JAKARTA: Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemulihan, Encik Yusril Ihza Mahendra, berkata pihaknya sedang mengkaji semula rancangan untuk membawa pulang Reynhard Sinaga, pesalah seksual yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di Britain.
Encik Yusril berkata perbincangan mengenai rancangan itu turut melibatkan keluarga Reynhard.
“Kami sedang mengkaji perkara itu dan bekerjasama dengan Kementerian Luar ,” katanya dalam satu kenyataan video pada 7 Februari.
Menurutnya, rancangan membawa pulang Reynhard berpunca daripada permintaan keluarganya, tetapi kementerian itu tidak dapat mengesahkan sama ada permintaan itu akan diluluskan.
Rundingan tersebut masih dalam peringkat awal, dan kajian tentang undang-undang di Britian mesti dijalankan.
Menteri itu juga berkata kepulangan Reynhard tidak seharusnya menimbulkan masalah baru kerana banduan itu akan ditempatkan di penjara keselamatan tinggi di Nusakambangan.
“Ini bukan tugas yang mudah. Reynhard boleh menimbulkan masalah baru jika dia dibebaskan seperti banduan biasa,” katanya.
Reynhard, 41 tahun, adalah perogol berprofil tinggi yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, dengan minimum 40 tahun, oleh mahkamah Manchester pada Januari 2020.
Reynhard didapati bersalah melakukan 159 serangan seksual terhadap 48 lelaki berbeza.
Pelajar Indonesia itu menghabiskan lebih sedekad dengan dadah dan merogol lelaki di kediamannya di Manchester.
Dia biasanya memulakan perbualan dan menjemput mangsa ke kediamannya sebelum memberi mereka dadah. Mangsanya berumur antara 18 dengan 36 tahun.
Kebanyakan mangsa adalah pelajar, termasuk enam mangsa yang berjaya melarikan diri dari serangannya, membawa kepada penahanan Reynhard.
Jenayahnya terbongkar pada Jun 2017 selepas mangsa terakhirnya, seorang pemain ragbi berusia 18 tahun, bangun semasa diserang dan melawan, menyebabkan Reynhard dimasukkan ke hospital. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg