JAKARTA: Indonesia menyalahkan kerosakan tanah gambut akibat projek pembangunan kawasan pertanian makanan terdahulu sebagai punca musim kebakaran hutan terburuk dalam tempoh 11 tahun.

Seorang pegawai kanan pada 15 Oktober berkata pemerintah akan berusaha memulihkan ekosistem tanah gambut susulan krisis kebakaran itu, yang menyebabkan jerebu tebal terus menyelubungi bandar di negara itu dan merebak ke negara-negara jiran.

Indonesia bergelut memadamkan kebakaran hutan paling dahsyat sejak 2015 selepas kemarau akibat fenomena El Nino menyebabkan hutan dan tanahnya mudah terbakar.

Kebakaran yang berlarutan selama berbulan menyebabkan ratusan ribu penduduk dijangkiti penyakit pernafasan di tujuh wilayah Indonesia.

Jerebu rentas sempadan turut mencemarkan udara negara jiran, menyebabkan sekolah ditutup di Timor-Leste dan beberapa negeri Malaysia.

Bandar di Indonesia, khususnya Sumatera dan Kalimantan, diselubungi jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) mencecah lebih paras berbahaya 300.

Daerah Katingan di Kalimantan Tengah mencatat bacaan hampir 1,600 pada awal 15 Oktober, manakala ibu kota wilayah itu, Palangka Raya, hampir 1,300.

Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan paling teruk terjejas akibat kebakaran tanah gambut yang membara perlahan di bawah permukaan tanah, serta boleh marak semula pada bila-bila masa dan menghasilkan asap lebih tebal.

“Akibat campur tangan sejak sekian lama, tanah gambut di Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan mengalami kerosakan serius. Usaha penyaliran air secara besar-besaran telah mengubah sifat semula jadi tanah gambut,” kata Timbalan Menteri Makanan Indonesia, Encik Hanif Faisol Nurofiq.

Beliau turut mengenal pasti projek pembangunan kawasan pertanian makanan pada 1990-an sebagai antara puncanya.

“Hari ini, sebahagian besar tanah gambut ini telah musnah,” katanya.

Kumpulan pemeliharaan tanah gambut Pantau Gambut menganggarkan 16 juta daripada 24 juta hektar tanah gambut di Indonesia semakin mudah terbakar akibat kerosakan ekosistem, termasuk penebangan hutan secara meluas dan penurunan paras air bawah tanah.

Kajian Pantau Gambut pada 2024 mendapati hanya 3 peratus tanah gambut yang rosak akibat kebakaran antara 2015 hingga 2019 dipulihkan menjadi hutan, manakala 54 peratus dijadikan ladang tanaman tunggal, terutama kelapa sawit.

Pemerintah merancang menggerudi telaga bagi membasahkan semula tanah gambut dan menambah baik pengurusan saliran air, kata Encik Hanif.

“Langkah ini mudah, namun kita telah melupakan, mengabaikan atau gagal melaksanakannya,” katanya.

Puluhan penduduk Palangka Raya, yang diselubungi jerebu jingga tebal minggu ini, mengadakan tunjuk perasaan di pejabat gabenor pada 15 Oktober, mendesak tindakan lebih berkesan, menurut laporan media tempatan.

“Langit semalam sangat kuning… Kegiatan penduduk amat terbatas akibat keadaan ini. Kami berharap hujan segera turun untuk meredakan masalah ini,” kata Encik Adinata, 46 tahun, penduduk Palangka Raya. - REUTERS