Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia timbang sekat kebebasan siasatan akhbar, kandungan LGBT

May 23, 2024 | 2:10 PM
siasatan akhbar
Pindaan yang sedang dipertimbangkan, mencetus kebimbangan bahawa wartawan tidak lagi dapat mendedahkan cerita penting seperti rasuah, nepotisme dan jenayah alam sekitar. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Parlimen Indonesia mencadangkan pindaan kepada undang-undang penyiaran, yang akan mengharamkan kewartawanan siasatan dan kandungan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

Usul itu mencetuskan kritikan daripada kumpulan masyarakat sivil dan penerbit filem, berhubung sekatan terhadap kebebasan akhbar dan ekspresi kreatif.

Pindaan kepada undang-undang penyiaran 2002 itu mula dibincangkan pada 2020, tetapi butiran dalam semakan terkini telah mencetuskan kebimbangan, dengan Majlis Akhbar Indonesia berkata ia akan menjejas kebebasan media.

“Kesannya terhadap kebebasan akhbar adalah sangat serius,” kata Encik Arif Zulkifli, ketua bahagian undang-undang dan perundangan majlis akhbar itu.

“Undang-undang akhbar Indonesia mengatakan tidak boleh ada penapisan atau pengharaman kewartawanan. Jadi ini bercanggah.”

Pemerintah masih belum menerima draf rang undang-undang itu, kata menteri komunikasi, Encik Budi Arie Setiadi, kepada Reuters, sambil menambah semakan itu tidak boleh menghalang kebebasan media.

Sekatan yang dirancang terhadap kewartawanan di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, akan menjejas kebebasan bersuara dan kebebasan yang diraih dengan susah payah sejak Indonesia bangkit daripada pemerintahan autoritarian selama berdekad-dekad pada 1998, kata organisasi kewartawanan dan masyarakat sivil.

Rang undang-undang itu tidak memberikan butiran mengenai cadangan larangan pelaporan penyiasatan dan bagaimana ia mungkin berfungsi, tetapi kumpulan wartawan bimbang tentang penapisan.

“Ini bermakna kita sebagai wartawan tidak lagi dapat mendedahkan cerita penting, seperti rasuah, nepotisme dan jenayah alam sekitar,” kata Encik Bayu Wardhana, ketua persatuan wartawan bebas, mengenai rang undang-undang itu.

“Jika rang undang-undang itu dilaksanakan, tidak akan ada kebebasan akhbar,” kata pengerusi Majlis Akhbar Indonesia, Cik Ninik Rahayu, sambil menambah bahawa majlis itu tidak dirujuk semasa proses penggubalan rang undang-undang itu.

Rang undang-undang itu telah mendapat kritikan juga kerana ia bertujuan melarang kandungan yang memaparkan keganasan, mistik, LGBT atau “tingkah laku atau gaya hidup negatif yang berpotensi membahayakan orang ramai”.

Penerbit filem terkemuka, Joko Anwar, menyelar cadangan itu sambil menyifatkannya sebagai “berbahaya” dan “tidak mungkin” untuk dilaksanakan.

Penggubal undang-undang dari Suruhanjaya 1, yang menyelia rang undang-undang tersebut, telah menegaskan semakan rang undang-undang itu masih dalam fasa awal dan tertakluk kepada perubahan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg