JAKARTA: Indonesia merancang memulangkan banduan asing dari Australia, Perancis dan Filipina menjelang akhir 2024, kata seorang menteri pada 28 November.
Tahanan berprofil tinggi itu termasuk seorang wanita Filipina yang diselamatkan daripada hukuman mati dan baki anggota ‘Bali Nine’ Australia, semuanya disabitkan dengan tuduhan dadah.
“Sasaran kami adalah pemulangan banduan asing ini diharapkan dapat diselesaikan pada akhir Disember,” kata menteri kanan, Encik Yusril Ihza Mahendra.
Pengumuman itu dibuat selepas Encik Yusril berkata minggu lalu bahawa Presiden Prabowo Subianto telah meluluskan pemulangan tahanan Filipina, Mary Jane Veloso.
Banduan itu dibenarkan penangguhan hukuman mati pada 2015, lima tahun selepas diberkas bersama beg pakaian yang dilapik dengan 2.6 kilogram dadah jenis heroin.
Veloso, yang kesnya mencetuskan kekecohan di Filipina, berkata awal sebelum ini bahawa dia “sangat gembira” selepas mendengar dia mungkin dibenarkan pulang ke tanah air tidak lama lagi.
Rundingan juga sedang berjalan dengan Canberra mengenai pemindahan lima warga Australia yang ditahan pada 2005. Mereka merupakan sebahagian anggota sindiket dadah.
Dua anggota daripada kumpulan ‘Bali Nine’ telah dihukum mati oleh skuad penembak, seorang meninggal dunia akibat barah dan seorang lagi dibebaskan pada 2018.
Matthew Norman, Si Yi Chen, Michael Czugaj, Scott Rush dan Martin Stephens kekal dalam penjara selepas disabitkan kesalahan kerana cuba menyeludup lebih lapan kilogram heroin di pulau percutian Bali.
Encik Yusril, yang bidang kuasanya meliputi undang-undang, hak asasi manusia, imigresen dan pemulihan, berkata beliau akan membincangkan kes mereka semasa lawatan Menteri Dalam Negeri Australia, Encik Tony Burke, minggu depan.
Menteri Indonesia itu berkata pemerintah juga sedang membincangkan dengan Paris “mengenai kemungkinan memulangkan banduan warga negara Perancis”, tanpa memberitahu banduan yang dimaksudkan itu.
Encik Yusril mengulangi keutamaan Jakarta untuk tahanan melengkapkan tempoh hukuman penjara mereka di rumah.
“Kami memindahkan mereka ke negara mereka supaya mereka boleh menjalani hukuman di sana, tetapi jika negara ingin memberi pengampunan, kami menghormatinya. Itu hak mereka,” katanya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg