SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lapangan Terbang Changi kendali 17.6j penumpang pada suku pertama

Lapangan Terbang Changi kendali 17.6j penumpang pada suku pertama

Peningkatan dicatat meski perjalanan antara S’pura dengan Timur Tengah merosot akibat perang di Iran
Apr 17, 2026 | 2:40 PM

Lapangan Terbang Changi kendali 17.6j penumpang pada suku pertama

Lapangan Terbang Changi, trafik penumpang, industri penerbangan, pesawat, Changi, penumpang
Bagi tempoh 12 bulan sehingga Mac, trafik penumpang meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun kepada 70.4 juta, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 12 bulan. - Foto fail

Lapangan Terbang Changi telah mengendalikan sekitar 17.6 juta penumpang dalam tempoh tiga bulan pertama 2026, meningkat 2.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Peningkatan tersebut dicatatkan meskipun perjalanan antara Singapura dengan Timur Tengah merosot akibat perang di Iran.

Bagi tempoh 12 bulan sehingga Mac 2026, trafik penumpang meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun kepada 70.4 juta, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 12 bulan.

Pada Mac, trafik penumpang antara Singapura dengan Timur Tengah pula menurun 80 peratus berbanding tempoh sama pada 2025, menyusuli gangguan dan pembatalan penerbangan.

Demikian menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan pengendali lapangan terbang, Changi Airport Group (CAG) pada 17 April.

Sebagai respons, syarikat penerbangan telah melancarkan kira-kira 90 penerbangan tambahan antara Singapura dengan bandar seperti Frankfurt, London, Munich, Muscat, Paris, Perth dan Sydney.

Changi mengendalikan 95,300 pergerakan pesawat – merangkumi pendaratan dan pelepasan – dari Januari hingga Mac 2026, peningkatan 1.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2025, menurut CAG.

Menurut perangkaan CAG, permintaan perjalanan pada suku pertama 2026 dipacu oleh trafik ulang-alik yang kukuh antara Singapura dengan Asia Utara serta Eropah.

Ini sekali gus menyokong pertumbuhan meskipun terjejas dengan situasi geopolitik di Timur Tengah.

Lima pasaran utama Changi bagi suku pertama ialah China, Indonesia, Malaysia, Australia, dan India.

Dalam kalangan 10 pasaran terbesar Changi, Vietnam dan China mencatat pertumbuhan terpantas, masing-masing meningkat sebanyak 26.5 peratus dan 17.7 peratus.

Laluan paling sibuk bagi suku tersebut ialah Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Tokyo, dan Hong Kong. 

Manakala di kalangan 10 laluan paling sibuk, destinasi ke Shanghai, Taipei, dan Tokyo mencatatkan pertumbuhan paling kukuh.

Naib Presiden Eksekutif CAG bagi pembangunan hab udara dan kargo, Encik Lim Ching Kiat, berkata permintaan perjalanan kekal kukuh, didorong oleh pertumbuhan di Asia Utara dan Eropah.

“Meskipun terdapat sedikit kesan daripada krisis di Timur Tengah, kami menunjukkan daya tahan dan menjalinkan kerjasama rapat dengan rakan kongsi syarikat penerbangan kami sebagai respons kepada permintaan penumpang yang berkembang serta peralihan corak perjalanan,” katanya.

“Kami akan terus memantau situasi geopolitik dunia dan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menyediakan alternatif kepada penumpang melalui rangkaian kami yang pelbagai.”

Lapangan Terbang Changi telah mengendalikan sebanyak 69.98 juta penumpang pada 2025, rekod tahunan tertinggi bagi lapangan terbang tersebut.

Angka tersebut mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 68.3 juta penumpang yang dicatatkan pada 2019, sebelum berlakunya pandemik Covid-19 yang melumpuhkan industri penerbangan dan mengganggu perjalanan udara global.

Dengan Lapangan Terbang Changi menambah lebih banyak rangkaian bandar pada suku pertama 2026, pelawat kini boleh menjangkakan lebih banyak pilihan perjalanan.

Di Asia Tenggara, syarikat penerbangan tambang rendah Scoot memulakan lima penerbangan mingguan ke Chiang Rai, Thailand; serta empat penerbangan mingguan ke Palembang, Indonesia.

Selain itu, syarikat penerbangan Australia, Jetstar Airways, telah menambah perkhidmatan ke Sunshine Coast dan Newcastle – kedua-duanya melalui Bali.

Ini sekali gus menjadikan rangkaian lapangan terbang tersebut ke Australia mencecah rekod sembilan bandar.

Sementara itu, Lapangan Terbang Changi telah mengendalikan 517,000 tan kargo udara pada suku pertama 2026, meningkat 7.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Lima pasaran kargo udara utama lapangan terbang tersebut pada tempoh Januari hingga Mac, ialah China, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan India.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg