JAKARTA: Seekor orang utan betina yang dipercayai kelaparan dipindahkan pada 14 Oktober dari kawasan yang musnah dijilat api di pulau Borneo, Indonesia, menurut pihak berkuasa, ketika negara itu berusaha menyelamatkan ratusan haiwan yang terjejas.

Indonesia bergelut sejak beberapa minggu lalu untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan sebahagian kawasan di Sumatera, Borneo dan kepulauan Papua, menyebabkan jerebu tebal merebak ke Malaysia dan Singapura.

Orang utan itu ditemukan di kawasan hutan terbakar di wilayah Kalimantan Tengah, bahagian Borneo di Indonesia, kata ketua agensi sumber asli tempatan, Encik Muriansyah, pada 14 Oktober.

“Kami mengesyaki orang utan itu sedang mencari makanan apabila dilihat penduduk yang kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa,” kata Encik Muriansyah, yang seperti kebanyakan warga Indonesia, menggunakan satu nama.

Haiwan yang dianggarkan berusia sekitar 20 tahun itu dipindahkan ke kemudahan agensi berkenaan.

Menurut AFP, orang utan itu diberikan ubat bius agar dapat ditangkap tanpa membahayakannya sebelum pasukan penyelamat menggunakan jaring untuk menurunkannya dari atas pokok dalam keadaan masih mamai.

Pemeriksaan awal mendapati orang utan betina itu tidak cedera atau menunjukkan tanda masalah pernafasan, kata Dr Ichlasul Khaerul, doktor haiwan Yayasan Orang Utan Antarabangsa.

Bagaimanapun, “berdasarkan ukuran lilitan perutnya, orang utan yang dinamakan Ira itu mungkin dalam keadaan kelaparan,” kata Dr Ichlasul.

Indonesia telah menyelamatkan 232 haiwan liar setakat 8 Oktober, termasuk 76 monyet belanda (proboscis) dan 71 orang utan di Borneo, kata jurucakap kementerian perhutanan pada 14 Oktober.

Orang utan merupakan spesies yang sangat terancam.

Menurut pertubuhan pemuliharaan Dana Kehidupan Liar Sedunia (WWF), jumlah orang utan di Borneo dan Sumatera dianggarkan tinggal kira-kira 104,000 ekor, berbanding lebih 230,000 ekor seabad lalu.

Pada September, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) memberi amaran bahawa kebakaran sedang melanda habitat yang menempatkan 52 peratus daripada bilangan keseluruhan orang utan di Borneo. – AFP.