Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekon digital Asia Tenggara untung AS$11b pada 2024

Naik 2.5 kali ganda berbanding 2022, media dalam talian dahului margin keuntungan
Nov 6, 2024 | 12:05 PM
Firma perunding Bain & Company, Temasek dan Google mengeluarkan laporan tahunan edisi kesembilan yang menunjukkan keuntungan ekonomi digital.
Firma perunding Bain & Company, Temasek dan Google mengeluarkan laporan tahunan edisi kesembilan yang menunjukkan keuntungan ekonomi digital. - Foto BAIN, GOOGLE, TEMASEK

Ekonomi digital Asia Tenggara memperoleh keuntungan AS$11 bilion ($14.5 bilion) pada 2024, peningkatan 2.5 kali ganda berbanding 2022.

Walaupun jumlahnya hanya 12 peratus daripada pendapatan keseluruhan sektor sebanyak AS$89 bilion, keuntungan ini menunjukkan pertumbuhan dua digit yang stabil selama tiga tahun.

Firma media dalam talian mendahului kenaikan margin keuntungan pada 2024, melalui penstriman video dan muzik, permainan dalam talian dan kandungan eksklusif. 

Keuntungan portal pelancongan juga meningkat pada tahun kedua selepas kenaikan komisen dan penambahan perkhidmatan sampingan seperti lawatan berpandu dan sewaan kereta, lapor The Straits Times.

Aplikasi e-dagang, pengangkutan dan makanan masih mengalami kerugian besar tetapi dapat dikurangkan melalui pemasaran yang lebih kuat, produk baru, dan pengurangan insentif bagi pelanggan dan pemandu.

Pandangan itu dipetik daripada edisi kesembilan laporan tahunan firma perunding Bain & Company, Temasek dan Google, meliputi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Walaupun pertumbuhan pendapatan dan pelaburan perlahan sejak 2023, Encik Florian Hoppe, rakan kongsi di syarikat Vector dan ahli kanan Bain, mengekalkan ramalan bahawa syarikat digital di rantau ini akan mencapai AS$295 bilion dalam nilai dagangan kasar (GMV) pada 2025.

Bercakap kepada satu panel pada 5 November, Encik Hoppe berkata beliau menjangkakan mereka yang bekerja dalam e-dagang dan aplikasi pengangkutan dan makanan, akan mengurangkan kerugian agar dapat mencapai keuntungan.

Forum Ekonomi Sedunia meramalkan ekonomi digital Asia Tenggara akan mencapai AS$1 trilion menjelang 2030.

Ini hampir empat kali ganda daripada AS$263 bilion pada 2024 untuk GMV yang dianggarkan dalam laporan panel tersebut.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) rantau ini dijangka berkembang 4.5 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ini akan sepadan dengan pertumbuhan di China dan mengatasi ekonomi paling maju seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Inflasi juga dijangka turun pada 2024 kecuali di Vietnam dan Malaysia.

Pelaburan asing meningkat 19 peratus dan perbelanjaan pengguna meningkat lapan peratus dalam tiga bulan pertama 2024, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Google, yang memiliki YouTube, mengatakan bahawa perdagangan video seperti penstriman langsung jualan produk, telah berkembang lebih daripada empat kali ganda dalam tempoh dua tahun.

Kewangan digital juga berkembang, diterajui dengan peningkatan penggunaan kod QR dan akses kepada penyelesaian kredit berasaskan aplikasi.

Laporan itu menunjukkan bahawa GMV ekonomi digital Singapura meningkat 13 peratus kepada AS$29 bilion pada 2024, ketinggalan sedikit berbanding pertumbuhan 15 peratus untuk rantau ini dan akan meneruskan kadar pertumbuhan yang lebih perlahan.

Data pemerintah menunjukkan bahawa pada 2023, ekonomi digital Singapura menyumbang 17.7 peratus GDP dan menggajikan 208,300 pekerja.

Ia melebihi sektor perkhidmatan kewangan dan insurans dan menyamai sektor pengilangan, tetapi sumbangannya sebanyak $113 bilion kurang sedikit berbanding $115.9 bilion pada 2022.

Namun masa depan bagi sektor ini kelihatan cerah, kata Encik Fock Wai Hoong, ketua Asia Tenggara di Temasek.

Terdapat juga cetusan minat pelabur dalam sofwe dan teknologi kemampanan, kata Encik Fock.

Usaha meningkatkan pendapatan tanpa kenaikan kos akan membawa keuntungan kepada lebih banyak firma.

Rantau ini juga sedang membangunkan kecerdasan buatan (AI) dengan lebih AS$30 bilion pelaburan untuk infrastruktur AI pada separuh pertama 2024, dengan sekitar AS$9 bilion untuk Singapura membina pusat data AI.

Encik Fock berkata: “Anda benar-benar perlu membina pusat data baru ini, yang saya fikir adalah peluang yang menarik untuk Asia Tenggara.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg