JAKARTA – Indonesia telah memulakan rundingan dengan Britain untuk memulangkan Reynhard Sinaga, lelaki yang didapati bersalah sebagai perogol paling berprofil tinggi dalam sejarah Britain, kata seorang menteri kanan pada 6 Februari.
Ini susulan usaha Indonesia untuk memulangkan seorang tahanan Guantanamo Bay yang didakwa terlibat dalam rancangan serangan bom Bali.
Reynhard Sinaga, 41 tahun, dijatuhi hukuman pada tahun 2020 di Manchester kerana menyerang 48 lelaki yang telah beliau berikan dadah sebelum dibawa pulang ke apartmennya dari bar dan kelab di bandar itu.
Mahkamah Manchester memutuskan bahawa Sinaga perlu menjalani sekurang-kurangnya 30 tahun penjara atas 159 kesalahan yang dilakukan antara Januari 2015 hingga Mei 2017.
Menteri Kanan Indonesia untuk Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Encik Yusril Ihza Mahendra, memberitahu wartawan bahawa rundingan dengan kerajaan Britain masih berada di peringkat awal. M
enurutnya, mekanisme pemulangan itu akan ditentukan kemudian, sama ada melalui pemindahan banduan atau pertukaran dengan banduan Britain yang dipenjara di Indonesia.
“Tidak kira betapa salah pun seorang warganegara, negara berhak untuk membela warganya,” kata Encik Yusril.
Beliau juga menambah bahawa proses ini bukanlah satu tugas mudah, dan terdapat banyak perkara yang perlu dirundingkan dengan pihak kerajaan Britain. Kedutaan Britain di Indonesia belum memberikan respons terhadap permintaan untuk mengulas perkara ini.
Selain itu, Indonesia juga sedang mencari cara untuk memulangkan Riduan Isamuddin, lebih dikenali sebagai Hambali, yang didakwa terlibat dalam beberapa serangan maut termasuk serangan bom Bali 2002.
Menurut peraturan Britain, Sinaga hanya boleh memohon untuk pengurangan hukuman selepas 30 tahun penjara, kata Yusril. Keluarga Sinaga telah bertemu dengan wakil kementerian untuk memohon pemulangan beliau ke Indonesia.
Sekiranya kerajaan Britain bersetuju untuk memulangkan Sinaga, beliau akan dipenjarakan di penjara keselamatan maksimum di Indonesia, tambah Encik Yusril. “Jika tidak, beliau akan menimbulkan masalah baru,” tegasnya.
Sinaga yang telah berada di UK sejak tahun 2007, mensasarkan lelaki muda yang kelihatan mabuk atau lemah, dan menyebabkan mereka tidak sedarkan diri dengan ubat tidur. Penyiasatan kes rogol ini merupakan yang terbesar dalam sejarah undang-undang Britain. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg