JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang mempertimbangkan untuk memberikan pengampunan kepada anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) selepas ribuan pengikutnya secara terbuka meninggalkan fahaman radikal dan mengumumkan pembubaran kumpulan itu.
Demikian menurut Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Encik Yusril Ihza Mahendra.
“Pemerintah sedang meneliti nama dan data tahanan yang terlibat dalam kegiatan militan,” kata Encik Yusril dalam satu sidang media di Jakarta pada 2 Disember.
Beliau turut menyatakan bahawa pemerintah sedang mempertimbangkan beberapa langkah, termasuk menghentikan penyiasatan ke atas individu yang disyaki masih terlibat dengan JI.
Pengampunan itu dijangka menjadi sebahagian daripada langkah pendamaian untuk memupuk toleransi agama dan kedamaian yang berpanjangan.
“Pengisytiharan ini adalah detik penting untuk menepis dakwaan palsu bahawa Republik Indonesia menentang Islam,” tambah Encik Yusril.
JI yang pernah menjadi ancaman utama di Asia Tenggara, berhasrat mewujudkan ‘khalifah’ serantau dan bertanggungjawab ke atas beberapa serangan maut di Indonesia, termasuk pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan lebih 200 nyawa.
Pada 21 Disember, sekitar 7,000 bekas anggota JI mengambil bahagian dalam satu acara di Solo, Jawa Tengah, secara langsung atau melalui sidang video, untuk menyatakan penolakan mereka terhadap fahaman radikal dan kesetiaan kepada republik Indonesia.
Dalam acara itu, mereka turut mengisytiharkan pembubaran rasmi cabang JI di Indonesia.
Pemerintah juga mempertimbangkan parol atau ‘pembebasan bersyarat’ untuk dua bekas pemimpin JI, Abu Rusdan dan Para Wijayanto.
Abu yang mengetuai JI semasa pengeboman Bali, pernah dipenjara selama tiga tahun pada 2003 kerana melindungi seorang militan.
Dia dipenjara semula pada 2022 kerana terus aktif dalam rangkaian terlarang.
Para yang memimpin JI dari 2009 hingga 2019, dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara pada 2020.
Pakar keselamatan, Encik Adhe Bhakti, menyatakan bahawa langkah parol mencerminkan kerjasama dua bekas pemimpin itu dalam membantu membongkar rangkaian JI yang masih wujud dan memujuk bekas anggota agar menyokong negara.
Pada kemuncaknya, JI dianggap sebagai rangkaian ekstremis paling ditakuti di Asia, dengan sel aktif di Malaysia, Singapura dan Filipina.
Namun, pengaruhnya semakin pudar selepas tindakan tegas pihak berkuasa dan program pemulihan radikalisasi yang berterusan.
Encik Yusril turut memaklumkan bahawa Presiden Prabowo Subianto bercadang memberikan pengampunan kepada golongan muda yang berpotensi menjadi anggota masyarakat yang produktif.
“Insya-Allah, pelaksanaan pengampunan ini akan dimulakan pada awal 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemerintah turut merancang pengampunan untuk banduan lain termasuk pesalah dadah dan aktivis yang dipenjarakan atas tuduhan fitnah, serta memaafkan pesalah rasuah jika mereka memulangkan wang yang dicuri. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg