Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia nafi risiko kedaulatan dalam perjanjian tarif AS pada Jan

Dec 24, 2025 | 12:04 PM
prabowo, donald trump
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump ,dijadualkan menandatangani perjanjian perdagangan pada akhir Januari 2026. - Foto REUTERS

JAKARTA: Indonesia menafikan bahawa perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat, yang dijangka dimeterai pada akhir Januari 2026, akan menjejaskan kedaulatannya kerana ia terhad kepada hal ehwal perdagangan semata-mata.

Bercakap dari Washington, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonominya, Encik Airlangga Hartarto, berkata perjanjian itu akan ditandatangani di Amerika oleh Presiden Prabowo Subianto dan rakan sejawatnya dari Amerika, Encik Donald Trump.

Menurut The Straits Times, Encik Airlangga membuat kenyataan ini selepas bertemu Wakil Perdagangan Amerika Encik Jamieson Greer pada 22 Disember.

“Selain hal ehwal perdagangan, kami tidak menyentuh perkara lain kerana ini hanyalah perjanjian perdagangan timbal balik,” katanya semasa taklimat media dalam talian.

Beliau menegaskan bahawa Indonesia berpegang pada janjinya untuk menghapuskan halangan bukan tarif dan pelbagai kawal selia perdagangan yang lebih adil sebagai syarat dalam perjanjian itu.

Namun, beliau tidak mengulas lanjut.

Pada Julai, Indonesia komited kepada beberapa langkah strategik untuk mengimbangi perdagangan dengan Washington.

Ini termasuk menghapuskan halangan bukan tarif seperti keperluan untuk mempunyai alat ganti buatan tempatan dalam produk asing, seperti iPhone Apple.

Indonesia mencatatkan lebihan perdagangan AS$18 bilion ($23 bilion) dengan Amerika pada 2024.

Amerika telah mengenakan tarif 32 peratus ke atas barangan Indonesia, tetapi pelaksanaannya dihentikan sementara sehingga Julai 2025 untuk memberi ruang kepada rundingan.

Ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu dan Amerika sedang menyelesaikan butiran mengenai perjanjian yang dicapai pada Julai 2025.

Perjanjian itu bakal menyaksikan eksport Indonesia ke Amerika dikenakan tarif sebanyak 19 peratus dan bukannya 32 peratus.

Sebagai balasan untuk pengurangan tarif, Indonesia, antara lain, berjanji untuk mengimport produk tenaga bernilai AS$15 bilion dan komoditi pertanian bernilai AS$4.5 bilion daripada Amerika.

Malaysia dan Kemboja pada Oktober 2025 secara berasingan memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Amerika.

Perjanjian tersebut menyertakan “klausa keselamatan” yang menurut pengkritik secara berkesan mensubkontrakkan dasar luar negara kepada Washington.

Klausa tersebut memberi kuasa kepada Amerika menamatkan perjanjian secara sebelah pihak dan mengenakan semula tarif yang tinggi jika Malaysia atau Kemboja membuat perjanjian perdagangan baru dengan negara ketiga yang menjejaskan kepentingan Amerika.

Ini juga bermakna jika Amerika mengenakan sekatan ke atas negara ketiga atas sebab keselamatan negara, Malaysia dan Kemboja boleh mengambil langkah dengan kesan sekatan yang setara.

“Mesyuarat itu berjalan lancar,” kata Encik Airlangga selepas pertemuannya dengan Encik Greer, sambil menambah bahawa pihaknya mengemukakan isu-isu penting – sama seperti yang diajukan pihak Amerika.

“Penekanan diberikan untuk melindungi kepentingan bersama kedua-dua negara,” katanya.

Lebih separuh daripada import bahan api Indonesia kini dari Singapura, yang menapis minyak mentah dari Timur Tengah, Australia dan Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg