JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia bertindak segera terhadap penemuan enam kes jangkitan mikoplasma pneumoniae di Jakarta, dengan menjalankan siasatan epidemiologi bagi menghentikan penularan dalam kalangan masyarakat.
Kementerian telah meningkatkan tahap waspada terhadap risiko penyakit pernafasan yang kini merebak di utara China dengan beberapa langkah persediaan.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan China menggesa pihak berkuasa tempatan agar menambah bilangan klinik rawatan demam.
Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit di kementerian itu, Encik Maxi Rein Rondonuwu, berkata pada sidang media maya pada 6 Disember, bahawa dua hari lalu kementeriannya telah menerima laporan daripada Pejabat Kesihatan Jakarta berhubung kes tersebut.
“Selepas kami mengesahkannya, buat masa ini terdapat enam kes (jangkitan) mikoplasma pneumoniae yang pernah dirawat kerana penyakit ini pernah wujud sebelum ini,” ujar beliau dipetik agensi berita rasmi Antara.
Menurut Encik Rondonuwu, enam kes jangkitan mikoplasma pneumoniae di Jakarta ditemui pada kanak-kanak berumur tiga hingga 13 tahun.
Daripada kes itu, lima pesakit dilaporkan oleh Hospital Medistra dan seorang pesakit oleh Klinik Wanita dan Kanak-Kanak Jakarta (JWCC).
Langkah berjaga-jaga lain adalah menjalankan pemantauan terhadap makanan, selain kementerian mempunyai sistem pengawasan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (Sari).
Pengawasan ILI dan Sari dijalankan di kemudahan kesihatan peringkat pertama seperti pusat kesihatan masyarakat untuk memantau gejala yang serupa dengan influenza.
Gejala yang dilaporkan adalah serupa dengan radang paru-paru secara umum, seperti berhingus, sesak nafas, dan secara amnya, gejala bermula dengan demam, batuk, sakit kepala, dan sesak nafas yang ringan.
“Bagi kejadian di Hospital Medistra, ada yang dimasukkan ke hospital, dengan dua dimasukkan ke hospital pada 12 dan 25 Oktober, manakala yang lain (menjalani) rawatan pesakit luar pada November,” ujarnya.
Menurut Encik Rondonuwu, berdasarkan ujian makmal di Hospital Medistra, pesakit terbukti dijangkiti mikoplasma pneumoniae, dan Kementerian Kesihatan telah melakukan pemeriksaan silang sampel pesakit di rangkaian makmal pemerintah, yang menghasilkan keputusan serupa.
Beliau berkata berdasarkan laporan harian hospital, semua pesakit telah pulih.
Namun, sebagai susulan kepada kes tersebut, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan epidemiologi terhadap kontak rapat pesakit.
“Pasukan kami masih cuba mendapatkan maklumat tempat anak-anak itu bersekolah. Kami khuatir ia akan merebak di sekolah dan tempat tinggal mereka.
“Maka di situlah kami melakukan campur tangan kerana ia disebarkan melalui titisan yang sangat menular,” katanya.
Walaupun gejalanya secara am ringan, beliau merayu kepada masyarakat supaya terus berwaspada terhadap jangkitan mikoplasma pneumoniae, yang kini kian meningkat di China.
Majlis Negara, Kabinet China memberi amaran kes influenza dijangka meningkat pada musim bunga dan sejuk ini, manakala jangkitan mikoplasma pneumoniae pula akan kekal tinggi di sesetengah kawasan.
Malah, pihaknya turut memberi amaran mengenai risiko perebakan semula jangkitan Covid-19. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg