JAKARTA: Perbincangan mengenai dwikerakyatan dijadikan perdebatan di Indonesia selepas Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Encik Luhut Pandjaitan, mengusulkan kemungkinan menawarkan dua kewarganegaraan kepada individu berketurunan Indonesia dalam usaha menarik lebih ramai pekerja mahir ke negara itu.
“Kami juga menjemput diaspora Indonesia, dan kami juga segera memberikan mereka (diaspora Indonesia) dwikewarganegaraan,” katanya pada 7 Mei di acara di hadapan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Encik Satya Nadella, yang menjanjikan pelaburan AS$1.7 bilion ($2.28 bilion) di Indonesia.
Rancangan pemerintah Indonesia untuk menawarkan dua kewarganegaraan kepada bekas warganya ternyata menarik minat diaspora yang berkemahiran tinggi untuk kembali berbakti di negara mereka sendiri.
Wacana dwikewarganegaraan sebenarnya telah lama diperkatakan dan sehingga kini masih belum ada langkah konkrit untuk merealisasikannya.
“Sudah sekurang-kurangnya 15 tahun sejak penduduk diaspora Indonesia di seluruh dunia cuba memperjuangkannya,” kata Presiden Jaringan Diaspora Indonesia (IDN) Australia, Encik Hendra Wijaya.
“Saya rasa prosesnya agak lama, kerana ini melibatkan undang-undang negara.
“Pada masa itu, kita melalui banyak kaedah, dengan mengambil banyak pendekatan dengan wakil rakyat supaya undang-undang (kewarganegaraan) diubah,” kata Encik Hendra ketika dihubungi media ABC Indonesia.
Undang-undang Indonesia bagaimanapun tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan untuk orang dewasa manakala kanak-kanak yang memegang dua pasport mesti memilih salah satu dan meninggalkan yang lain apabila mereka mencapai umur 18 tahun.
Negara itu berdepan kesukaran apabila penduduk tempatan yang mahir menukar kerakyatan kepada negara tempat mereka bekerja dan tinggal, sering didorong oleh peluang kerjaya lebih baik dan gaji lebih tinggi.
Pakar Undang-undang Perlembagaan Universiti Indonesia, Cik Nur Widyastanti, atau lebih dikenali sebagai Cik Tanti, berkata, memiliki dua kewarganegaraan sebenarnya boleh dilakukan, tetapi ‘perjalanannya’ masih jauh lagi. “Sebab saya rasa Indonesia cukup berhati-hati,” katanya.
Cik Tanti menjelaskan, dari segi politik Indonesia “bukan negara yang cukup kuat”, terutama dari segi rundingan, tidak seperti negara lain yang membenarkan rakyatnya memiliki lebih daripada satu kerakyatan, seperti Amerika Syarikat atau Jerman.
“Sebagai contoh, jika seseorang itu mempunyai dua kewarganegaraan, bermakna beliau tertakluk kepada undang-undang dua negara, bermakna beliau juga perlu membayar cukai di dua negara,” katanya.
“Sebagai contoh... perlu mempertahankan dua negara tidak mungkin, bukan?” kata Cik Tanti.
Usul yang diumumkan oleh Encik Luhut tanpa banyak butiran itu berlaku ketika negara di seluruh dunia bersaing untuk menarik bakat, termasuk Indonesia yang berminat untuk meningkatkan ekonomi berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi.
Presiden yang dipilih, Encik Prabowo Subianto, dalam satu forum pelaburan pada Mac berkata beliau menyasarkan pertumbuhan tahunan sebanyak 8 peratus dalam tempoh lima tahun penggalnya.
Pengembangan ekonomi tahunan negara itu hanya lebih 5 peratus dalam dua tahun lalu.
Menurut perangkaan Pejabat Imigresen Indonesia, hampir 4,000 anak muda Indonesia memperoleh pasport Singapura dari 2019 hingga 2022.
Berdasar data pemerintah pula, secara keseluruhan terdapat kira-kira enam juta orang diaspora Indonesia, termasuklah pekerja mahir dan tidak mahir, bersama-sama dengan keluarga mereka.
Presiden Global Diaspora Network Indonesia, Encik Sulistyawan Wibisono, menyifatkan rancangan pemerintah itu sebagai ‘langkah strategik’ dan berkata ia akan memberi semangat kepada negara sekiranya bekas warga Indonesia kembali.
Sepanjang hampir 10 tahun pentadbiran Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, rancangan untuk dua kewarganegaraan sebenarnya sudah dibangkitkan beberapa kali.
Pada 2016, beliau mendedahkan hasrat pemerintah meminda Undang-undang Kewarganegaraan, yang merangkumi peruntukan dwi kewarganegaraan.
Namun, ia dihalang Parlimen, yang menyifatkan langkah itu akan menjejas keselamatan negara.
Malah isu dua kewarganegaraan menyebabkan beberapa kontroversi pada 2016 apabila Encik Jokowi memecat Encik Arcandra Tahar sebagai Menteri Tenaga dan Perlombongan selepas kurang sebulan memegang jawatan berikutan laporan beliau memegang pasport Amerika Syarikat dan Indonesia.
Kebimbangan yang dibangkitkan ketika itu, ia boleh mengakibatkan peningkatan jenayah seperti keganasan dan perdagangan dadah haram.
Namun, penganalisis dan pegawai pemerintah berpendapat, masih banyak perkara perlu diperincikan sebelum dapat dilaksanakan.
Tambahan pula, Encik Prabowo, yang akan dilantik sebagai presiden Indonesia pada Oktober ini, setakat ini tidak memberikan pandangannya mengenai isu itu.
Dengan peluang pekerjaan yang terhad untuk warga Indonesia yang mempunyai kemahiran tertentu, para penganalisis percaya cadangan dwi kewarganegaraan itu boleh memberi kesan positif seperti membuka peluang ekonomi dan tidak kehilangan tenaga mahir.
Jika mereka bekerja di luar negara, mereka akan tetap mempunyai kewajipan membayar cukai di Indonesia.
Seperti kata Encik Luhut, pemerintah tidak lama lagi akan memberikan dua kewarganegaraan kepada bekas warga Indonesia yang tinggal di luar negara, sebagai strategi ‘membawa pulang warga Indonesia yang sangat mahir ke Indonesia’.
Bagaimanapun, beliau tidak menawarkan butiran lanjut, seperti apa yang pemerintah lakukan untuk menjayakan rancangan itu menjadi kenyataan dan bagaimana untuk meyakinkan penggubal undang-undang bagi meluluskan rancangan yang menjadi kontroversi di negara itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg