Topik diikuti
Pergi ke BHkuRadikalisasi golongan muda kini dipacu ekosistem digital, bukan lagi ideologi semata-mata
Radikalisasi golongan muda kini dipacu ekosistem digital, bukan lagi ideologi semata-mata
Internet runtuh tembok ideologi tradisional; belia kesunyian, kecewa kini mudah terperangkap dalam ekosistem ekstremis eksploitasi emosi
Radikalisasi golongan muda kini dipacu ekosistem digital, bukan lagi ideologi semata-mata
Kes baru-baru ini melibatkan remaja tempatan berusia 19 tahun, Cyrus Dzulqarnain Al-Shahriar, yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura, menggambarkan bagaimana ancaman radikalisasi kini semakin berubah dalam era digital.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), Cyrus dipengaruhi oleh gabungan naratif menyokong Hamas, retorik anti-Barat, sentimen anti-LGBTQ (lesbian, gay, dwiseksual, transjantina dan kuira), idea-idea ganas daripada golongan bujang tanpa rela (incel), dan fahaman akselerasi Islamis.
Incel, atau singkatan untuk involuntary celibate, merupakan satu masyarakat dalam talian dianggotai lelaki yang kecewa kerana gagal mendapatkan pasangan, sehingga tercetus rasa benci terhadap wanita dan kecenderungan untuk melakukan keganasan.
Fahaman akselerasi Islamis – yang tiada kaitan dengan ajaran Islam sebenar – pula menyokong keganasan demi menghancurkan masyarakat dan menegakkan sistem pemerintahan agama secara sejagat.
Daripada mengikuti satu ideologi, remaja berkenaan sebaliknya membina pandangan dunia tersendiri daripada pelbagai sumber berbeza, yang saling bercanggah antara satu sama lain.
Fenomena ini dikenali sebagai Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE).
Berbeza dengan ekstremisme tradisional yang lazimnya dikaitkan dengan satu ideologi atau organisasi khusus, CoVE menggabungkan naratif ekstremis berbeza untuk membentuk satu pandangan dunia yang akhirnya mewajarkan tindakan keganasan.
Meskipun Cyrus merupakan kes CoVE kedua yang dikesan di Singapura, isu lebih besar bukan persoalan sama ada CoVE merupakan satu fenomena yang baharu, sebaliknya apa yang kes sebegini dedahkan mengenai peningkatan trend radikalisasi dalam talian dalam kalangan golongan muda.
Selama ini, usaha membendung pengganasan sering menilai radikalisasi melalui jenis ideologi tertentu yang jelas.
Individu lazimnya dikaitkan dengan organisasi tertentu seperti Al-Qaeda, Isis, atau kumpulan pelampau haluan kanan.
Malah, proses radikalisasi itu sendiri difahami sebagai satu proses sehala yang agak mudah diramal – bermula daripada pendedahan kepada satu ideologi, pembentukan komitmen terhadapnya, berhubung dengan rangkaian berkaitan, dan akhirnya, menjurus kepada tindakan pengganasan.
Kini, model pemahaman sedemikian didapati semakin kurang relevan.
Golongan muda kini ‘hanyut’ dalam persekitaran digital, di mana media sosial, forum dalam talian, kumpulan permainan video, platform mesej tersulit (encrypted), serta algoritma secara serentak mendedahkan mereka kepada pelbagai naratif.
Daripada menerima hanya satu ideologi, mereka sering mengambil idea daripada pelbagai sumber berbeza, lalu membentuk satu pandangan dunia hibrid yang dicorakkan oleh pengalaman, kekecewaan, serta ketidakpuasan hati peribadi.
Akibatnya, seseorang individu mungkin akan menerima kandungan agama ekstrem, teori konspirasi, naratif kebencian terhadap wanita, serta mesej antipenguasa secara serentak tanpa mengesan sebarang percanggahan dalam ideologi yang dibentuk.
Meskipun CoVE kini mula mendapat perhatian sebagai satu konsep baharu, para sarjana memberi amaran supaya ia tidak dianggap sebagai satu fenomena yang benar-benar asing.
Penyelidik pengganasan, Profesor John Horgan dan Encik Kurt Shayler berhujah golongan ekstremis sejak sekian lama sudah terbiasa meminjam idea, simbol, serta unsur ketidakpuasan hati daripada pelbagai tradisi ideologi berbeza.
Namun, perbezaan paling ketara pada hari ini ialah faktor persekitaran digital, yang menjadikan proses menggabungkan ideologi ini jauh lebih mudah, pantas, dan terbuka luas.
Internet telah meruntuhkan ‘tembok pemisah’ yang dahulunya mengasingkan masyarakat yang memegang ideologi berbeza ini.
Kini, sesiapa sahaja boleh beralih dengan pantas dari satu ruang maya ke ruang maya yang lain, sambil menerima kandungan daripada pelbagai ekosistem ekstremis tanpa perlu menganggotai mana-mana organisasi rasmi.
Fenomena ini akhirnya melahirkan satu proses radikalisasi yang lebih dinamik, mudah berubah, dan bersifat peribadi.
Kes Cyrus juga membuktikan radikalisasi sebenarnya lebih kerap didorong oleh isu identiti berbanding faktor ideologi semata-mata.
Ramai golongan muda tidak mencari kepercayaan ekstremis secara aktif, sebaliknya, mereka hanya mendambakan makna hidup, hala tuju, rasa kekitaan dan pengiktirafan.
Filem dokumentari saya, Jihad Selfie, yang meneroka kisah perjalanan pejuang asing Indonesia bersama keluarga mereka, mendapati kebanyakan mereka pada mulanya didorong oleh keinginan untuk rasa dihargai, mencari cabaran, identiti, serta rasa kekitaan dalam sesebuah masyarakat, dan bukannya disebabkan oleh hujah ideologi yang rumit.
Dalam hal ini, ideologi sering kali hanya berfungsi sebagai satu wadah untuk meluahkan keperluan emosi tersebut, dan bukannya pendorong utama.
Corak kecenderungan ini tetap relevan pada hari ini.
Golongan muda yang berdepan dengan kesunyian, ketidaktentuan, kekecewaan, atau rasa terpinggir daripada masyarakat, lazimnya lebih rentan apabila terdedah dengan naratif dalam talian yang menawarkan jalan penyelesaian mudah bagi masalah rumit yang dihadapi golongan berkenaan.
Naratif sebegini bertindak menuding jari kepada musuh tertentu, memberi kepastian yang dicari, serta membentuk tujuan hidup.
Justeru itu, CoVE dilihat bukan sekadar menonjolkan komitmen seseorang terhadap satu ideologi semata-mata, malah ia turut mencerminkan bagaimana identiti dibentuk dalam dunia digital yang semakin berpecah-belah.
Selain itu, terdapat satu lagi trend baharu, yang pakar kajian pengganasan – Profesor Adjung Thomas Renard dan Profesor Colin Clarke – gambarkan sebagai ‘pengganasan makanan segera’.
Ia merujuk kepada proses radikalisasi kontemporari yang berlaku dengan lebih pantas, mudah diakses, serta semakin didorong oleh unsur emosi berbanding proses doktrinasi ideologi yang memakan masa lama.
Jika sebelum ini organisasi ekstremis merekrut anggota melalui aktiviti sosial yang panjang, kini mana-mana individu boleh mengakses lambakan kandungan ekstremis dengan sendiri menerusi platform digital.
Malah, kebanyakan ekstremis moden hari ini kurang tertarik kepada doktrin yang konsisten, sebaliknya lebih menyukai tarikan emosi yang ditawarkan oleh naratif ekstremis tersebut.
Perasaan marah, dendam, rasa diri sebagai mangsa keadaan, penghinaan, mengejar status, atau mahu rasa diterima selalunya jauh lebih berkuasa berbanding kefahaman mendalam terhadap sesuatu ideologi.
Faktor ini menjelaskan mengapa ideologi yang saling bercanggah boleh wujud serentak dalam diri seseorang.
Meskipun naratif berbeza menuding jari kepada musuh yang berbeza, ia sering kali mengeksploitasi emosi yang sama, iaitu rasa tidak puas hati dan keterasingan.
Akibatnya, tindakan keganasan mula kelihatan menarik kerana ia menjanjikan pemerkasaan diri, pengiktirafan, serta makna kehidupan yang dicari.
Golongan muda didapati paling rentan dengan fenomena ini memandangkan peringkat umur remaja dan awal dewasa merupakan tempoh kritikal bagi pembentukan identiti diri.
Sepanjang tempoh ini, mereka secara semula jadi akan mencari makna kehidupan, serta ruang untuk diterima dan diiktiraf, dengan sebahagian besar daripada proses tersebut kini berlaku dalam talian.
Algoritma media sosial yang direka khusus untuk memaksimumkan interaksi pengguna pula sering mencadangkan kandungan khusus serta sarat dengan emosi.
Pada masa yang sama, masyarakat dalam talian privet serta platform pesanan tersulit menyediakan ruang pengiktirafan sosial, sekali gus mengukuhkan lagi pandangan ekstrem mereka jauh daripada perhatian masyarakat.
Perkara yang paling penting untuk difahami ialah proses radikalisasi sering kali bermula daripada kerentanan peribadi yang biasa, dan bukannya berpunca daripada pegangan ekstremis sejak awal.
Perasaan sunyi, kekeliruan identiti, keterasingan sosial, kekecewaan, atau kemarahan terhadap isu sejagat memberi ruang kepada naratif ekstremis ini untuk mempengaruhi pemikiran individu yang rentan.
Justeru itu, trend ini bukan sekadar menyerlahkan fahaman yang dipegang golongan muda, malah ia turut menonjolkan bagaimana pegangan tersebut berinteraksi dengan kerentanan diri serta persekitaran digital mereka.
Meskipun Internet kini menjadi wadah utama bagi proses radikalisasi, institusi kekeluargaan tetap kekal sebagai salah satu benteng pertahanan paling ampuh.
Ibu bapa sememangnya tidak mampu dan tidak sepatutnya memantau setiap interaksi dalam talian anak-anak mereka, namun mereka selalunya menjadi golongan pertama yang sedar akan perubahan tingkah laku anak-anak.
Ini termasuk sikap suka berahsia, mula memencilkan diri, gangguan emosi, atau taksub secara keterlaluan terhadap kegiatan dalam talian.
Kebanyakan usaha pemulihan yang berjaya bermula apabila ahli keluarga, adik-beradik, guru, atau rakan-rakan menyedari tanda-tanda amaran awal ini lalu segera mendapatkan bantuan.
Ini menonjolkan kepentingan komunikasi terbuka dalam sesebuah keluarga.
Perbincangan mengenai isu identiti, agama, politik, konflik sejagat, serta pengalaman dalam talian perlu diadakan secara terbuka tanpa rasa takut atau stigma.
Laporan awal kepada pihak berkuasa juga tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk hukuman, sebaliknya ia merupakan satu tanda keprihatinan demi memastikan sokongan serta bantuan sewajarnya dapat diberikan sebelum individu tersebut tersasar lebih jauh.
Melangkah ke hadapan, proses radikalisasi berkemungkinan besar tidak lagi dicorakkan oleh kesetiaan terhadap satu ideologi semata-mata.
Sebaliknya, ancaman ini akan melibatkan gabungan naratif bersifat peribadi, yang dibentuk dalam ekosistem digital.
CoVE menawarkan satu rangka kerja bernilai untuk memahami evolusi ini, dan menyerlahkan satu pengajaran lebih luas iaitu proses radikalisasi kini bersifat lebih peribadi, dipacu oleh emosi, serta semakin sebati dalam kehidupan dalam talian.
Usaha saya menerusi dokumentari Jihad Selfie dan platform media Ruangobrol.id menunjukkan meskipun teknologi dan ideologi terus berkembang, pendorong asas yang menggerakkan individu sebenarnya tetap sama.
Manusia akan sentiasa mencari identiti, rasa diterima, pengiktirafan, serta makna hidup.
Bagi penggubal dasar, pendidik, dan masyarakat, cabaran utama kini bukan sekadar untuk mengenal pasti ideologi ekstremis semata-mata.
Sebaliknya, cabaran sebenar adalah untuk memahami bagaimana persekitaran digital mencorakkan identiti, rasa tidak puas hati, serta kerentanan dalam kalangan golongan muda.
Dalam era CoVE dan ‘pengganasan makanan segera’ ini, persoalan paling kritikal mungkin bukan lagi tentang apa yang dipercayai oleh golongan muda, tetapi mengapa tindakan keganasan mula kelihatan bermakna bagi mereka.
Dr Noor Huda Ismail merupakan Felo Pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan perunding komunikasi strategik bagi Asia Tenggara di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) . Beliau juga merupakan pembuat filem dokumentari ‘Jihad Selfie’, serta pengendali laman web interaktif, www.ruangobrol.id. Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam RSIS Commentary.
“
“Bagi penggubal dasar, pendidik, dan masyarakat, cabaran utama kini bukan sekadar untuk mengenal pasti ideologi ekstremis semata-mata. Sebaliknya, cabaran sebenar adalah untuk memahami bagaimana persekitaran digital mencorakkan identiti, rasa tidak puas hati, serta kerentanan dalam kalangan golongan muda. Dalam era CoVE dan ‘pengganasan makanan segera’ ini, persoalan paling kritikal mungkin bukan lagi tentang apa yang dipercayai oleh golongan muda, tetapi mengapa tindakan keganasan mula kelihatan bermakna bagi mereka.”
