JAKARTA: Unit antipengganasan polis Indonesia, Densus 88, telah menahan empat suspek pengganas dalam operasi berasingan di seluruh Sumatera Barat dan Sumatera Utara.
Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian Jamaah Ansharut Daulah (JAD) dan dituduh menyebarkan propaganda ISIS secara dalam talian.
Mereka aktif di media sosial, menghasilkan dan berkongsi propaganda serta hasutan untuk melakukan tindakan keganasan,” kata jurucakap Densus 88 AKBP Encik Mayndra Eka Wardhana dalam satu kenyataan bertulis pada 7 Oktober 2025.
Suspek pertama, yang dikenal pasti dengan huruf awal RW, telah ditangkap di Padang pada 3 Oktober. Dia didakwa mencipta dan mengedar kandungan propaganda berkaitan ISIS.
Tiga lagi suspek ditahan pada 6 Oktober iaitu KM di Pesisir Selatan, AY di Padang, dan RR di Tanjung Balai, Sumatera Utara.
Kesemua mereka dituduh mempromosikan ideologi ISIS dan menggalakkan orang lain menyertai gerakan ekstremis.
Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa barang sebagai bukti, antaranya jaket penyamaran berwarna hijau, kertas berlogo ISIS, dan tiga buku bertajuk Kupas Tuntas Khilafah Islamiyyah (Pemahaman Menyeluruh Kekhalifahan Islam), Melawan Penguasa dan Al Qiyadah wal Jundiyah, yang mengandungi ajaran tentang penubuhan Negara Islam (IS).
Menurut laporan sebelum ini, JAD merupakan kumpulan pengganas terbesar berkaitan IS di Indonesia, yang melakukan beberapa serangan bom di negara Asia Tenggara itu.
Serangan yang mereka lakukan termasuk letupan di luar gereja Katolik di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan pada 28 Mac 2021. Letupan itu mengakibatkan kematian dua anggota JAD dan 20 orang awam.
Pada Julai tahun ini, Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT) Indonesia mengumumkan bahawa kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah (JI), yang pernah dikaitkan dengan Al-Qaeda dan bertanggungjawab terhadap beberapa serangan maut di Indonesia, kini secara rasmi dianggap sebagai hanya “tinggal sejarah”.
Kenyataan itu dibuat oleh Ketua BNPT, Ketua Pesuruhjaya Polis Eddy Hartono, semasa majlis peringatan setahun pembubaran rasmi JI yang diadakan di Sentul, Jawa Barat.
Dalam ucapan beliau di majlis anjuran Densus 88 pada 30 Jun, Encik Eddy menekankan pentingnya peranan negara dalam membimbing bekas anggota kumpulan pelampau ke arah kehidupan yang lebih positif dan sejahtera.
JI yang ditubuhkan pada 1990-an pernah dianggap sebagai salah satu ancaman keselamatan terbesar di rantau ini. Ia pernah terlibat dalam kejadian pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg