Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia ingatkan jemaah guna saluran sah tunai Haji 2025

Apr 17, 2025 | 10:42 AM
Rakyat Indonesia yang ingin menunaikan Haji 2025 dinasihatkan agar hanya menggunakan saluran rasmi dan mematuhi sepenuhnya peraturan Arab Saudi.
Rakyat Indonesia yang ingin menunaikan Haji 2025 dinasihatkan agar hanya menggunakan saluran rasmi dan mematuhi sepenuhnya peraturan Arab Saudi. - Foto Instagram Haramain

JAKARTA: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Jeddah menggesa rakyat Indonesia yang bercadang menunaikan ibadah Haji 2025 agar hanya menggunakan saluran rasmi dan mematuhi sepenuhnya peraturan Arab Saudi bagi mengelakkan masalah undang-undang serta pentadbiran.
“Seruan ini penting demi memastikan perjalanan Haji yang lancar, selamat dan selesa,” menurut kenyataan rasmi KJRI.

KJRI turut memperincikan enam kategori visa berkaitan Haji dan menasihati jemaah agar memahami setiap kategori supaya tidak menghadapi sebarang komplikasi ketika berada di Tanah Suci.

Saluran Sah Haji:

Haji Biasa atau Khusus: Diuruskan oleh pemerintah Indonesia melalui kuota rasmi dari Arab Saudi. Ini merupakan satu-satunya saluran sepenuhnya sah bagi majoriti jemaah Indonesia.
Haji Mujamalah: Undangan khas berskala kecil daripada kerajaan Arab Saudi. Walaupun terhad, visa ini sah secara undang-undang.
Haji Furada: Undangan bukan kuota yang dikeluarkan terus oleh pihak Arab Saudi dan hanya boleh diperoleh melalui aplikasi rasmi Nusuk.

Kategori Berisiko dan Tidak Sah:

Haji Dakhili: Dikhaskan untuk warga Saudi dan ekspatriat. Terdapat rakyat Indonesia yang cuba masuk lebih awal menggunakan visa kerja, kemudian membeli pakej Haji melalui Nusuk. Kaedah ini berisiko tinggi dan boleh menyulitkan kepulangan ke tanah air jika berlaku isu dengan majikan.
Visa Kerja Musim Haji: Dikeluarkan untuk tujuan bekerja sementara dan tidak boleh digunakan untuk menunaikan Haji.
Visa Pelancong dan Umrah: Dilarang keras digunakan bagi tujuan Haji. Arab Saudi tidak membenarkan ibadah Haji tanpa permit rasmi.

KJRI menegaskan bahawa penggunaan pakej tidak rasmi atau terlalu murah boleh mengakibatkan jemaah dikenakan tindakan undang-undang termasuk deportasi, penahanan atau denda yang tinggi.
Bagi mengesahkan kesahihan visa atau penganjur Haji, rakyat dinasihatkan berhubung dengan Kementerian Agama atau saluran rasmi pemerintah.

Menteri Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar, yang baru pulang dari lawatan kerja ke Jordan dan Arab Saudi, mengesahkan bahawa persiapan untuk menyambut jemaah Haji Indonesia hampir selesai. “Alhamdulillah, untuk Haji tahun ini, persiapan di Makkah dan Madinah hampir 100 peratus siap,” katanya di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada 16 April.

Menurut beliau, pemerintah telah mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan Panitia Penyelenggara Ibadah Haji (PPIH) di Arab Saudi dan melaksanakan beberapa langkah penjimatan kos tahun 2025 ini.
“Murah bukan bererti mutu perkhidmatan terjejas. Sebaliknya, kami akan berikan yang terbaik pada harga yang sangat berpatutan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa Indonesia dikenali sebagai antara negara terbaik dalam pengurusan Haji dengan kadar pelanggaran jemaah yang sangat rendah. “Satu perlima jemaah Haji dunia datang dari Indonesia, tapi kadar pelanggaran sangat rendah. Ini sesuatu yang membanggakan,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg