Topik diikuti
Pergi ke BHkuGibran sedia letak jawatan Naib Presiden susulan isu kelayakan akademik
Anak bekas Presiden Jokowi mahu bukti kesahihan dokumen pendidikan di mahkamah
Gibran sedia letak jawatan Naib Presiden susulan isu kelayakan akademik
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Encik Gibran Rakabuming Raka, menyatakan hasrat untuk meletak jawatan selepas kontroversi mengenai kelayakan akademiknya semakin memuncak.
Dengan itu, ia sekali gus membuka kemungkinan beliau menghadapi proses pemecatan oleh Parlimen.
Hasrat itu disampaikan kepada Presiden Prabowo Subianto dalam pertemuan selama dua setengah jam di kediaman rasmi Presiden di kompleks Widya Chandra, Jakarta, pada 10 November.
Setiausaha Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, berkata Encik Gibran, 39 tahun, menyuarakan hasrat tersebut susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung yang menimbulkan persoalan mengenai kelayakannya memegang jawatan Naib Presiden.
“Dalam perbincangan itu, Naib Presiden menyatakan hasrat untuk meletak jawatan mengambil kira perkembangan keadaan semasa,” katanya kepada wartawan.
Bagaimanapun, Encik Prasetyo menafikan laporan bahawa Encik Prabowo menolak permintaan tersebut, tetapi tidak menjelaskan sama ada beliau sudah menerimanya.
Encik Gibran turut meminta peluang untuk membuktikan kesahihan dokumen pendidikannya melalui proses undang-undang di Mahkamah Pentadbiran Negara.
Encik Gibran, anak sulung bekas Presiden Joko Widodo, pernah belajar di Sekolah Menengah Orchid Park Secondary School di Singapura dan UTS Insearch di Australia sebelum memperoleh ijazah sarjana muda daripada Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).
Dalam sidang media pada hari sama, Encik Gibran berkata Encik Prabowo menasihatinya supaya meneruskan usaha mencabar keputusan mahkamah dengan mengemukakan semua rekod akademiknya.
“Saya menghormati segala pandangan, kritikan dan cadangan masyarakat mengenai keadaan sekarang.
“Saya tidak mahu perkembangan ini menjadi kontroversi politik yang berpanjangan,” katanya.
Menurut Encik Gibran, Encik Prabowo memberikan pelbagai nasihat, termasuk supaya beliau mempertahankan kelayakan akademiknya melalui saluran undang-undang.
Kontroversi itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 6 Oktober yang menolak satu permohonan berkaitan kelayakan Encik Gibran.
Bagaimanapun, dalam alasan penghakimannya, mahkamah menyatakan tiada dokumen yang membuktikan Encik Gibran menamatkan pendidikan di luar negara yang setaraf dengan kelulusan sekolah menengah atas Indonesia.
Keadaan bertambah rumit apabila Mahkamah Agung pada 30 Oktober membatalkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah yang digunakan Encik Gibran, ketika mendaftar sebagai calon Naib Presiden dalam pilihan raya 2024.
Mahkamah Perlembagaan bagaimanapun menjelaskan ia tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Encik Gibran secara langsung kerana tanggungjawab itu terletak pada institusi lain.
Keputusan berkenaan mencetuskan desakan supaya Parlimen menyiasat sama ada Gibran memenuhi syarat undang-undang untuk terus memegang jawatan.
Parlimen Indonesia menyambung persidangan pada 10 November selepas berehat selama sebulan, ketika beberapa anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mula mengumpulkan tandatangan bagi mengemukakan usul menyatakan pendapat terhadap Encik Gibran.
Menurut laporan The Straits Times, borang untuk menyokong usul tersebut sudah diedarkan kepada anggota Parlimen sejak 7 November.
Usul tersebut kemudian perlu mendapat persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga anggota yang hadir dalam sidang pleno, dengan kehadiran minimum dua pertiga keseluruhan anggota DPR.
Sekiranya diluluskan, kes itu akan dirujuk kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menentukan sama ada berlaku pelanggaran undang-undang yang serius atau Encik Gibran tidak lagi memenuhi syarat memegang jawatan.
Keputusan akhir mengenai pemecatannya terletak pada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), yang perlu memenuhi syarat kehadiran dan sokongan majoriti yang ditetapkan.
Perkembangan tersebut berlaku ketika hubungan politik antara Presiden Prabowo dengan mantan Presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang juga bapa Encik Gibran, dilaporkan semakin tegang.
Encik Gibran memainkan peranan penting membantu Encik Prabowo mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Presiden 2024, selepas Encik Jokowi memberikan sokongan tidak langsung kepada bekas pesaing politiknya itu.
Namun, sepanjang hampir dua tahun memegang jawatan, Encik Gibran dilihat kurang menonjol dan jarang tampil bersama Encik Prabowo dalam acara rasmi.
Ketegangan politik turut terserlah apabila tiga ahli politik kanan Parti Solidariti Indonesia (PSI) yang memegang jawatan dalam Kabinet Encik Prabowo mengumumkan pengunduran mereka daripada parti itu pada 9 November.
PSI dipimpin adik Gibran, Encik Kaesang Pangarep, dan merupakan antara parti yang menyokong pencalonan Encik Gibran pada 2024.
Sementara itu, beberapa kumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Parlimen di Jakarta Pusat pada 10 November bagi mendesak proses pemecatan Encik Gibran dimulakan.
Mereka membawa sepanduk dengan slogan seperti ‘#GibranLetakJawatan’ dan ‘Pecat Gibran’.
Penyelaras Gabungan Nasional Wanita Indonesia, Cik Meri Samiri, berkata kumpulannya sudah mengadakan bantahan selama 21 hari dan mengumpulkan tandatangan orang ramai yang menyokong peletakan jawatan Encik Gibran.
Menurutnya, rakyat Indonesia berhak dipimpin oleh individu yang mempunyai kelayakan dan integriti.
“Kami mahukan pemimpin yang mempunyai diploma yang sah,” katanya. – Agensi berita.