JAKARTA: Indonesia mempercepat usaha memulihkan jalan raya, jambatan, bekalan elektrik, komunikasi dan bekalan air di Nusa Tenggara Timur (NTT), sedang penduduk masih berdepan ribuan gegaran susulan selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda wilayah itu pada 15 Ogos.

Menteri Pekerjaan Umum Indonesia, Encik Dody Hanggodo, berkata kementeriannya bersedia menyokong sepenuhnya operasi kecemasan dan pemulihan prasarana bagi membantu masyarakat yang terjejas membina semula kehidupan mereka.

“Apabila jalan terputus, bekalan air terhenti, sekolah tidak boleh digunakan atau penduduk kehilangan rumah, negara mesti bertindak untuk memulihkan kehidupan mereka,” katanya.

Kementerian itu telah mengerahkan kakitangan dan peralatan berat untuk membuka semula laluan yang terjejas akibat tanah runtuh dan kerosakan jalan raya, selain memulihkan bekalan air serta membantu menyediakan tempat tinggal dan membaiki sekolah.

Encik Dody turut melawat Kabupaten Nagekeo, antara kawasan berhampiran pusat gempa, untuk meninjau kerosakan dan memastikan kerja pembaikan dipercepatkan.

Beliau bertemu penduduk di pusat pemindahan sementara dan memeriksa beberapa bangunan yang rosak, selain mengadakan penyelarasan dengan pemerintah tempatan, agensi bencana, tentera dan pasukan mencari dan menyelamat.

Pada masa sama, Markas Tentera Udayana memberi tumpuan kepada pemulihan bekalan elektrik, rangkaian komunikasi, bahan api, jalan raya dan jambatan, selain memastikan bantuan sampai kepada penduduk.

Komander Tentera Udayana, Mejar Jeneral Piek Budyakto, berkata operasi selepas bencana tidak boleh tertumpu hanya kepada pemindahan mangsa dan pengagihan bantuan.

Selepas keperluan asas penduduk dipenuhi, katanya, perkhidmatan penting dan prasarana perlu dipulihkan secepat mungkin.

“Bantuan Presiden telah dihantar ke kawasan terjejas. Tentera kekal bersiap sedia untuk membantu masyarakat, terutama mereka yang paling teruk terjejas,” katanya.

Mbay dan Maumere diberi perhatian khusus kerana merupakan antara kawasan yang menerima kesan besar daripada gempa tersebut.

Bekalan bahan api turut menjadi keutamaan kerana diperlukan untuk kenderaan, pengangkutan bantuan, perkhidmatan awam dan operasi pemulihan.

Kerja membaiki jalan dan jambatan juga dipercepatkan bagi memastikan kerosakan rangkaian pengangkutan tidak menghalang bantuan sampai kepada masyarakat terpencil.

Usaha pemulihan dilakukan ketika NTT terus digegarkan ribuan gempa susulan.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) merekodkan 2,119 gempa susulan sehingga 5 pagi pada 18 Ogos, dengan kekuatan antara 1.3 dengan 6.2 magnitud.

BMKG memberi amaran gegaran susulan boleh berterusan selama tiga hingga empat minggu lagi dan meminta penduduk menjauhi bangunan yang retak atau rosak kerana berisiko runtuh jika berlaku gegaran kuat.

Gempa utama berpunca daripada aktiviti tektonik di Flores Back-Arc dengan mekanisme sesar naik.

BMKG mengeluarkan amaran tsunami hanya dua minit 16 saat selepas gempa berlaku, meliputi beberapa kawasan di NTT, Nusa Tenggara Barat, Sulawesi Selatan dan Sulawesi Tenggara.

Gelombang tertinggi setinggi 1.6 meter direkodkan di Pota, Manggarai Timur.

Data awal BMKG menunjukkan sekurang-kurangnya 68 orang terkorban dan 213 cedera, meskipun angka korban yang dilaporkan oleh agensi berbeza masih berubah ketika penilaian diteruskan.

Kerosakan besar dilaporkan di beberapa kawasan termasuk Manggarai Barat, Manggarai, Manggarai Timur, Sikka dan Maumere.

Di tengah-tengah usaha pemulihan itu, Badan Urusan Logistik (Bulog) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.

Ketua Pengarah Bulog, Encik Ahmad Rizal Ramdhani, berkata NTT mempunyai simpanan antara 35,000 dengan 37,000 tan beras yang boleh digunakan bagi operasi bantuan kecemasan.

“Stok adalah mencukupi. Jika lebih banyak diperlukan, kami akan menambah bekalan,” katanya.

Setiap pejabat Bulog di kawasan terjejas diarahkan menyediakan sekurang-kurangnya 20 tan beras yang boleh dihantar dengan segera, selain tambahan 1,000 liter minyak masak bersubsidi MinyaKita bagi kegunaan dapur awam.

Bulog turut menyediakan rancangan menghantar bekalan tambahan dari Nusa Tenggara Barat dan Sulawesi Selatan sekiranya kerosakan jalan dan masalah komunikasi menjejaskan penghantaran.

Gempa itu turut menyaksikan petugas perubatan bekerja dalam keadaan mencabar.

Di Nagekeo, seorang wanita berusia 39 tahun, Cik Maria Florida Nogo Kelen, melahirkan bayi perempuan secara pembedahan kecemasan ketika bekalan elektrik terputus dan hospital digegarkan gempa.

Cik Maria Florida Nogo Kelen, 39 tahun, yang melahirkan bayi perempuan melalui pembedahan Caesarean ketika gempa susulan, berada di sebuah hospital di Nagekeo, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, pada 17 Ogos. Pembedahan kecemasan dilakukan ketika bekalan elektrik terputus dan hospital digegarkan gempa, menyebabkan doktor terpaksa menggunakan lampu suluh. Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu selamat dilahirkan dan dinamakan Gempita, mengambil sempena perkataan “gempa”.
Cik Maria Florida Nogo Kelen, 39 tahun, yang melahirkan bayi perempuan melalui pembedahan Caesarean ketika gempa susulan, berada di sebuah hospital di Nagekeo, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, pada 17 Ogos. Pembedahan kecemasan dilakukan ketika bekalan elektrik terputus dan hospital digegarkan gempa, menyebabkan doktor terpaksa menggunakan lampu suluh. Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu selamat dilahirkan dan dinamakan Gempita, mengambil sempena perkataan “gempa”. - Foto REUTERS

Doktor terpaksa menjalankan pembedahan dengan bantuan lampu suluh kerana keadaan kehamilannya menyebabkan kelahiran tidak boleh ditangguhkan.

Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu dilahirkan ketika gegaran susulan dan dinamakan Gempita, diambil daripada perkataan Indonesia “gempa”.

Bayi tersebut dilaporkan stabil dan ditempatkan dalam inkubator di sebuah khemah sementara.

Sedang operasi pemulihan diteruskan, BMKG meminta penduduk kekal berwaspada terhadap gempa susulan dan hanya mengikuti maklumat rasmi.

Bagi pemerintah Indonesia, keutamaan kini bukan sahaja memastikan bantuan kecemasan sampai kepada mangsa, tetapi memulihkan prasarana penting secepat mungkin supaya masyarakat yang terjejas dapat kembali menjalani kehidupan harian. – Agensi berita.