Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi cari mangsa gempa Indonesia diteruskan pada Hari Kemerdekaan
Flores digegar dua lagi gempa sederhana, dua hari selepas gempa kuat -hampir 13,000 hilang tempat tinggal akibat gempa maut Indonesia
MBAY, Indonesia: Ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi kuat di timur Indonesia masih menunggu bantuan kecemasan pada 17 Ogos, ketika pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa di celah runtuhan bangunan.
Gempa berukuran 7.7 magnitud yang melanda wilayah Nusa Tenggara Timur pada 15 Ogos meragut sekurang-kurangnya 53 nyawa dan mencederakan lebih 100 orang.
Bencana itu adalah gempa paling buruk di Indonesia sejak gempa di Jawa Barat pada 2022 yang mengorbankan ratusan penduduk.
Gempa terbaru turut mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan beberapa jalan terputus, termasuk di kawasan Sikka dan Manggarai, sekali gus menyukarkan pergerakan di sesetengah kawasan terjejas.
Sehingga pagi 17 Ogos, seramai 12,800 penduduk tidak dapat kembali ke rumah masing-masing dan berlindung di beberapa bandar di Pulau Flores, menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Encik Berton Suar Pelita Panjaitan.
Ramai berlindung di sekolah, balai polis dan pejabat pemerintah, manakala sebahagian lagi terpaksa tidur di kawasan terbuka untuk malam kedua berturut-turut kerana bimbang gegaran susulan.
Hampir 1,600 gegaran susulan direkodkan sehingga 17 Ogos, menurut laporan media tempatan yang memetik agensi geofizik Indonesia.
Dua lagi gempa bumi sederhana melanda perairan sekitar Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia awal 17 Ogos, dua hari selepas gempa kuat berukuran 7.7 magnitud menggegarkan kawasan itu.
Menurut data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) di laman sesawangnya, gempa terbaharu berukuran 5.8 magnitud berlaku pada 7.46 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak di laut kira-kira 40 kilometer (km) timur laut Nagekeo pada kedalaman 10 kilometer (km)
Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Nusa Tenggara Timur termasuk Nagekeo, Ende, Manggarai, Ngada dan Manggarai Timur.
Terdahulu, gempa berukuran 5 berlaku pada 12.26 tengah malam, dengan pusat gempa di laut kira-kira 75km timur laut Ruteng di Manggarai, juga pada kedalaman 10 km.
Di Mbay, Nagekeo, antara kawasan paling hampir dengan pusat gempa, penduduk mendirikan khemah sementara menggunakan kanvas dan tiang.
“Rumah kami sudah tidak boleh didiami kerana banyak yang runtuh dan penuh dengan rekahan, jadi kami tidak boleh masuk lagi,” kata penduduk Mbay, Encik Junaidin, 32 tahun.
Kira-kira 30 orang berlindung di khemah sementara yang dibinanya.
“Kami hanya pulang ke rumah untuk mengambil air, pakaian dan bantal, kemudian kami bermalam di sini,” katanya.
Ramai penduduk Flores masih mempunyai ingatan pahit terhadap gempa 7.7 magnitud pada 1992 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan kira-kira 2,500 orang.
Ketakutan terhadap tsunami menyebabkan sebahagian penduduk di Ende membawa pakaian dan tilam sebelum berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Sebahagian mangsa melahirkan kekecewaan kerana bantuan belum sampai ketika mereka memerlukan makanan, air bersih, khemah dan ubat-ubatan.
“Kami bersendirian di sini,” kata Encik Junaidin.
Seorang lagi penduduk Mbay, Cik Siti Saudah Daso, 31 tahun, berkata beliau bersama tiga anaknya meninggalkan rumah tanpa sempat membawa barangan keperluan.
“Kami melarikan diri tanpa membawa apa-apa. Hanya pakaian yang kami pakai. Kami mangsa dan sedang berdepan bencana,” katanya.
“Mereka berkata akan memberikan sesuatu kepada kami, tetapi belum ada buktinya. Sejujurnya, kami sedikit kecewa.”
Tentera Udara Indonesia berkata kira-kira 13 tan bantuan kecemasan dihantar menggunakan dua pesawat pengangkut Hercules dan sebuah pesawat Boeing.
Bantuan itu termasuk makanan, pakaian, air bersih dan peralatan perubatan kecemasan.
Helikopter turut dikerahkan untuk menghantar bekalan terus kepada penduduk di kawasan terpencil, sementara anggota tentera membantu mengagihkan bantuan di beberapa pusat utama.
Ketua BNPB, Encik Suharyanto, berkata pesawat telah disediakan untuk membawa bekalan termasuk makanan dan khemah ke kawasan bencana.
Pasukan penyelamat terus memeriksa kawasan terjejas melalui darat dan udara meskipun setakat ini tiada laporan mengenai orang hilang.
Ketua pejabat mencari dan menyelamat di Maumere, Encik Fathur Rahman, berkata helikopter dan peralatan mengeluarkan mangsa daripada runtuhan digunakan dalam operasi tersebut.
“Kami menjalankan operasi darat dan udara menggunakan helikopter. Belum ada laporan mengenai orang hilang, tetapi kami masih menyisir kawasan untuk memastikan keadaan,” katanya.
Pemerintah turut merancang membina hospital lapangan kecemasan di beberapa kawasan.
Timbalan Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Benjamin Paulus Octavianus, berkata pakar bedah saraf dan ortopedik diperlukan bagi merawat mangsa yang mengalami kecederaan kepala dan patah tulang.
Sekurang-kurangnya 914 rumah di Flores mengalami kerosakan teruk, manakala ratusan lagi rosak pada tahap berbeza.
Puluhan bangunan awam, termasuk sekolah, kemudahan kesihatan dan pejabat pemerintah, turut terjejas.
Pertubuhan Save the Children pula berkata lebih 8,000 kanak-kanak menghadapi risiko keselamatan dan gangguan pendidikan akibat bencana tersebut.
Gempa itu berlaku ketika Indonesia menyambut ulang tahun ke-81 kemerdekaannya pada 17 Ogos.
Di Jakarta, kira-kira 1,500 kilometer dari kawasan bencana, Presiden Prabowo Subianto mengetuai sambutan Hari Kemerdekaan.
Namun bagi mangsa seperti Encik Gervas, 42 tahun, yang berpindah bersama isteri dan anak kembarnya berusia empat tahun kerana bimbang tsunami, sambutan itu bukan lagi keutamaan.
“Saya tidak memikirkannya lagi. Saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak kembar saya,” katanya.
Indonesia kerap dilanda gempa kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang mempunyai aktiviti gempa dan gunung berapi yang tinggi. - Agensi berita

