JAKARTA: Pemerintah Indonesia mencadangkan supaya skim pembiayaan ibadah haji 2027 dikekalkan dengan komposisi 60:40, iaitu 60 peratus dibiayai menerusi manfaat dana haji yang diuruskan Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH), manakala baki 40 peratus ditanggung jemaah melalui Bayaran Perjalanan Ibadah Haji (Bipih).

Cadangan itu dikemukakan sebagai usaha memastikan kos yang perlu ditanggung bakal jemaah kekal berpatutan walaupun kos perkhidmatan haji di Arab Saudi dijangka terus meningkat.

Timbalan III Agensi Komunikasi Pemerintah (Bakom) Indonesia, Encik Kurnia Ramadhana, berkata cadangan berkenaan telah diserahkan kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebagai sebahagian daripada penyediaan Biaya Penyelenggaraan Ibadah Haji (BPIH) 2027.

“Pemerintah mengekalkan cadangan komposisi pembiayaan 60 peratus daripada nilai manfaat hasil pengurusan dana haji oleh BPKH dan 40 peratus daripada bayaran perjalanan ibadah haji yang dibayar jemaah.

“Skim ini bertujuan meringankan beban sebenar bakal jemaah di samping mengurangkan kesan kenaikan kos perkhidmatan haji di Arab Saudi,” katanya pada sidang media di Jakarta, pada 25 Julai.

Beliau berkata persiapan bagi musim haji 2027 dimulakan lebih awal supaya semua proses dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, pemerintah sudah menyediakan garis masa pelaksanaan haji, termasuk penyelarasan dengan jadual rasmi Arab Saudi dan penyediaan cadangan BPIH yang lengkap sebelum dibentangkan kepada DPR.

Selain mengekalkan skim pembiayaan, pemerintah turut merangka pelbagai langkah strategik bagi meningkatkan mutu pengurusan haji 2027.

Antara langkah yang dirancang ialah penyediaan pelaksanaan berdasarkan andaian kuota haji, memperkukuh pemeriksaan kelayakan kesihatan, mempercepat rundingan dengan syarikat penyedia perkhidmatan haji, menyediakan mekanisme pembiayaan sekiranya berlaku kenaikan kos penerbangan serta mempercepat pemindahan pemerintah yang menyokong operasi haji.

Encik Kurnia berkata aspek kesihatan bakal jemaah akan diberi perhatian lebih serius bagi mengurangkan jumlah jemaah yang mengalami masalah kesihatan atau meninggal dunia ketika berada di Tanah Suci.

“Pemeriksaan kelayakan kesihatan atau istithaah akan diperketat bagi mengurangkan jumlah jemaah yang jatuh sakit dan kematian sepanjang musim haji,” katanya.

Pada masa sama, latihan kepada petugas haji di peringkat pusat dan daerah akan diperkukuh bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada jemaah terus meningkat.

Pemerintah juga berikrar menambah baik perkhidmatan kesihatan di Arab Saudi, memperkemas pengurusan penyembelihan dam, selain meningkatkan mutu penginapan, pengangkutan dan penyediaan makanan kepada jemaah.

Pengurusan di Mina turut akan dipertingkat melalui penggunaan kuota haji yang lebih optimum serta proses perolehan perkhidmatan yang lebih cekap dan telus.

“Semua langkah ini mencerminkan komitmen pemerintah untuk memastikan ibadah haji menjadi lebih selamat, selesa dan memenuhi keperluan jemaah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Mochamad Irfan Yusuf, sebelum ini mencadangkan supaya BPIH 2027 dinaikkan kepada 107.3 juta rupiah ($8,350) bagi setiap jemaah, meningkat 19.9 juta rupiah berbanding 87.4 juta rupiah pada musim haji 2026.

Beliau berkata cadangan itu dibuat berdasarkan prinsip kecekapan, peningkatan mutu perkhidmatan dan kelestarian pengurusan ibadah haji.

Menurutnya, pengiraan kos dibuat berdasarkan andaian kadar pertukaran AS$1 ($1.29) bersamaan 17,500 rupiah dan satu Riyal Saudi bersamaan 4,666 rupiah.

Daripada jumlah 107.3 juta itu, sebanyak 60.89 juta rupiah atau 56.73 peratus diperuntukkan bagi kos operasi di Arab Saudi, manakala 46.45 juta rupiah atau 43.27 peratus lagi membabitkan kos operasi di Indonesia, termasuk tambang penerbangan.

Encik Irfan berkata kenaikan kos haji tidak dapat dielakkan berikutan penyusutan nilai rupiah, peningkatan tambang penerbangan, kos penginapan di Makkah dan Madinah, pengangkutan darat, kemudahan kesihatan, penyediaan makanan, pengurusan penginapan di Madinah serta kos tambahan berkaitan visa bagi jemaah gantian.

Cadangan pembiayaan dan kadar BPIH 2027 itu kini menunggu penelitian serta kelulusan DPR sebelum dimuktamadkan bagi musim haji akan datang. – Agensi berita.