Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jakarta sedia keluarkan warga dari Gaza

Akan hantar bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza terjejas dek konflik Israel-Palestin
Nov 2, 2023 | 3:00 PM
MAHU TERUS BANTU DI GAZA: Relawan pertubuhan kemanusiaan Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia – dikenali sebagai (dari kanan) Encik Fikri dan Encik Reza serta Encik Farid (paling kiri) – dilaporkan memilih untuk terus kekal di Gaza.
MAHU TERUS BANTU DI GAZA: Relawan pertubuhan kemanusiaan Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia – dikenali sebagai (dari kanan) Encik Fikri dan Encik Reza serta Encik Farid (paling kiri) – dilaporkan memilih untuk terus kekal di Gaza. - Foto MER-C

JAKARTA: Indonesia mengumumkan ia akan memindahkan warganya dari Jaluran Gaza, tetapi rancangan itu mungkin berubah bergantung pada keadaan di lapangan.

Menurut Kementerian Luar Negeri, terdapat 10 warga Indonesia yang kini menetap di Gaza.

Hanya tujuh daripada mereka mahu dipindahkan. Tiga lagi yang memilih untuk tinggal ialah sukarelawan di pertubuhan kemanusiaan Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C).

Tujuh orang yang mahu dipindahkan itu adalah daripada dua keluarga warga Indonesia yang mempunyai pasangan tempatan.

“Proses pemindahan mungkin bermula hari ini. Tetapi biar saya tegaskan perkataan ‘mungkin’. Sekali lagi, kami tidak boleh meramalkan keadaan di lapangan,” kata Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi, kepada wartawan di Jakarta pada Rabu, lapor media Indonesia.

Cik Retno berkata satu-satunya cara memindahkan rakyat Indonesia dari Gaza ialah melalui laluan di lintasan Rafah di sempadan Gaza dan Mesir.

Pemindahan itu boleh dilakukan sedang Mesir membuka lintasan Rafah kepada mereka yang berada di Gaza.

Ia merupakan pemindahan pertama di Gaza sejak konflik Israel-Palestin meletus pada 7 Oktober.

“Untuk mempersiapkan kemungkinan pemindahan, kami telah mengerahkan pasukan kami dari Kahirah ke Rafah. Sekali lagi, satu-satunya jalan keluar ialah melalui Rafah,” kata Cik Retno.

Pasukan berkenaan telah tiba di Rafah. Diplomat itu juga memberitahu wartawan bahawa semua warga Indonesia di Gaza berada dalam keadaan selamat, walaupun pemerintah menghadapi kesukaran menghubungi mereka.

“Kami sentiasa berhubung dengan mereka. Walaupun hubungan kami sering terputus,” kata Cik Retno.

Pengarah perlindungan rakyat di Kementerian Luar Negeri, Encik Judha Nugraha, berkata proses pemindahan itu demi menjaga keselamatan rakyat.

Beliau memberitahu wartawan “adalah mustahil untuk menggerakkan orang apabila keadaan di lapangan berisiko”.

Pada masa yang sama, pemerintah Indonesia, dengan beberapa agensi kemanusiaan, bersedia menghantar bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik terkini itu.

“Ini selaras dengan arahan Presiden Encik Joko Widodo, kepada Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi, untuk menyelaraskan penyampaian bantuan ke Gaza, baik daripada kerajaan mahupun masyarakat,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri, Encik Muhamad Iqbal, dalam satu sidang media pada Rabu.

Encik Muhamad berkata bantuan kemanusiaan itu akan terdiri daripada barangan yang diperlukan oleh rakyat Palestin dan akan dihantar akhir minggu ini.

Butiran penyampaian bantuan masih dibincangkan antara pemerintah dengan beberapa pertubuhan terbabit.

“Bantuan ini akan dihantar ke Mesir terlebih dahulu dan diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir, kemudian diedar ke Gaza oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin.

“Bulan Sabit Merah Mesir satu-satunya pertubuhan yang dibenarkan menyampaikan bantuan ke Gaza,” kata Encik Muhamad. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg