Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia tahan warga Palestin disyaki ada kaitan dengan Hamas
Indonesia tahan warga Palestin disyaki ada kaitan dengan Hamas
Indonesia tahan warga Palestin disyaki ada kaitan dengan Hamas
Indonesia menahan seorang warga Palestin yang disyaki mempunyai kaitan dengan Hamas sebelum menghantarnya pulang ke Cyprus sehari kemudian, dalam satu kes berkaitan keganasan yang jarang membabitkan rakyat Palestin di negara itu.
Abdul Karim Raed Miqdad ditahan oleh pada 16 Julai sebelum dihantar ke Cyprus pada 17 Julai berdasarkan Notis Merah Interpol yang dimohon pihak berkuasa negara berkenaan.
Pihak berkuasa Indonesia berkata penahanan dan penghantaran itu dilakukan mengikut prosedur penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.
Jurucakap Pasukan antipengganasan Polis Negara, Densus 88 enggan mengesahkan secara langsung butiran penahanan itu dan meminta pertanyaan dikemukakan kepada Biro Pusat Nasional Interpol Indonesia.
Setiausaha Biro Pusat Nasional Interpol Indonesia, Brigedier Jeneral Untung Widyatmoko, berkata Miqdad merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Cyprus berkaitan kesalahan keganasan.
Menurutnya, Notis Merah Interpol terhadap Miqdad dikeluarkan atas permintaan Biro Pusat Nasional Interpol Cyprus.
“Proses itu dijalankan mengikut prosedur dan mekanisme standard serta berdasarkan analisis risikan yang sewajarnya,” katanya.
Kes tersebut mencetuskan perhatian kerana Indonesia tidak menyenaraikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas dalam senarai nasionalnya.
Kumpulan penyokong Palestin yang berpangkalan di Bekasi, Kumpulan Kerja Al-Aqsa (AWG), mendakwa Miqdad ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Hamas.
Penahanan tersebut bagaimanapun mendapat kritikan daripada AWG dan Majlis Geneva bagi Hak Asasi dan Kebebasan (GCRL) yang mempersoalkan asas undang-undang serta ketelusan proses penghantaran Miqdad ke Cyprus.
Pengerusi Presidium AWG, Encik Muhammad Anshorullah, berkata keputusan itu boleh menjejaskan imej Indonesia sebagai antara negara yang lantang menyokong perjuangan Palestin.
“AWG kesal dengan keputusan pemerintah Indonesia menghantar seorang warga Palestin ke Cyprus.
“Ketika genosid masih berlaku dan sokongan antarabangsa terhadap Palestin terus berkembang, dasar seperti ini berisiko merosakkan reputasi Indonesia sebagai negara yang sejak sekian lama dianggap berada di barisan hadapan dalam menyokong perjuangan kemerdekaan Palestin,” katanya kepada Berita Harian pada 20 Julai.
Beliau turut mendakwa tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai melemahkan pendirian Indonesia terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Menurutnya, pemerintah Indonesia perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai sebab Miqdad ditahan dan dihantar keluar dari negara itu.
“AWG menganggap ketelusan sebagai elemen penting dalam pertanggungjawaban negara.
“Tanpa penjelasan yang mencukupi, dasar ini boleh menimbulkan persepsi bahawa komitmen Indonesia terhadap perjuangan Palestin semakin lemah,” katanya.
GCRL dalam kenyataan pada 18 Julai turut menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan maklumat berhubung asas penahanan dan penghantaran segera Miqdad.
Pertubuhan itu, yang menyifatkan Miqdad sebagai seorang aktivis Palestin, mendakwa terdapat risiko beliau akhirnya boleh diekstradisi ke Israel.
Menurut GCRL, dokumen rasmi yang ditelitinya menunjukkan penahanan itu dibuat berdasarkan Notis Merah Interpol atas permintaan pihak berkuasa di Nicosia, Cyprus, berkaitan dakwaan penglibatan dalam kesalahan pengganasan.
Namun, pertubuhan itu berkata dokumen berkenaan tidak menjelaskan perbuatan yang didakwa dilakukan Miqdad, bukti yang menyokong tuduhan tersebut atau bentuk kesalahan yang dikaitkan dengannya.
“Kekurangan maklumat seperti ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap pematuhan jaminan asas perbicaraan yang adil, termasuk hak setiap tahanan untuk dimaklumkan dengan segera dan terperinci mengenai sebab penahanan serta pertuduhan terhadapnya,” kata GCRL.
Pertubuhan itu turut mendakwa Miqdad hanya dibenarkan bercakap secara ringkas dengan keluarganya melalui telefon dengan bantuan peguam.
Beliau juga dikatakan perlu menggunakan bahasa Inggeris supaya perbualan itu dapat difahami pegawai yang bertugas.
BG Untung bagaimanapun menolak dakwaan bahawa Miqdad ialah seorang aktivis Palestin.
Beliau menegaskan bahawa lelaki itu dikehendaki berhubung kesalahan pengganasan dan ditahan berdasarkan Notis Merah Interpol yang sah.
Menurutnya, pemeriksaan selepas penahanan turut menemukan tiga pasport dalam simpanan Miqdad, iaitu satu pasport Palestin dan dua pasport yang didakwa dikeluarkan negara Eropah.
“Selepas dokumen itu diperiksa, kami mendapati dua pasport Eropah tersebut adalah palsu.
“Maklumat yang digunakan diambil daripada dokumen yang direkodkan dalam pangkalan data Dokumen Perjalanan Dicuri dan Hilang, atau SLTD, dan kemungkinan besar berasal daripada pasport yang dicuri,” katanya.
BG Untung turut menafikan dakwaan bahawa Miqdad akan dipindahkan dari Cyprus ke negara lain.
Beliau berkata Indonesia, sebagai sebahagian daripada rangkaian penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, mempunyai tanggungjawab menahan mana-mana individu yang menjadi subjek Notis Merah Interpol apabila mereka berada dalam bidang kuasa negara itu.
“Kami juga diwajibkan memudahkan penghantaran individu tersebut kepada Biro Pusat Nasional Interpol negara yang membuat permohonan.
“Tiada apa yang salah dalam proses penghantaran itu. Ia merupakan prosedur standard untuk menghantar keluar individu berkenaan sejurus selepas penahanan,” katanya.
