Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia tahan 12 suspek pengganasan
Dipercayai rekrut anggota, sebar doktrin dan propaganda, disyaki terkait dengan Daulah Islamiyah
Indonesia tahan 12 suspek pengganasan
JAKARTA: Pasukan antipengganasan Indonesia, Detasemen Khas 88 (Densus 88), menahan 12 individu di enam wilayah sejak 2 Oktober kerana disyaki mempunyai hubungan dengan rangkaian militan yang dikaitkan dengan Daulah Islamiyah serta kumpulan pengganas lain.
Jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, berkata operasi berasingan itu dijalankan di Jawa Barat, Jawa Tengah, Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Riau dan Maluku Utara.
Suspek berusia antara 22 dengan 52 tahun dan sudah ditetapkan secara rasmi sebagai suspek kes keganasan.
Menurut polis, siasatan awal mendapati mereka dipercayai memainkan pelbagai peranan, termasuk mengukuhkan rangkaian, menjalani latihan, menyebarkan propaganda dan merekrut anggota baharu secara bersemuka serta menerusi media sosial.
Sebahagian suspek juga disyaki terbabit dalam perancangan tindakan keganasan, walaupun pihak berkuasa belum mendedahkan butiran mengenai kemungkinan sasaran atau rancangan serangan.
“Suspek dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan yang berfahaman Daulah Islamiyah serta rangkaian pengganas lain,” kata Encik Mayndra dalam kenyataan pada 4 Oktober.
Encik Mayndra berkata operasi itu dilakukan secara terancang sebagai langkah pencegahan bagi mengesan dan menggagalkan potensi ancaman keganasan sebelum ia berkembang kepada tindakan serangan.
Siasatan awal turut menemukan hubungan antara suspek di beberapa wilayah walaupun mereka tinggal berjauhan.
Menurut Encik Mayndra, hubungan itu antara lain diwujudkan melalui pertemuan dalam talian yang digunakan untuk proses indoktrinasi, penyelarasan rangkaian dan bimbingan anggota.
“Antara corak yang dikenal pasti ialah pertemuan dalam talian yang menghubungkan beberapa penyokong Daulah Islamiyah dari pelbagai wilayah,” katanya.
Polis turut mengesyaki sebahagian suspek menjalani latihan fizikal, latihan menembak dan kegiatan lain yang dikaitkan dengan usaha meningkatkan keupayaan militan.
Susulan penahanan itu, Densus 88 melakukan beberapa serbuan dan penggeledahan di lokasi yang mempunyai kaitan dengan suspek.
Pegawai turut merampas dokumen dan bahan bukti lain yang kini diperiksa bagi mengenal pasti sejauh manakah hubungan antara suspek dengan individu atau rangkaian lain.
“Penyiasat akan terus meneliti bukti yang ditemukan serta hubungan setiap suspek dengan individu dan rangkaian lain,” kata Encik Mayndra.
Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha Polis Nasional Indonesia untuk mengesan lebih awal dan mencegah potensi tindakan keganasan.
Menurutnya, pihak berkuasa mahu menghalang rangkaian militan daripada mengukuhkan organisasi, menyebarkan propaganda, menjalankan indoktrinasi, merekrut anggota baharu serta meningkatkan keupayaan yang akhirnya boleh membawa kepada keganasan.
Antara mereka yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 22 tahun yang dikenali dengan singkatan YDKAP dari daerah Jebres di Surakarta, Jawa Tengah.
Beliau dilaporkan ditahan lewat 1 Oktober selepas mengambil gaji di tempat kerjanya.
Keluarganya hanya mengetahui mengenai penahanan itu pada keesokan hari selepas polis datang ke rumah mereka dan menyerahkan waran tangkap.
Wakil keluarga, Encik Endro Sudarsono, berkata mereka masih mahukan penjelasan mengenai sebab dan keadaan yang membawa kepada penahanan YDKAP, termasuk dakwaan mengenai peranannya.
“Keluarga mempunyai beberapa persoalan mengenai kes YDKAP. Ia berkaitan kejadian itu, di mana dan bila ia berlaku, apakah peranannya serta sama ada terdapat mangsa,” katanya.
Keluarga turut berharap hak YDKAP dihormati sepanjang siasatan dan prinsip bahawa seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya terus dipatuhi.
Sementara itu, pemerhati keganasan Indonesia, Encik Al Chaidar, berkata penggunaan platform dalam talian untuk menyatukan anggota menunjukkan perubahan dalam cara rangkaian militan beroperasi ketika berdepan pemantauan ketat pihak berkuasa.
Menurutnya, kumpulan sedemikian sebelum ini banyak bergantung kepada pertemuan secara bersemuka di lokasi terpencil atau rumah perlindungan.
Namun, mereka kini menggunakan pendekatan yang bermula dalam talian sebelum bergerak kepada kegiatan secara fizikal.
“Penggunaan media dalam talian untuk penyatuan dan latihan menunjukkan evolusi ruang operasi kumpulan militan,” katanya.
Beliau berkata perubahan itu membolehkan rangkaian berkenaan menghubungkan individu dari wilayah berbeza tanpa memerlukan pertemuan secara fizikal yang lebih mudah dikesan pihak berkuasa.
Menurut Encik Al Chaidar, perkembangan itu tidak semestinya menunjukkan kebangkitan semula sebuah organisasi pengganas yang semakin kuat.
Sebaliknya, penahanan tersebut boleh mencerminkan usaha sel-sel militan yang berpecah untuk menyusun semula hubungan dan rangkaian mereka.
Siasatan Densus 88 masih diteruskan bagi menentukan struktur rangkaian berkenaan, hubungan antara suspek serta sama ada terdapat individu lain yang terbabit.
Pihak berkuasa juga sedang meneliti bahan bukti yang dirampas untuk menentukan sama ada kegiatan seperti propaganda, perekrutan, indoktrinasi dan latihan itu sudah berkembang kepada perancangan serangan tertentu. – Agensi berita.