Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sahkan minat sertai Brics

Oct 25, 2024 | 11:40 AM
Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono (belakang bersongkok), dalam Sidang Puncak Brics bersama para pemimpin Brics termasuk Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (depan kanan), dan Presiden China, Encik Xi Jinping (depan tengah).
Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono (belakang bersongkok), dalam Sidang Puncak Brics bersama para pemimpin Brics termasuk Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (depan kanan), dan Presiden China, Encik Xi Jinping (depan tengah). - Foto INSTAGRAM SUGIONO

JAKARTA: Indonesia secara rasmi menyatakan hasratnya untuk menyertai Brics, sebuah kumpulan negara ekonomi pesat membangun yang kini menyumbang 35 peratus daripada keluaran ekonomi dunia.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia, langkah itu dilihat sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan kerjasama negara-negara membangun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Oktober, Kementerian Luar Indonesia menjelaskan bahawa proses penyertaan Indonesia dalam Brics telah bermula.

Menteri Luar yang baru dilantik, Encik Sugiono, menyifatkan langkah itu sebagai satu kewujudan dasar luar Indonesia yang “bebas-aktif”.

“Ini bukan bermaksud kita menyertai blok tertentu, tetapi kita turut serta dalam setiap forum secara aktif,” kata Encik Sugiono.

Sebagai negara keempat terbesar dari segi populasi di dunia, Indonesia mengekalkan dasar luar negara yang tidak berpihak kepada mana-mana blok ketenteraan.

Presiden Encik Prabowo Subianto, yang baru memegang jawatan pada 20 Oktober, juga menegaskan bahawa Indonesia akan menjalin persahabatan dengan semua negara termasuk China dan Amerika Syarikat.

Indonesia tidak akan menyertai mana-mana pakatan ketenteraan, tambahnya.

Encik Sugiono, yang menghadiri Sidang Puncak Brics di Kazan, Russia, turut menyatakan bahawa Brics sejajar dengan program utama pemerintahan Encik Prabowo, terutama dalam aspek keselamatan makanan dan tenaga, pembasmian kemiskinan serta pembangunan sumber manusia.

Beliau turut menyebut bahawa Brics dilihat sebagai “kenderaan” untuk memperjuangkan kepentingan negara-negara Selatan Global.

Selatan Global adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia dan Oceania.

Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam Sidang Puncak Brics memaklumkan bahawa lebih 30 negara telah menyatakan minat untuk menyertai Brics, namun masih belum jelas bagaimana proses peluasan keahlian itu akan dilaksanakan.

Brics, yang pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Russia, India, dan China, telah ditubuhkan pada 2009.

Ia menjadi wadah kerjasama bagi ekonomi sedang membangun, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Sejak itu, blok tersebut berkembang merangkumi Iran, Mesir, Habsyah dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam sidang yang berlangsung selama tiga hari itu, negara Brics bersama puluhan pemimpin dan diplomat asing berkumpul untuk mempromosikan dunia pelbagai polar, di tengah-tengah kekecewaan mereka terhadap institusi yang diketuai Barat.

Perbincangan utama tertumpu kepada usaha mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat, memperluaskan keanggotaan kumpulan itu serta mewujudkan “orde dunia yang lebih terangkum”.

Sidang puncak Brics turut membincangkan konflik di Timur Tengah dan Ukraine, namun tiada tanda bahawa tindakan khusus akan diambil untuk menamatkan konflik-konflik tersebut.

Menurut laporan daripada agensi berita Russia, Tass, sebanyak 13 negara secara rasmi menyertai pakatan Brics pada 24 Oktober termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Turkey dan Cuba.

Namun, pegawai Russia menjelaskan bahawa status rakan dalam Brics tidak sama dengan keanggotaan penuh.

Rakan baru tidak akan memiliki hak mengundi atau penyertaan penuh dalam mesyuarat dan sidang puncak.

Perbincangan akan terus dijalankan dengan negara-negara rakan untuk menilai kesediaan mereka menjadi anggota penuh.

Sebelum Encik Prabowo memegang jawatan, Indonesia telah menyatakan hasratnya untuk melengkapkan proses menjadi anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Ia sebagai satu lagi usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan dan memeterai perjanjian perdagangan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg