Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia sasar lantik pengganti Naib Presiden selewat-lewatnya 4 Dis
Indonesia sasar lantik pengganti Naib Presiden selewat-lewatnya 4 Dis
JAKARTA: Indonesia menyasarkan pelantikan Naib Presiden baharu selewat-lewatnya pada 4 Disember, susulan peletakan jawatan Ebcik Gibran Rakabuming Raka yang meninggalkan kekosongan jawatan kedua tertinggi negara itu.
Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) sedang mempercepat proses pemilihan pengganti Encik Gibran, walaupun Perlembagaan Indonesia memberikan tempoh maksimum 60 hari untuk mengisi kekosongan tersebut.
Timbalan Pengerusi MPR, Bambang Wuryanto, berkata pemerintah dan MPR bersetuju supaya proses pemilihan diselesaikan lebih awal bagi memastikan pentadbiran Presiden Prabowo Subianto dapat diteruskan dengan lancar.
“Selewat-lewatnya pada 10 Januari 2027, kita mesti mempunyai Naib Presiden baharu.
“Namun, berdasarkan perbincangan dengan pemerintah, tempoh yang disasarkan ialah antara 23 November dengan 4 Disember,” katanya pada 13 November.
Encik Bambang, yang turut dikenali sebagai Bambang Pacul, berkata jadual tersebut mengambil kira hasrat Encik Prabowo supaya jawatan Naib Presiden diisi secepat mungkin.
Menurut ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu, jadual rasmi Presiden yang padat turut menjadi pertimbangan utama dalam menentukan tarikh pemilihan.
“Pertimbangannya ialah kegiatan Presiden dan jadual beliau,” katanya.
Beliau menjelaskan tarikh yang lebih tepat akan ditentukan selepas mesyuarat kepimpinan MPR yang dijadualkan berlangsung pada 13 November.
Mengikut Perkara 8(2) Perlembagaan Indonesia 1945, MPR mesti mengadakan sidang dalam tempoh 60 hari selepas jawatan Naib Presiden kosong bagi memilih seorang pengganti daripada dua calon yang dikemukakan Presiden.
Ini bermakna Encik Prabowo mempunyai kuasa menentukan siapa yang akan dicalonkan, manakala MPR bertanggungjawab memilih seorang daripada mereka.
Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan, Yusril Ihza Mahendra, sebelum ini menegaskan bahawa kuasa mencalonkan dua individu tersebut terletak sepenuhnya pada Presiden.
Menurutnya, Encik Prabowo boleh berunding dengan parti politik dalam gabungan pemerintah sebelum membuat keputusan, tetapi rundingan itu bukan syarat wajib.
“Presiden mempunyai kuasa penuh untuk menentukan dua calon yang akan dikemukakan kepada MPR.
“Proses yang mahu dilaksanakan Presiden juga sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa beliau,” katanya pada 12 November.
Encik Prabowo dijangka mengambil kira pandangan parti gabungan pemerintah yang menyokongnya dalam pilihan raya presiden 2024.
Bagaimanapun, Pengerusi Parti Demokrat, Agus Harimurti Yudhoyono, berkata partinya tidak akan mencadangkan mana-mana calon bagi mengisi jawatan tersebut.
Beliau menyerahkan sepenuhnya proses pencalonan kepada Encik Prabowo.
Encik Gibran, 39 tahun, menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada MPR pada 12 November selepas beberapa minggu berdepan tekanan politik berhubung kelayakan akademik yang digunakannya untuk memenuhi syarat bertanding dalam pilihan raya presiden 2024.
Anak sulung mantan Presiden Joko Widodo itu menafikan kontroversi diploma menjadi punca pengundurannya.
Sebaliknya, beliau menegaskan keputusan tersebut dibuat secara sukarela demi kepentingan negara dan memastikan kerajaan dapat terus menjalankan tugas tanpa gangguan.
Peletakan jawatan itu menyebabkan Indonesia tidak mempunyai Naib Presiden buat sementara waktu sehingga penggantinya dipilih MPR.
Pemilihan kali ini juga bakal mencatat sejarah kerana menjadi pelaksanaan pertama mekanisme penggantian Naib Presiden yang diperkenalkan melalui pindaan ketiga Perlembagaan Indonesia pada 2001.
Pindaan tersebut menetapkan bahawa Presiden perlu mengemukakan dua calon kepada MPR apabila berlaku kekosongan jawatan Naib Presiden.
MPR kemudian memilih seorang calon untuk meneruskan baki tempoh pentadbiran.
Bambang menegaskan pemerintah dan MPR mahu proses tersebut diselesaikan tanpa menunggu sehingga tamat tempoh maksimum 60 hari.
“Presiden dan MPR mahu pengisian jawatan Naib Presiden dilakukan secepat mungkin,” katanya. – Agensi berita.