JAKARTA: Pemerintah Indonesia akan meneruskan rancangan untuk menaikkan kadar cukai nilai tambah (VAT) daripada 11 peratus kepada 12 peratus bermula 1 Januari 2025, meskipun mendapat bantahan daripada golongan peniaga dan masyarakat.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Mukhamad Misbakhun, yang bertanggungjawab terhadap dasar makroekonomi.
Menurut Encik Misbakhun, kenaikan VAT akan dilaksanakan secara selektif bagi memastikan golongan rentan tidak terlalu terjejas.
“Kadar VAT baru ini akan dilaksanakan seperti yang diamanatkan oleh undang-undang bermula 1 Januari 2025. Namun, fokusnya sangat selektif, hanya menyasarkan barangan mewah domestik dan import,” jelasnya.
DPR turut mencadangkan agar kenaikan VAT itu hanya tertumpu kepada barangan mewah bagi mengelakkan kesan terhadap kuasa daya beli masyarakat berpendapatan rendah.
Beliau turut menegaskan bahawa barangan asas seperti makanan, perkhidmatan kesihatan, perbankan serta perkhidmatan awam lain akan kekal dikenakan kadar cukai semasa atau dikecualikan sepenuhnya.
“Barang-barang yang diklasifikasikan sebagai barangan mewah, sama ada diimport atau dihasilkan dalam negara, akan dikenakan VAT 12 peratus.
“Golongan kelas menengah atas yang mampu membeli barangan ini adalah yang paling terkesan,” kata Encik Misbakhun.
Beliau menambah bahawa barangan seperti rumah mewah, kereta, kapal terbang, dan kapal layar yang kini dikenakan cukai jualan barangan mewah dalam lingkungan 10 peratus hingga 200 peratus akan tetap tertakluk kepada cukai tersebut selain daripada VAT.
Meskipun terdapat desakan untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan itu, DPR dan pemerintah bersetuju untuk meneruskan langkah tersebut seperti yang telah dirancang.
Selain itu, Presiden Prabowo Subianto, turut merancang untuk memperketat pengawasan terhadap kegiatan ekonomi haram bagi meningkatkan pendapatan negara tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah.
“Pemerintah akan mengambil tindakan terhadap aktiviti ekonomi haram untuk mengoptimumkan pendapatan negara, terutamanya dalam sektor yang selama ini mengelak daripada dikenakan cukai,” ujar Encik Misbakhun, tanpa memberikan butiran lanjut.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Encik Anggito Abimanyu, mendedahkan bahawa pemerintah sedang meneroka potensi hasil cukai baharu daripada sektor ekonomi tidak formal seperti pertaruhan sukan dan perjudian yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg