Indonesia persiap majlis angkat sumpah Prabowo Presiden ke-8

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia persiap majlis angkat sumpah Prabowo Presiden ke-8

Lebih 24,000 anggota tentera dikerah jaga keselamatan upacara 20 Okt
Oct 18, 2024 | 10:36 AM

Indonesia persiap majlis angkat sumpah Prabowo Presiden ke-8

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sepanduk dipasang di Jakarta pada 17 Oktober mengucapkan terima kasih kepada Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dan mengucapkan tahniah kepada Presiden terpilih Indonesia Encik Prabowo Subianto dan Naib Presiden Encik Gibran Rakabuming Raka menjelang acara angkat sumpah pada 20 Oktober.
Sepanduk dipasang di Jakarta pada 17 Oktober mengucapkan terima kasih kepada Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dan mengucapkan tahniah kepada Presiden terpilih Indonesia Encik Prabowo Subianto dan Naib Presiden Encik Gibran Rakabuming Raka menjelang acara angkat sumpah pada 20 Oktober. - Foto AFP

JAKARTA: Encik Prabowo Subianto telah diisytiharkan secara rasmi sebagai Presiden Indonesia bagi tempoh 2024-2029 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).

Pengerusi Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) itu akan menjadi presiden Republik Indonesia paling berusia apabila beliau memulakan tugas dan mengangkat sumpah pada 20 Oktober pada umur 73 tahun.

Majlis pelantikan Encik Prabowo sebagai Presiden dan Encik Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden dijangka berlangsung selama kira-kira 90 minit.

Majlis angkat sumpah dijadual bermula pada 10 pagi di bangunan Parlimen, dan akan dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Rakyat (MPR), ujar Ketua Parti Gerindra di Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Habiburokhman.

Bagi tujuan keselamatan, 24,000 anggota tentera dikerahkan manakala pasukan polis khas yang terdiri daripada 6,757 anggota akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran majlis.

Terdiri daripada 4,100 anggota pasukan polis Jakarta; 1,667 anggota polis tempatan; dan 133 anggota pemerintah tempatan serta pihak-pihak berkaitan, mereka akan mengawal keselamatan kawasan Kompleks Parlimen serta laluan tetamu kenamaan dan penting.

Selepas pelantikan, puluhan ribu penyokong Encik Prabowo merancang untuk mengiringi beliau dalam satu perarakan besar di sekitar bandar.

Ketua rangkaian sukarelawan ‘Prabowo Mania’, Encik Immanuel Ebenezer, mengesahkan bahawa pengerusi Parti Gerindra itu akan diarak dari Kompleks Legislatif Senayan, tempat beliau dilantik secara rasmi oleh Ahli Parlimen, hingga ke Istana Negara di Jakarta Pusat.

Ini merupakan satu penghormatan besar daripada penyokong Encik Prabowo yang tidak sabar untuk menyambut presiden kelapan negara itu.

Dengan pelantikan itu, Encik Prabowo akan memecahkan rekod sebagai presiden tertua dalam sejarah Indonesia, menggantikan rekod sebelumnya yang dipegang oleh Encik Bacharuddin Jusuf Habibie, yang dilantik sebagai presiden pada usia 61 tahun pada 1998.

Encik Prabowo dilahirkan pada 17 Oktober 1951 di Jakarta dan merupakan anak kepada Encik Sumitro Djojohadikusumo, seorang pakar ekonomi, dan Cik Dora Sigar.

Kerjaya politik Encik Prabowo bermula sejak 2004 apabila beliau mencalonkan diri sebagai calon presiden dari Parti Golkar.

Namun, pada masa itu beliau tewas kepada Encik Wiranto yang menjadi calon presiden Parti Golkar .

Pada 2009, Encik Prabowo kembali dalam persaingan pilihan raya sebagai calon naib presiden, bergandingan dengan Cik Megawati Sukarnoputri.

Malangnya, pasangan itu tewas kepada Encik Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan Encik Boediono.

Pada pilihan raya presiden 2014, Encik Prabowo bertanding semula bersama Encik Hatta Rajasa tetapi sekali lagi tidak berjaya menewaskan pasangan Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo dan Encik Jusuf Kalla.

Pada pilihan raya 2019, Encik Prabowo mencuba nasib sekali lagi, kali ini dengan Encik Sandiaga Uno sebagai pasangan, tetapi beliau sekali lagi kalah kepada Encik Jokowi yang berganding dengan Encik Ma’ruf Amin.

Dalam pilihan raya presiden 2024, Encik Prabowo berpasangan dengan Encik Gibran, anak sulung Encik Jokowi, yang mencetuskan kontroversi berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang membenarkan calon presiden dan naib presiden berumur 40 tahun atau mempunyai pengalaman sebagai pemimpin wilayah.

Majlis pelantikan dijangka berjalan lancar dengan persiapan rapi di Istana Presiden.

Para pekerja di istana telah sibuk sejak beberapa hari lalu, membersihkan kawasan istana, menghias taman, serta memastikan segala kemudahan sedia untuk menerima para tetamu yang akan hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Encik Jokowi dan mengalu-alukan Encik Prabowo sebagai presiden baharu.

Selepas majlis perlantikan itu, Encik Jokowi dijangka pulang terus ke kampung halamannya di Surakarta, Jawa Tengah.

Encik Jokowi menyatakan hasratnya untuk kembali ke kampung halaman sejurus selepas majlis pelantikan Encik Prabowo bagi menandakan peralihan kuasa yang lancar.

Encik Jokowi menyatakan bahawa beliau tidak menjangka sebarang acara besar di Surakarta, bandar tempat beliau dilahirkan, dibesarkan, dan memulakan kerjaya dalam politik sebagai Datuk Bandar hampir dua dekad lalu.

“Saya merancang untuk terus pulang (ke Surakarta), tiada yang lain. Saya akan menaiki kapal terbang, (berlepas) dan pulang,” kata Encik Jokowi pada 16 Oktober malam selepas melawat cucu perempuannya yang baru dilahirkan di sebuah hospital di Jakarta.

“Tiada acara (di Surakarta). Keluarga saya tinggal di Medan atau Jakarta,” tambah Encik Jokowi, yang telah menguruskan dokumen yang diperlukan untuk menukar tempat kediamannya sebelum berpindah semula ke kampung halamannya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg