Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia mula penghantaran besar-besaran jemaah haji, lebih 221,000 dijadual berlepas
Indonesia mula penghantaran besar-besaran jemaah haji, lebih 221,000 dijadual berlepas
Persiapan menyeluruh bagi pastikan kelancaran operasi di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik
Indonesia mula penghantaran besar-besaran jemaah haji, lebih 221,000 dijadual berlepas
JAKARTA: Indonesia akan memulakan penghantaran besar-besaran jemaah haji bagi musim 2026 bermula 22 April, dengan kira-kira 221,000 anggota jemaah dijadual berlepas ke Arab Saudi secara berperingkat.
Penerbangan pertama dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, membawa seramai 393 anggota jemaah dalam satu majlis pelepasan rasmi yang dijangka dihadiri Presiden Prabowo Subianto.
Seorang pegawai pemerintah berkata persiapan telah dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan kelancaran operasi tersebut.
“Penerbangan pertama ini menjadi simbol permulaan operasi haji tahun ini (2026), dengan sokongan penuh daripada semua agensi berkaitan,” katanya.
Di lapangan terbang tersebut, sebanyak 110 petugas khas telah digerakkan untuk membantu jemaah, termasuk warga emas dan individu kurang upaya.
Perkhidmatan yang disediakan merangkumi bantuan pergerakan, penginapan sementara, proses imigresen, pemeriksaan kesihatan serta sokongan operasi lain.
Bagi mengelakkan kelewatan, jemaah yang menunggu jadual penerbangan ditempatkan di asrama khas berhampiran lapangan terbang.
Ketua Pengurusan Asrama Haji Banten, Encik Ahmad Muafiq, berkata kemudahan di Asrama Haji Cipondoh, telah disediakan dengan rapi.
“Kami menyediakan 215 bilik dengan kapasiti sehingga 860 anggota jemaah, bersamaan dua penerbangan pesawat berbadan lebar.
“Kumpulan pertama dari Tangerang akan tiba sehari sebelum berlepas,” katanya.
Menurut beliau, majlis pelepasan rasmi dijangka berlangsung pada sebelah petang.
“Insya-Allah, pelepasan rasmi akan disempurnakan Presiden pada 2.20 petang di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta,” katanya.
Dari wilayah Banten sahaja, 9,200 anggota jemaah akan berlepas menerusi 24 penerbangan.
Lapangan terbang Soekarno-Hatta turut menjadi hab utama bagi jemaah dari Jakarta, Jawa Barat serta beberapa wilayah lain.
Secara keseluruhan, 14 lapangan terbang antarabangsa di seluruh Indonesia telah ditetapkan untuk mengendalikan penerbangan haji, manakala lima lagi berfungsi sebagai lapangan terbang transit bagi kawasan yang tiada akses penerbangan antarabangsa.
Presiden Pengarah InJourney Airports, Encik Mohammad Pahlevi, berkata kesiapsiagaan operasi itu berada pada tahap optimum.
“Kesediaan kemudahan dan petugas untuk memastikan pergerakan pesawat serta aliran jemaah berjalan lancar di semua lapangan terbang pelepasan dan transit telah dipastikan, dan penyelarasan dengan semua pihak berkaitan terus diperkukuh,” katanya.
Lapangan terbang tersebut dijangka mengendalikan pelepasan 205,333 anggota jemaah di bawah program haji biasa, selain ribuan lagi melalui agensi pelancongan swasta.
Prasarana lapangan terbang utama seperti landasan, laluan teksi dan apron telah dipersiap bagi menyokong operasi pesawat berbadan lebar seperti Boeing 777 dan Airbus A330 yang digunakan dalam perkhidmatan haji.
Dalam perkembangan terkini, Lapangan Terbang Antarabangsa Yogyakarta akan buat kali pertama mengendalikan penerbangan haji secara langsung ke Arab Saudi, menandakan peluasan kapasiti operasi negara itu.
Empat lapangan terbang utama – Soekarno-Hatta, Juanda, Adi Soemarmo dan Sultan Hasanuddin – akan melaksanakan program Laluan Makkah yang membolehkan proses imigresen Arab Saudi dilakukan di Indonesia sebelum jemaah berlepas.
Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin di Makassar menawarkan perkhidmatan Laluan Makkah buat kali pertama pada 2026.
Langkah itu dijangka mempercepatkan ketibaan jemaah di Jeddah atau Madinah, sekali gus mengurangkan kesesakan di lapangan terbang destinasi.
Penganalisis penerbangan, Encik Gatot Rahardjo, menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif penting yang perlu diperluas.
“Program Laluan Makkah sangat penting untuk mengurangkan masa pemprosesan imigresen.
“Ini amat membantu terutama bagi jemaah warga emas yang tidak seharusnya dibebankan dengan prosedur panjang selepas tiba,” katanya.
Musim haji 2026 ini berlangsung dalam keadaan kos bahan api penerbangan yang meningkat menyusuli ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Presiden Prabowo sebelum ini menegaskan bahawa pemerintah negara itu akan menanggung perbezaan kos antara bayaran jemaah dengan peningkatan kos operasi syarikat penerbangan.
“Pemerintah akan memastikan jemaah tidak terbeban dengan kenaikan kos ini,” katanya dalam satu kenyataan terdahulu.
Beban tambahan itu dianggar mencecah 1.7 trilion rupiah ($126 juta) termasuk 974.8 bilion rupiah untuk Garuda Indonesia dan 802.8 bilion rupiah bagi Saudia Airlines.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan akses kepada ibadah haji kekal terjamin, walaupun menghadapi tekanan kos sejagat yang semakin meningkat. – Agensi berita.
