Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia siasat dakwaan langgar kebajikan hidupan liar di ladang kelapa sawit terbakar
Indonesia siasat dakwaan langgar kebajikan hidupan liar di ladang kelapa sawit terbakar
Indonesia siasat dakwaan langgar kebajikan hidupan liar di ladang kelapa sawit terbakar
JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang menyiasat dakwaan pembunuhan hidupan liar di dalam kawasan konsesi kelapa sawit milik sebuah firma Singapura yang diperakui mampan di Kalimantan Barat, selepas tengkorak yang disyaki milik orang utan ditemui di tapak itu baru-baru ini.
Tengkorak itu ditemui pada 8 Oktober di dalam hutan bernilai pemuliharaan tinggi (HCV) milik PT Kayung Agro Lestari, anak syarikat gergasi pertanian Singapura, First Resources, di daerah Ketapang.
HCV merujuk kepada bahagian konsesi yang dikesan mempunyai nilai sosial dan biodiversiti.
“Sebuah pasukan sedang mengambil tindakan susulan terhadap penemuan di kawasan HCV itu, termasuk dengan mendapatkan maklumat daripada syarikat,” kata jurucakap Kementerian Perhutanan, Dr Ristianto Pribadi, pada 14 Oktober.
Beliau menambah, siasatan yang sedang berjalan bertujuan mengesahkan spesies itu, serta punca dan masa kematiannya, bagi menentukan langkah undang-undang seterusnya.
Ladang Kayung Agro Lestari mengusahakan hampir 10,000 hektar ladang kelapa sawit, lebih separuh saiz bandar Bandung di Jawa Barat.
Ladang itu menerima perakuan kemampanan daripada Meja Bulat mengenai Minyak Kepala Sawit Mampan (RSPO), yang mengeluarkan label hijau yang diiktiraf meluas dan diperlukan untuk memasuki sebahagian besar pasaran sejagat.
Daripada jumlah keluasan konsesi itu, hampir 4,000 hektar dikenal pasti sebagai blok hutan HCV, yang menjadi tapak pemantauan bagi sekitar 180 orang utan Borneo, berdasar penilaian pada 2019 ketika syarikat itu belum diambil alih First Resources.
Menurut peraturan RSPO, syarikat mesti menilai kepentingan biodiversiti dan sosial sesebuah kawasan sebelum mula menanam.
Seorang jurucakap First Resources berkata pada 14 Oktober berkata syarikat itu “kekal komited bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dan menangani sebarang penemuan hasil penilaian mereka”.
Siasatan itu dibuat selepas kebakaran memusnahkan sebahagian besar tanah di bawah konsesi firma Singapura itu antara awal Ogos dengan pertengahan September, lalu menyebabkan berpuluh-puluh orang utan terpaksa meninggalkan habitat mereka di dalam hutan HCV.
First Resources mendakwa kebakaran itu berpunca dari luar kawasannya.
Namun, analisis oleh pengasas syarikat geospatial, The TreeMap, Dr David Gaveau, mendapati kebakaran itu merosakkan sekurang-kurangnya 2,382 hektar hutan HCV sehingga akhir September.
Ketua Eksekutif, Yayasan Pemulihan Alam dan Hidupan Liar Indonesia (YIARI), Dr Karmele Llano Sanchez, yang bertugas memantau hutan pemuliharaan itu, mendakwa First Resources memecat sebahagian besar briged pemadam kebakarannya selepas mengambil alih firma itu pada 2025.
“Pada pendapat saya, ini bukti jelas bahawa mereka tidak berusaha cukup melindungi kawasan pemuliharaan dan lebih berminat melindungi ladang kelapa sawit mereka sahaja,” katanya pada 16 Oktober.
Syarikat itu menafikan dakwaan tersebut, dengan berhujah ia mengamalkan dasar pembakaran sifar yang ketat dan “tiada asas yang boleh disokong” untuk mencadangkan operasinya membawa risiko kebakaran yang lebih tinggi.
Namun, nasib orang utan yang masih tinggal kini di hujung tanduk, ujar Encik Phil Aikman, daripada kumpulan alam sekitar, Mighty Earth.
“Kawasan ini kini sudah hangus,” kata Encik Aikman, pada 15 Oktober.
“Orang utan yang kelaparan dan kekurangan air terpaksa diselamatkan dan dipindahkan,” tambah beliau.
Setakat 13 Oktober, 26 orang utan telah diselamatkan daripada kawasan HCV itu, ujar Ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Barat (BKSDA), Cik Murlan Dameria Pane.
Lebih banyak orang utan yang terkandas masih menunggu pemindahan. – Agensi berita.