Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia perlu AS$200b untuk pembangunan mampan

Dana pembangunan inovatif dan mesra alam perlu dalam usaha transformasi ekonomi Indonesia
Aug 23, 2023 | 5:01 PM
PERLU PELABURAN: Menteri Kewangan Indonesia, Cik Sri Mulyani Indrawati berkata dana pembangunan yang inovatif dan mesra alam adalah perlu bagi melaksanakan usaha transformasi ekonomi.
PERLU PELABURAN: Menteri Kewangan Indonesia, Cik Sri Mulyani Indrawati berkata dana pembangunan yang inovatif dan mesra alam adalah perlu bagi melaksanakan usaha transformasi ekonomi. - Foto AFP

JAKARTA: Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati menganggarkan bahawa Indonesia memerlukan pelaburan AS$200 bilion ($280 bilion) untuk merealisasikan pembangunan mampannya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau menyatakan demikian dalam siri mesyuarat Menteri Kewangan Asean dan Gabenor Bank Pusat di Jakarta pada Selasa.

Menurutnya, dana pembangunan inovatif dan mesra alam adalah perlu bagi melaksanakan usaha transformasi ekonomi.

Dalam konteks Kementerian Kewangan, beberapa program untuk merealisasikan kelestarian telah dilaksanakan, seperti insentif fiskal untuk menarik pelaburan dan mengarahkan mereka kepada projek dan industri hijau.

Selain itu, kata Cik Mulyani, insentif lain yang diberikan kepada pelabur ialah pengecualian cukai atau elaun cukai. Indonesia juga dalam proses melaksanakan peraturan mengenai perdagangan karbon sebagai instrumen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Beliau turut menekankan peri perlunya kerjasama dalam usaha mewujudkan bangunan dan perumahan cekap tenaga dengan mengehadkan penggunaan tenaga sambil memberi perhatian kepada sistem pengudaraan dan penyejukan.

“Kami menghargai program Kementerian Kerja Raya dan Perumahan untuk membangunkan sejuta rumah dan pemasangan semula yang berkonsepkan perumahan hijau,” ujar Cik Sri Mulyani.

Beliau turut menggesa pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam pembangunan mampan, salah satunya melalui rangka kerja dasar.

Rangka kerja itu akan membangunkan peraturan dan instrumen bagi merealisasikan pembiayaan untuk perumahan hijau di Indonesia.

Dalam pada itu, Cik Sri Mulyani turut berkongsi pertemuannya dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) menerusi akaun Instagram peribadinya, @smindrawati.

“Bank Pembangunan Asia adalah salah satu rakan kongsi penting Indonesia, terutama dalam hal pembangunan di Asia,” tulis beliau pada Rabu.

Cik Sri Mulyani berkata bahawa kementeriannya bertukar-tukar pendapat dengan perwakilan ADB yang diketuai Pengarah Eksekutifnya, Encik Sameer Kumar Khare.

Menurutnya, semasa mesyuarat itu, perbincangan tertumpu kepada bagaimana mengoptimuman peranan ADB di Asia Tenggara.

Di samping itu, beliau berharap ADB dapat bekerjasama dengan Indonesia dalam menghadapi isu sejagat memandangkan terdapat pelbagai cabaran yang mustahil untuk ditangani oleh negara tunggal, seperti pandemik Covid-19 dan perubahan iklim.

“Adalah perlu untuk mempunyai semangat pelbagai hala dan menyampaikan hasil lebih cepat dan lebih baik,” katanya.

Menerusi mesyuarat itu, Cik Sri Mulyani akur bahawa ADB mempunyai tanggungjawab kritikal, terutamanya berkaitan pembasmian kemiskinan dan merealisasikan rantau Asia yang makmur.

Sementara itu, isu keganasan menjadi kebimbangan utama ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Jenayah Rentas Negara ke-17 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur.

Indonesia, selaku tuan rumah, menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama serantau bagi menangani ancaman yang berpotensi menggugat kestabilan rantau ini.

“Kumpulan pengganas di sebuah negara menimbulkan ancaman kepada seluruh wilayah,” kata jurucakap polis unit elit antikeganasan, Encik Aswin Siregar dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kerjasama itu termasuk menangani pembiayaan keganasan, menentang penyebaran ideologi pelampau melalui media sosial, dan daya usaha untuk meningkatkan keupayaan pencegahan dan tindak balas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg