JAKARTA: Pemerintah Indonesia memperketat pemantauan kegiatan pelancongan di gunung berapi seluruh negara susulan tragedi letusan Gunung Dukono pada Mei lalu yang mengorbankan tiga pendaki termasuk dua rakyat Singapura.

Kementerian Pelancongan Indonesia berkata pihaknya kini memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh pengawasan dan penyelarasan bersama agensi berkaitan termasuk Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) bagi meningkatkan kecekapan operasi kecemasan dan masa tindak balas.

Kementerian turut akan bekerjasama dengan pengurusan destinasi pelancongan alam semula jadi untuk mengetatkan pemantauan di pintu masuk laluan pendakian gunung berapi.

Langkah tersebut bertujuan memastikan tiada pelawat dibenarkan memasuki kawasan gunung apabila status amaran berada pada tahap waspada atau siaga, iaitu tahap II dan III dalam sistem amaran empat peringkat gunung berapi Indonesia.

Pihak berkuasa juga akan menjalankan audit terhadap pemandu pelancong bagi memastikan mereka mematuhi peraturan dan tidak membawa pelawat memasuki kawasan bahaya demi tujuan dokumentasi atau penghasilan kandungan media sosial.

“Kami berharap ini menjadi pengajaran terakhir yang sangat keras buat semua pihak dalam sektor pelancongan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita, Antara.

“Kami amat kesal dengan pelanggaran zon bahaya yang telah ditetapkan,” tambah kenyataan itu.

Gunung Dukono di Halmahera Utara, Maluku Utara merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dengan ketinggian 1,087 meter.

Pada 8 Mei lalu, gunung itu meletus dan memuntahkan abu gunung berapi setinggi 10 kilometer ke udara selain disertai gegaran selama kira-kira 16 minit.

Ketika kejadian, seramai 20 pendaki berada di gunung tersebut termasuk sembilan rakyat Singapura walaupun pihak berkuasa sudah melarang semua kegiatan pendakian sejak pertengahan April berikutan peningkatan aktiviti seismik.

Pusat Vulkanologi Indonesia ketika itu mengekalkan status waspada bagi Gunung Dukono dan melarang sebarang kegiatan dalam radius empat kilometer dari kawah gunung.

Dua pendaki warga Singapura dan seorang wanita Indonesia maut dalam tragedi tersebut.

Mayat kedua-dua rakyat Singapura ditemui kira-kira 550 meter dari puncak Gunung Dukono dua hari selepas letusan berlaku.

Kes itu mendapat perhatian besar di seluruh Indonesia dan mencetuskan penelitian terhadap aspek penguatkuasaan serta kecuaian dalam kalangan pemandu pelancong tempatan yang membawa pelawat memasuki kawasan larangan gunung berapi aktif.

Polis kemudian menamakan malim gunung dikenali sebagai Reza Selang, sebagai suspek kerana didakwa membawa pelawat mendaki Gunung Dukono walaupun sudah terdapat larangan rasmi daripada pihak berkuasa.

Beliau juga didakwa gagal bekerjasama dengan pos pemantauan Gunung Dukono sebelum membawa kumpulan pendaki.

Siasatan polis mendapati Reza berdepan pertuduhan mengikut Artikel 474 Perenggan 3 Kanun Jenayah Indonesia berkaitan kecuaian yang menyebabkan kematian.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda 500 juta ($35,468) rupiah.

Indonesia mempunyai lebih 120 gunung berapi aktif, kebanyakannya menjadi destinasi pelancongan popular termasuk Gunung Bromo di Jawa Timur dan Gunung Rinjani di Nusa Tenggara Barat.

Tragedi Dukono bukan satu-satunya tragedi maut melibatkan pendaki di gunung berapi aktif di Indonesia.

Pada Disember 2023, seramai 24 pendaki maut dan 12 lagi cedera selepas Gunung Marapi di Sumatera Barat meletus ketika sekumpulan pendaki berada di kawasan gunung itu.

Laporan ketika itu menyebut permit pendakian masih dikeluarkan walaupun ahli vulkanologi sudah memberi amaran mengenai potensi letusan, menyebabkan sekurang-kurangnya 75 pendaki dibenarkan mendaki pada hari gunung itu meletus. – Agensi berita.