Angkatan Tentera Indonesia (TNI) sudah bersiap sedia untuk mengerahkan dua pesawat Tentera Udara C-130 Hercules untuk mengangkut operasi bantuan kemanusiaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa El Arish Mesiragai di Mesir bagi membantu Gaza.
Jurucakap TNI Laksamana Muda Julius Widjojono berkata Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dijadual hadir dalam penghantaran bantuan pada Sabtu di pangkalan udara Halim Perdanakusumah.
“Bantuan itu dijangka tiba di Mesir pada 6 November. Selain dua pesawat Hercules Tentera Udara, Polis Negara telah menyewa pesawat Boeing 737 dari Garuda, jadi kami akan mempunyai pesawat untuk menghantar logistik kemanusiaan untuk Palestin,” kata Laksamana Julius.
Pemerintah Indonesia kini sedang berusaha mendapatkan pelepasan penerbangan, permit mendarat dan pengendalian darat barangan serta visa bukan diplomatik untuk kakitangan yang terlibat dalam operasi bantuan itu, tambahnya lagi
Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi, berkata Presiden Jokowi telah mengarahkan kementerian luar menyelaraskan kutipan bantuan daripada pemerintah dan masyarakat yang akan disampaikan hujung minggu ini.
“Bantuan yang akan kami sampaikan adalah barangan yang sesuai dengan apa yang mereka minta dan sangat perlukan. Bantuan itu bukan sahaja daripada pemerintah Indonesia tetapi daripada rakyat Indonesia yang dikutip melalui pelbagai pertubuhan amal,” kata Cik Retno dalam taklimat media.
Jurucakap Kementerian Luar, Encik Muhammad Iqbal, berkata misi kemanusiaan Indonesia akan menyerahkan bantuan itu kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir yang akan berkerjasama dengan Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) untuk mengagihkan bantuan di Gaza.
“Bulan Sabit Merah Mesir adalah satu-satunya agensi yang diberi kuasa untuk menghantar bantuan ke Gaza,” katanya.
Palang Merah Indonesia (PMI), Forum Kemanusiaan Indonesia dan Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) berkata mereka telah mengumpul sejumlah 17.9 bilion rupiah ($1.7 juta) dalam pembiayaan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza.
Wakil PMI, Cik Niniek Kun Naryatie, berkata kumpulan kemanusiaannya telah menyediakan kit kebersihan, beg mayat, penjana kuasa dan silinder oksigen yang akan mereka serahkan kepada rakan sejawatannya dari Bulan Sabit Merah Mesir.
Forum Kemanusiaan Indonesia yang terdiri dari lebih 20 pertubuhan kemanusiaan pula berkata mereka akan menghantar makanan dibungkus sedia untuk dimakan, selimut dan alas tidur bernilai 2.5 bilion rupiah daripada dana 5 bilion rupiah yang mereka kumpulkan untuk tujuan itu.
“Ini adalah kumpulan pertama bantuan daripada kami dan kami akan menghantar kumpulan bantuan seterusnya di hari kemudian. Bantuan itu adalah manifestasi solidariti rakyat Indonesia dengan mangsa Palestin yang terselamat di Gaza,” kata ketua forum, Encik Ali Yusuf.
Beliau juga menambah bahawa kumpulan itu menyokong usaha diplomatik Indonesia yang menyeru agar sekatan ke atas Jaluran Gaza ditarik balik, yang dikenakan pihak berkuasa Israel pada 9 Oktober sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas di Israel pada 7 Oktober.
Wakil Baznas, Encik M. Imdadun Rahmat, berkata limpahan sokongan rakyat Indonesia terhadap rakyat Palestin di Gaza membuatkan mereka hampir mencapai sasaran kutipan dana sebanyak 12 bilion rupiah dengan cepat selepas mengumpul 10 bilion rupiah dalam masa tiga hari sahaja.
“Kami terus menerima lebih banyak sokongan, jadi kami meningkatkan sasaran kepada 20 bilion rupiah. Rakyat Indonesia mempunyai solidariti yang sangat kuat dengan rakyat Palestin,” katanya sambil menambah bahawa Baznas akan menghantar kit kebersihan, pakaian musim sejuk, selimut dan makanan sedia untuk dimakan yang dibungkus untuk penduduk di Gaza.
Pengarah Kementerian Luar bagi perlindungan warga Indonesia di luar negara, Encik Judha Nugraha, berkata terdapat 10 warga Indonesia yang tinggal di wilayah Palestin termasuk tiga sukarelawan untuk sebuah agensi kemanusiaan Indonesia yang memilih untuk meneruskan kerja-kerja relawan di sana manakala tujuh lagi akan dipindahkan ke sempadan lintasan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir.
“Mereka selamat di lokasi masing-masing. Walaupun lintasan sempadan Rafah dibuka adalah terhad, kami masih tidak boleh memindahkan mereka kerana masih terdapat pertempuran berterusan di lokasi mereka menginap, jadi tidak selamat untuk memindahkan mereka. Satu pasukan daripada Kedutaan Indonesia di Kahirah kini bersiap sedia di Rafah,” kata Encik Judha.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg