Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggubal dasar Indonesia dapat sokongan semak Undang-Undang Mahkamah Perlembagaan

May 23, 2024 | 5:30 AM
Mahkamah Perlembagaan Indonesia
Indonesia bersedia meluluskan semakan kepada undang-undang Mahkamah Perlembagaannya. - Foto AFP

JAKARTA: Para penggubal undang-undang akhirnya mendapat sokongan pemerintah untuk membuat semakan terhadap Undang-Undang Mahkamah Perlembagaan yang disifatkan oleh pengkritik telah membenarkan penggubal dasar mempengaruhi badan kehakiman secara berlebihan.

Dewan Rakyat akan meluluskan rang undang-undang itu dalam mana-mana sidang pleno yang akan datang selepas penggubal undang-undang yang menyelia hal ehwal undang-undang dan wakil pentadbiran Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo bersetuju untuk mengesahkan rang undang-undang itu dalam mesyuarat tertutup yang tidak diumumkan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Encik Sufmi Dasco Ahmad, dari Parti Gerindra, berkata kepada The Jakarta Post bahawa Dewan mungkin meluluskan rang undang-undang itu dalam sidang pleno terdekat, walaupun beliau tidak memberi tarikh.

Seorang lagi anggota suruhanjaya itu, Encik Sarifuddin Sudding, memberitahu agensi berita Reuters bahawa Rang Undang-Undang (RUU) itu sudah dipersetujui, tetapi tarikh untuk ia disahkan belum ditetapkan.

Semasa mesyuarat tertutup sebelum ini, Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Encik Hadi Tjahjanto, menyampaikan persetujuan pemerintah terhadap hasil perbincangan rang undang-undang itu.

“Pemerintah bersetuju untuk meneruskan perbincangan dan membawa rang undang-undang untuk diluluskan dalam mesyuarat pleno,” kata Encik Hadi dalam satu kenyataan akhbar, dengan alasan bahawa beberapa peruntukan yang disemak dalam undang-undang itu akan mengukuhkan lagi peranan mahkamah dalam menjaga Perlembagaan 1945.

Pindaan yang dicadangkan itu termasuk mengurangkan tempoh perkhidmatan hakim dari 15 kepada 10 tahun serta memerlukan mereka yang sudah berkhidmat lebih lima tahun mendapatkan kelulusan dari institusi yang melantik bagi meneruskan perkhidmatan mereka.

“Parlimen dan kerajaan bersetuju dengan rang undang-undang itu dan akan meluluskan pada sesi plenari,” kata Timbalan Ketua Suruhanjaya Parlimen, Encik Adies Kadir, yang bertanggungjawab merangkanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Parlimen.

Namun, usulan pindaan itu telah menerima kritikan hebat daripada beberapa pakar undang-undang.

“Perubahan ini akan merosakkan kebebasan Mahkamah Perlembagaan.

“Niat sebenarnya untuk meletakkan Badan Kehakiman, Mahkamah Perlembagaan, di bawah kawalan Dewan Rakyat dan Presiden,” kata Cik Bivitri Susanti, dari Sekolah Undang-Undang Jentera Indonesia.

Hakim Mahkamah Perlembagaan dilantik oleh Presiden, Parlimen dan Mahkamah Agung.

Semakan itu juga termasuk perubahan kepada komposisi majlis etika yang menyelia mahkamah, mencadangkan penambahan Presiden serta Ahli Parlimen dan Mahkamah Agung.

Indonesia bersedia meluluskan semakan undang-undang Mahkamah Perlembagaannya setelah Mahkamah Perlembagaan Indonesia komited untuk memulihkan kewibawaannya selepas beberapa siri skandal mengikis kepercayaan orang ramai terhadapnya pada 2023.

Mendapatkan semula kepercayaan awam menjadi “satu kemestian”, ikrar Ketua Hakim Negara yang dilantik baru-baru ini, Dr Suhartoyo S.H.

Dr Suhartoyo dilantik sebagai Ketua Hakim pada November 2023 dalam mesyuarat tertutup sembilan Hakim Mahkamah.

Beliau menggantikan Encik Anwar Usman, yang didapati oleh majlis etika mahkamah melakukan “usaha untuk memujuk rakan-rakan hakimnya dan mempengaruhi pendirian mereka” untuk memberi pengecualian kepada had umur minimum 40 tahun bagi calon presiden dan naib presiden Indonesia.

Keputusan itu membuka laluan bagi anak saudaranya, Datuk Bandar Surakarta, Encik Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak Presiden Jokowi, bertanding bagi jawatan naib presiden bersama calon presiden, Encik Prabowo Subianto.

Sejak memegang jawatan tertinggi mahkamah, Dr Suhartoyo berusaha meningkatkan prestasi mahkamah, termasuk dengan mewajibkan semua hakim meletakkan alasan undang-undang di sebalik keputusan mereka secara bertulis.

Mahkamah juga mengurangkan purata masa pemprosesan kes, dari 78 hari pada 2022 kepada 52 hari. Pada 2023, ia menyelesaikan 136 kes, 12 kes lebih banyak dari 2022.

Hakim Mahkamah juga memulakan lawatan media awam untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.

Baru-baru ini, ia membentuk sebuah majlis etika tetap yang mempunyai tiga ahli untuk menyiasat aduan pelanggaran etika yang dilakukan oleh hakim. Sebelum ini, majlis itu dibentuk apabila perlu.

Ahli majlis itu termasuk Hakim Ridwan Mansyur, yang mewakili mahkamah; mantan hakim, Dr I Dewa Gede Palguna yang mewakili kepentingan awam; dan mantan rektor Universiti Andalas, Profesor Dr Yuliandri, yang mewakili perspektif akademik.

Pelantikan mereka dirasmikan pada 8 Januari bagi tempoh setahun hingga 31 Disember 2024.

Dr Suhartoyo melahirkan harapan bahawa usaha itu dapat membantu hakim “memenuhi jangkaan orang ramai”, meningkatkan prestasi mahkamah dan memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi itu.

Tahun 2023 yang penuh skandal menyaksikan persepsi orang ramai terhadap Mahkamah Perlembagaan itu mencecah paras terendah.

Pada Mac 2023, majlis etika sementara mendapati Hakim Guntur Hamzah bersalah melanggar tataetika mahkamah.

Beliau didakwa mengubah, tanpa pengetahuan hakim lain, keputusan mahkamah dan beliau mengeluarkan pendapat bertulisnya mengenai kes hakim dalam jawatan boleh didakwa.

Petisyen itu dikemukakan sebagai maklum balas terhadap kontroversi penyingkiran seorang hakim, Encik Aswanto, oleh Dewan Rakyat.

Encik Aswanto dipecat oleh Dewan pada 2022, tujuh tahun sebelum penggalnya sebagai hakim tamat, walaupun penggubal undang-undang tidak mempunyai kuasa memecat hakim mahkamah, menyebabkan pemerhati melihat penyingkiran itu bermotif politik.

Kepercayaan orang ramai terhadap mahkamah semakin merudum pada Oktober 2023, apabila Ketua Hakim Negara ketika itu, Encik Anwar, campur tangan dalam kes yang akhirnya membolehkan Encik Gibran bertanding jawatan naib presiden. Kumpulan sivil mengecam keputusan mahkamah itu, yang dikatakan didorong politik dan sarat dengan konflik kepentingan.

Timbalan Ketua Hakim Negara, Saldi Isra, yang tidak bersetuju dengan pendapat majoriti, berkata keputusan itu melanggar ‘batas akal’.

Encik Anwar didapati bersalah dan disingkir daripada jawatan kepimpinannya.

Beliau dilarang membuat keputusan mengenai pertikaian pilihan raya hingga akhir penggalnya pada 2028.

Penganalisis berkata kepercayaan orang ramai terhadap keputusan pilihan raya umum akan datang mungkin bergantung kepada pihak atasan dan keupayaan mahkamah memulihkan kewibawaannya.

Tetapi mereka berpendapat bahawa perubahan lebih menyeluruh diperlukan untuk mencapai itu, walaupun sudah ada usaha daripada Dr Suhartoyo dan hakim lain.

Pakar undang-undang perlembagaan Encik Feri Amsari dari Universiti Andalas yang berpangkalan di Padang, berkata:

“Jelas bahawa perubahan yang dicadangkan cuba untuk memecat hakim tertentu yang memperjuangkan Perlembagaan. Tiada siapa yang patut campur tangan dengan cara mahkamah menjalankan tugasnya sebagai jurubahasa tunggal Perlembagaan”.

Beliau menambah bahawa semakan itu tidak membetulkan masalah asas dalam proses pemilihan kehakiman, terutamanya ketiadaan piawaian ketelusan yang mengawal proses itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg