Indonesia siasat dakwaan rakyatnya sertai tentera Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia siasat dakwaan rakyatnya sertai tentera Israel

Feb 20, 2026 | 12:10 PM

Indonesia siasat dakwaan rakyatnya sertai tentera Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Tentera Israel duduk bersama di tengah runtuhan bangunan di Rafah, selatan Jaluran Gaza, 8 Disember 2025.
Tentera Israel duduk bersama di tengah runtuhan bangunan di Rafah, selatan Jaluran Gaza, 8 Disember 2025. - Foto REUTERS

JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia menyatakan pihaknya sedang mengesahkan laporan bahawa seorang rakyat negara itu mungkin menyertai tentera Israel, satu dakwaan yang mencetuskan perdebatan awam memandangkan pendirian Jakarta yang konsisten menyokong Palestin.

Jurucakap kementerian,Cik Yvonne Mewengkang berkata kedutaan Indonesia di Amman belum menerima bukti sahih mengenai perkara tersebut. “Berkaitan dakwaan seorang warga Indonesia menyertai tentera Israel, Kedutaan Besar kami di Amman belum dapat mengesahkan maklumat ini,” katanya kepada Tempo pada 17 Februari lalu.

Beliau menambah kementerian bersedia bekerjasama dengan Kementerian Hukum, pihak berkuasa berkaitan kewarganegaraan, untuk menyemak maklumat dan menentukan tindakan lanjut mengikut undang undang. “Kami akan mengesahkan perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya jika terbukti benar,” katanya.

Kontroversi bermula selepas satu akaun media sosial memuat naik tangkapan skrin dokumen dalam bahasa Ibrani yang didakwa menunjukkan seorang rakyat Indonesia tersenarai sebagai anggota tentera Israel.

Dokumen itu kemudian dikenal pasti berasal daripada laporan penyiasatan platform Declassified yang diperoleh melalui permohonan kebebasan maklumat kepada tentera Israel oleh peguam Elad Man dari pertubuhan Hatzlacha.

Data bertarikh Mac 2025 itu menyenaraikan individu berkewarganegaraan berganda yang berkhidmat dalam tentera Israel. Ia menunjukkan terdapat seorang individu berkaitan Indonesia, tanpa butiran identiti atau lokasi penugasan.

Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan sejak sekian lama menolak penjajahan sebagai prinsip dasar luar negaranya.

Pakar hubungan antarabangsa Universiti Padjadjaran, Cik Dina Sulaeman berkata tindakan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan Indonesia. “Secara etika dan ideologi, warga Indonesia yang menyertai tentera negara penjajah jelas bertentangan dengan prinsip perlembagaan,” katanya.

Data yang sama menunjukkan tentera Israel mempunyai puluhan ribu anggota berkewarganegaraan berganda. Lebih 47,000 anggota memiliki sekurang kurangnya satu pasport tambahan selain Israel.
Amerika Syarikat mencatat jumlah tertinggi dengan lebih 13,000 anggota, diikuti Perancis, Russia, Jerman dan Ukraine. Rekod juga menunjukkan lebih 2,000 warga Britain serta ratusan dari Amerika Latin, Canada dan beberapa negara Asia serta Afrika.

Tentera Israel dianggarkan mempunyai 169,000 anggota aktif dan 465,000 simpanan, dengan hampir lapan peratus terdiri daripada warga berkewarganegaraan berganda.

Pakar undang undang antarabangsa Universiti Hamad Bin Khalifa di Qatar, Ilias Bantekas berkata kewarganegaraan tidak menghalang tanggungjawab jenayah perang. “Tanggungjawab jenayah wujud di bawah undang undang antarabangsa tanpa mengira kewarganegaraan,” katanya kepada Al Jazeera. “Tiada perbezaan antara askar tempatan atau berkewarganegaraan berganda.” Beliau menjelaskan cabaran utama ialah membawa individu terbabit ke mahkamah, bukan menentukan status kewarganegaraan.

Beberapa negara sudah mula menerima laporan kes jenayah perang terhadap individu asing yang berkhidmat dalam konflik Gaza. Di Britain, laporan setebal 240 halaman dikemukakan kepada polis terhadap 10 individu berkaitan tuduhan pembunuhan dan serangan terhadap orang awam. Kes serupa turut difailkan di Jerman, Perancis, Belgium dan Afrika Selatan.

Di bawah Konvensyen Genosid 1948, negara anggota wajib menyiasat dan menghukum pelaku yang terlibat. Mahkamah Keadilan Antarabangsa sebelum ini turut mengarahkan Israel mengambil langkah mencegah tindakan genosid dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

Isu penglibatan rakyat Indonesia dalam konflik luar negara kembali menjadi perhatian. Pihak berkuasa sebelum ini mengesahkan hampir 200 rakyat Indonesia berada di Israel ketika konflik Iran Israel memuncak pada pertengahan 2025, kebanyakannya menetap di Tel Aviv dan Baitulmakdis. Sebahagian daripada mereka dipindahkan keluar melalui Jordan, namun butiran operasi tidak didedahkan atas faktor keselamatan. Pegawai berkata sebahagian warga memilih untuk kekal walaupun situasi semakin tegang, dan pemerintah terus memantau keadaan mereka.

Kes penyertaan rakyat Indonesia dalam pasukan keselamatan asing bukan perkara baharu, lapor The Jakarta Globe. Seorang wanita, Kezia Syifa, pernah menjadi tular selepas berkhidmat dalam Pengawal Kebangsaan Tentera Darat Maryland di Amerika Syarikat. Seorang bekas anggota polis, Muhammad Rio pula mencetuskan perhatian apabila menyertai pasukan tentera upahan Russia dalam perang di Ukraine.

Menteri Undang Undang kanan Encik Yusril Ihza Mahendra sebelum ini menegaskan kewarganegaraan seseorang tidak akan dilucutkan secara automatik jika mereka berkhidmat dalam pasukan tempur asing tanpa kebenaran Presiden Prabowo Subianto. “Mereka perlu melalui prosedur pentadbiran tertentu terlebih dahulu,” katanya. Menurut beliau, individu tersebut kekal sebagai warga Indonesia sehingga Kementerian Hukum membuat keputusan rasmi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg