dibunuh di selatan Jenin.
Gencatan senjata juga telah meningkatkan penghantaran bantuan ke Gaza, termasuk makanan, bahan api, dan bekalan perubatan. Keadaan ini membolehkan ribuan penduduk yang sebelum ini melarikan diri kembali ke kawasan utara Gaza.
Keluarga tebusan Israel pula terus mendesak semua pihak untuk mengekalkan perjanjian yang ada bagi memastikan semua tebusan dapat dibebaskan dengan selamat.
“Kami mahukan keamanan yang sebenar, bukan hanya gencatan senjata sementara,” kata seorang ahli keluarga tebusan Israel kepada media. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg