Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga Indonesia simpan duit berdekad untuk tunai haji
Warga Indonesia simpan duit berdekad untuk tunai haji
Warga Indonesia simpan duit berdekad untuk tunai haji
JAKARTA: Bagi ramai rakyat Indonesia, perjalanan ke Makkah bukan sekadar kewajipan agama.
Ia hasil daripada puluhan tahun menabung secara disiplin, pengorbanan dan harapan yang disimpan.
Di Pasuruan, Jawa Timur, seorang wanita berusia 85 tahun, Cik Mislicha, menghabiskan lebih 50 tahun menjual makanan ringan ‘cilok’ dengan menolak kereta sorong kecil di lorong sempit.
Setiap hari, beliau menyimpan sedikit demi sedikit hasil jualan untuk menunaikan haji.
“Saya sudah lama ingin menunaikan haji sejak muda. Saya simpan sedikit demi sedikit,” katanya.
Pada 2026, impian itu akhirnya menjadi kenyataan.
Cik Mislicha dijadual berangkat ke Arab Saudi untuk menunaikan haji pada hujung April.
Kisah Cik Mislicha bukan luar biasa.
Sebagai balu yang membesarkan lapan anak sendirian, beliau melambangkan realiti ramai rakyat Indonesia yang perlu menunggu bertahun-tahun untuk mengumpul duit menunaikan haji.
Di Cirebon, Jawa Barat, seorang penjual aiskrim tradisional, Encik Ili, turut melalui perjalanan serupa.
Sejak 1980-an, beliau berjalan dari kampung ke kampung menjual pencuci mulut, ‘es mung-mung’, berasaskan santan.
Bersama isterinya, Cik Yayah, mereka mula menyimpan wang untuk haji sejak 2005.
“Ada hari kami hanya dapat simpan 10,000 rupiah ($0.74), ada hari lebih sedikit.
“Kadang-kadang balik dengan tangan kosong,” katanya.
Selepas lebih dua dekad, simpanan mereka akhirnya mencukupi untuk menunaikan haji pada 2026.
“Saya tak pernah bayangkan kami boleh pergi. Tapi perlahan-lahan, ia jadi kenyataan,” katanya.
Di Yogyakarta, pasangan Encik Rahudin Hasan, dan Cik Siti Koringah, juga menempuh laluan sama.
Dengan menjual ‘gudeg’ (nangka muda direbus dengan santan, gula melaka dan rempah-ratus) di tepi jalan, mereka menyimpan antara 50,000 rupiah dengan 100,000 rupiah sehari.
Selepas 14 tahun menunggu, mereka akhirnya mendapat pengesahan untuk berangkat pada 2026.
“Kami terkejut dan terharu. Tak sangka giliran datang secepat ini,” kata Cik Siti.
Indonesia, sebagai negara majoriti Muslim terbesar di dunia, menerima kuota haji terbesar, sekitar 220,000 setiap tahun.
Namun, permintaan jauh melebihi kapasiti.
Dengan lebih 5.7 juta orang dalam senarai menunggu, tempoh menunggu boleh mencecah sehingga 26 tahun.
Sistem haji Indonesia membolehkan bakal jemaah mendaftar dengan bayaran deposit, sebelum melengkapkan bayaran penuh menjelang tarikh berlepas.
Bagi 2026, kos purata yang perlu ditanggung seorang anggota jemaah dianggarkan sekitar 54 juta rupiah, satu jumlah besar terutama bagi mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal.
Bagi anggota jemaah berusia seperti Cik Mislicha, tempoh menunggu yang panjang sering dirasakan seperti perlumbaan dengan masa.
Namun, keinginan untuk menunaikan haji tetap kukuh.
Menjelang keberangkatan, persiapan bukan hanya melibatkan kewangan.
Ketahanan fizikal menjadi faktor penting, terutama bagi jemaah warga emas yang perlu melaksanakan ibadah seperti tawaf dan sai.
Ramai anggota jemaah menghadiri kursus persediaan dan menggunakan sumber dalam talian bagi memahami rukun haji dengan lebih baik.
Cik Mislicha kini membuat persiapan terakhir termasuk mengadakan majlis kesyukuran kecil bersama jiran tetangga yang menyaksikan perjalanan hidupnya selama ini.
Dengan 22 cucu, kejayaan beliau menunaikan haji menjadi kebanggaan keluarga dan masyarakat.
Bagi masyarakat seperti ini, pemergian ke Tanah Suci bukan sekadar perjalanan ibadah, malah, simbol kejayaan selepas bertahun-tahun berusaha.
Perjalanan haji mungkin hanya berlangsung beberapa minggu, tetapi bagi jutaan anggota jemaah, ia sebenarnya bermula jauh lebih awal – di gerai kecil, di tepi jalan, dan dalam setiap simpanan yang dikumpul sedikit demi sedikit.
“Setiap wang yang disimpan itu bukan sekadar duit,” kata Encik Ili.
“Ia langkah menuju impian kami.” – Agensi berita.
