JAKARTA: Di sebuah rumah sederhana beratapkan genting dengan dinding buluh di kawasan tanah tinggi yang menghijau di Jawa Barat, seorang pelajar tingkatan enam, Shakila Fitriyani kini lebih bersemangat untuk ke sekolah.
Sebagai anak buruh harian yang bercita-cita menjadi doktor, dia merasa gembira kerana setiap hari dia diberikan makan tengah hari percuma di sekolah.
“Saya gembira dapat makanan berkhasiat, susu dan buah-buahan,” kata Shakila. “Ini membuat saya lebih bersemangat untuk ke sekolah.”
Sejak Januari lalu, Shakila menjadi salah seorang daripada ribuan pelajar yang menerima makanan tengah hari di bawah program perintis yang dilaksanakan di Jawa Barat. Hidangan tengah hari itu terdiri daripada nasi, telur rebus pedas, sayur-sayuran goreng, sekotak susu dan sepotong tembikai.
Program ini adalah salah satu janji kempen presiden yang bakal dilantik, Encik Prabowo Subianto, yang bertujuan menyediakan makanan percuma kepada sekitar 83 juta kanak-kanak dan ibu mengandung di seluruh Indonesia.
Namun, program yang menelan kos sebanyak AS$28 juta ($36.8 juta) itu tidak terlepas daripada kritikan.
Pelabur dan agensi penarafan mempersoalkan bagaimana program ini akan dibiayai tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara yang baru sahaja stabil. Dengan Indonesia yang terdiri daripada ribuan pulau, logistik untuk melaksanakan program ini juga dilihat sebagai cabaran besar.
Encik Prabowo, yang akan menggantikan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo pada 20 Oktober, menyatakan bahawa program ini penting dalam usaha mengatasi masalah pertumbuhan terbantut yang menjejas 21.5 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Bagi meredakan kebimbangan mengenai bajet, Encik Prabowo menghadkan perbelanjaan tahun pertama kepada 71 trilion rupiah ($5.9 bilion) supaya defisit fiskal tahunan kekal di bawah had undang-undang sebanyak 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Seorang ahli ekonomi dari Pusat Reformasi Ekonomi Indonesia, Cik Eliza Mardian, menyatakan bajet tersebut mungkin tidak mencukupi, terutamanya kerana harga susu yang diimport oleh Indonesia agak mahal. “Dengan keadaan fiskal kita yang ketat, ada kemungkinan perbelanjaan akan meningkat yang akhirnya boleh menyebabkan hutang tambahan,” kata Cik Eliza.
Tambahnya lagi, jika program ini memerlukan lebih banyak import makanan, ia juga boleh memburukkan lagi imbangan pembayaran luar negara.
Sebaliknya, Encik Prabowo berpendapat bahawa program ini adalah salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi yang dijangka menambah 2.5 juta pekerjaan dan meningkatkan permintaan terhadap hasil tempatan. Beliau berjanji akan mempercepatkan pertumbuhan KDNK kepada 8 peratus daripada 5 peratus pada masa ini.
Untuk memastikan pelaksanaan program ini pada Januari 2025, Encik Prabowo telah meminta pentadbiran Encik Jokowi untuk menubuhkan Badan Pemakanan Nasional yang baru yang akan diketuai oleh Encik Dadan Hindayana. Pada peringkat awal, 3 juta pelajar akan menerima makanan percuma dengan jumlah itu dijangka berganda menjelang April dan mencapai 15 juta pada Julai 2025.
Namun, salah satu cabaran utama ialah memastikan kanak-kanak makan sayur-sayuran. “Kita tahu kanak-kanak tidak suka makan sayur,” kata Encik Pahmi Idris, pengurus dapur program perintis di Sukabumi. “Kita perlu mendidik mereka tentang pentingnya makan sayur-sayuran,” ujarnya.
Meskipun menghadapi pelbagai cabaran, penduduk Sukabumi melihat manfaat program ini secara langsung.
Encik Roby Nurdin, seorang pembekal sayur-sayuran dan buah-buahan, berkata pendapatan beliau telah meningkat dua kali ganda sejak terlibat dalam program tersebut.
Selain itu, kehadiran pelajar ke sekolah juga meningkat, menurut Cik Lastri Samtiawati, seorang guru di sekolah Shakila. “Pelajar kini lebih aktif,” tambahnya. “Saya dapat melihat sendiri kesan langsung pemakanan yang baik terhadap kanak-kanak.” – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg