Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia rancang bina 39 lapangan terbang baru
Indonesia rancang bina 39 lapangan terbang baru
Indonesia rancang bina 39 lapangan terbang baru
JAKARTA: Indonesia sedang merancang pembinaan 39 lapangan terbang baharu di seluruh negara sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan pengangkutan udara dan merangsang pembangunan ekonomi lebih seimbang di kawasan pedalaman serta wilayah terpencil.
Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata peluasan itu akan meningkatkan jumlah hab penerbangan yang dirancang di negara kepulauan terbesar dunia itu kepada 296, berbanding 257 lapangan terbang yang kini beroperasi.
Ketua Pengarah Penerbangan Awam kementerian itu, Encik Lukman F. Laisa, berkata langkah berkenaan mencerminkan komitmen pemerintah untuk memperluas kesalinghubungan nasional.
“Rangkaian ini mencerminkan komitmen pemerintah untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih adil kepada wilayah sempadan, kawasan terluar dan kawasan kurang membangun,” katanya pada Persidangan Nasional Persatuan Pakar Lapangan Terbang Indonesia (IABI) 2026 di Jakarta pada 30 Jun.
Menurut beliau, pembinaan lapangan terbang baharu itu bertujuan memperluas akses pengangkutan udara ke kawasan pedalaman, memperkukuh jaringan penerbangan domestik dan membantu mempercepat pertumbuhan ekonomi wilayah.
Indonesia yang terdiri daripada ribuan pulau berdepan cabaran geografi yang kompleks dalam pembangunan prasarana penerbangan.
Lukman berkata jurutera perlu membina lapangan terbang di kawasan paya, tanah gambut, pergunungan berbatu serta pulau kecil yang terpencil.
“Pembangunan prasarana penerbangan di Indonesia memerlukan inovasi kejuruteraan kerana keadaan geografi yang mencabar,” katanya.
Walaupun pelbagai cabaran teknikal berjaya diatasi sebelum ini, beliau menegaskan pembangunan masa depan perlu memberi tumpuan kepada kelestarian jangka panjang.
Menurutnya, lapangan terbang moden yang bakal dibina akan mengutamakan keselamatan, penggunaan teknologi canggih dan ketahanan terhadap perubahan iklim.
“Kita perlu memastikan pembangunan lapangan terbang masa depan lebih mampan dan mampu menghadapi cabaran perubahan iklim,” katanya.
Kementerian itu turut menggesa organisasi profesional seperti IABI meningkatkan kompetensi sumber manusia, terutama dalam penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Encik Lukman berharap lebih ramai pakar Indonesia memperoleh pensijilan profesional bertaraf antarabangsa supaya mampu bersaing dalam projek penerbangan global.
Pada masa sama, Pengerusi Persatuan Pengguna Perkhidmatan Penerbangan Indonesia (APJAPI), Encik Alvin Lie, menyambut baik kerjasama antara pemerintah dan pemain industri penerbangan.
Menurut beliau, penglibatan pakar industri penting bagi menghasilkan penyelesaian konkrit terhadap cabaran dinamik yang sedang dihadapi sektor penerbangan negara itu.
“Kerjasama antara pakar dan industri sangat penting bagi memastikan sektor penerbangan Indonesia terus berkembang secara mampan,” katanya.
Pemerintah Indonesia melihat pembangunan lapangan terbang sebagai elemen penting untuk memperkukuh integrasi nasional, terutama di kawasan terpencil yang masih bergantung kepada pengangkutan udara sebagai laluan utama.
Selain meningkatkan mobiliti penduduk dan perdagangan, projek itu juga dijangka membantu memperluas sektor pelancongan serta menarik lebih banyak pelaburan ke wilayah luar bandar dan pulau terpencil di seluruh Indonesia. - Agensi berita
