TANGERANG: Pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 7 Mei telah menggagalkan pelepasan 36 anggota jemaah haji dan dua pegawai penyelaras yang cuba melakukan perjalanan ke Makkah dengan menggunakan visa kerja dan bukannya permit haji rasmi.
Kumpulan itu dihalang ketika bersiap sedia untuk menaiki penerbangan sambungan ke Arab Saudi walaupun tidak mempunyai visa haji yang diperlukan di bawah peraturan Saudi.
Visa haji itu dikawal ketat melalui kerjasama dua hala antara Indonesia dengan kerajaan Arab Saudi untuk mengelakkan pelanggaran berulang seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.
Pesuruhjaya Yandi Mono, Ketua Unit Siasatan Jenayah pasukan polis di lapangan terbang berkata, kumpulan itu berhasrat menunaikan haji secara haram dengan menggunakan “skim visa kerja”.
“Mereka sudah bersiap untuk berlepas dengan penerbangan sambungan,” kata Encik Yandi kepada pemberita di Tangerang, Banten.
Kesemua jemaah itu telah menempah tiket dengan penerbangan Sri Lankan Airlines UL 356, dalam perjalanan dari Jakarta ke Colombo dan seterusnya ke Riyadh.
Pelepasan mereka dihentikan selepas pegawai imigresen mendapati dokumen yang mencurigakan semasa pemeriksaan rutin.
Kumpulan tersebut berasal dari pelbagai wilayah, antaranya Tegal, Brebes, Lampung, Bengkulu, Palembang, Makassar, Medan, dan Jakarta.
Mereka berusia antara 35 dengan 72 tahun.
Jemaah itu masing-masing telah membayar antara 139 juta rupiah ($10,851) dengan 175 juta rupiah ($13,662) kepada dua penganjur yang mengatur perjalanan mereka.
“Kedua-dua penganjur tidak memaklumkan kepada jemaah haji bahawa visa itu adalah untuk tujuan kerja, bukan untuk haji.
“Mereka meyakinkan kumpulan itu dengan memetik kejayaan perjalanan ke tanah suci dengan melakukan taktik yang sama pada 2024,” tambah Encik Yandi.
Menurut kenyataan kedua-dua penganjur itu, sebaik kumpulan itu tiba di Arab Saudi, mereka merancang memohon permit kerja yang membolehkan mereka tinggal lebih lama dan boleh menunaikan ibadah haji.
“Kami kini menyiasat kedua-dua penganjur itu kerana disyaki melanggar peraturan berkaitan penganjuran perjalanan haji tanpa kebenaran,” ujar Encik Yandi.
Kedua-dua penganjur itu boleh menghadapi pertuduhan mengikut Undang-undang No. 8/2019 mengenai Penganjuran Haji dan Umrah, yang membawa hukuman penjara maksimum enam tahun.
Pada 2025, Indonesia diberikan kuota haji seramai 221,000 anggota jemaah oleh kerajaan Saudi dengan kumpulan pertama berlepas pada 2 Mei.
Ramai di antara mereka telah menunggu lebih sedekad untuk giliran mereka ke tanah suci. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg