Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia bongkar dakwaan tipu dam, badal haji 1.4b rupiah
Indonesia bongkar dakwaan tipu dam, badal haji 1.4b rupiah
Indonesia bongkar dakwaan tipu dam, badal haji 1.4b rupiah
JAKARTA: Kementerian Haji dan Umrah Indonesia mendedahkan dakwaan penipuan melibatkan pembayaran dam dan perkhidmatan badal haji yang dianggar bernilai 1.4 bilion rupiah ($120,000), membabitkan beberapa Kelompok Bimbingan Ibadah Haji dan Umrah (KBIHU) serta warga Indonesia berstatus penduduk tetap atau mukim di Arab Saudi.
Wakil Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata kes itu dibongkar hasil siasatan Pasukan Perlindungan Jemaah Haji Indonesia (PPIH) bersama Konsulat Jeneral Indonesia di Arab Saudi.
Menurut beliau, antara dakwaan utama ialah penipuan berkaitan badal haji untuk kira-kira 140 individu dengan bayaran sekitar 10 juta rupiah bagi setiap anggota jemaah.
“Badal haji itu jelas satu penipuan.
“Untuk haji ‘dakhili’, iaitu pakej haji khas yang hanya dibuka kepada penduduk tempatan atau warga yang menetap di Arab Saudi, kosnya pun sekitar 40 juta rupiah seorang,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah.
“Jadi, mustahil badal haji ditawarkan pada harga 10 juta rupiah seorang. Sudah tentu ini penipuan,” katanya lagi.
Beliau menambah, pihak yang terlibat dipercayai terdiri daripada beberapa individu dalam KBIHU yang bekerjasama dengan mukim di Arab Saudi.
Menurut Encik Dahnil, ramai jemaah Indonesia menjadi mangsa skim tersebut dan pemerintah sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap pihak yang disyaki terbabit.
“Sudah ramai jemaah kita menjadi mangsa. Malam tadi kami sudah menjalankan soal siasat terhadap pihak berkaitan,” katanya.
Selain isu badal haji, pemerintah Indonesia turut mengesan penyelewengan dalam pembayaran dam atau denda ibadah yang wajib dijelaskan oleh jemaah tertentu ketika menunaikan haji.
Encik Dahnil berkata jemaah dikenakan bayaran sebanyak 720 riyal Saudi ($246) bagi dam, namun wang tersebut tidak disalurkan kepada Adahi, iaitu saluran rasmi yang ditetapkan pemerintah Arab Saudi.
Sebaliknya, katanya, wang itu digunakan untuk membeli dam menerusi individu perantara yang menetap di Arab Saudi pada harga sekitar 400 riyal sebelum baki selebihnya diambil sebagai keuntungan.
“Jemaah dikenakan bayaran 720 riyal tetapi tidak dimasukkan ke Adahi.
“Mereka membeli melalui mukim sekitar 400 riyal dan baki wang itu mereka ambil,” katanya.
Kes tersebut mula terbongkar selepas beberapa anggota jemaah membuat aduan kerana tidak menerima resit rasmi daripada Adahi.
“Ramai yang mengalami kerugian. Kes ini bermula daripada aduan jemaah yang tidak menerima resit atau bukti pembayaran rasmi,” katanya.
Beliau menegaskan, pemerintah tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang menjadikan jemaah haji sebagai ‘komoditi keuntungan’.
“Kami tidak boleh membiarkan jemaah dijadikan bahan eksploitasi. Ekosistem perkhidmatan haji yang tidak sihat ini sudah berlaku secara sistematik,” katanya.
Kementerian Haji dan Umrah Indonesia sedang menyediakan tindakan tegas termasuk hukuman pentadbiran, penarikan lesen operasi serta proses jenayah terhadap pihak yang terbukti bersalah.
“Kami akan pastikan pihak yang terbabit dikenakan tindakan pentadbiran, lesen mereka ditarik dan dibawa ke proses jenayah,” kata Encik Dahnil.
Menurutnya, pemerintah Indonesia juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa undang-undang di tanah air memandangkan sebahagian kes berlaku di Arab Saudi.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Indonesia merangkap Ketua Pusat Media Haji PPIH Arab Saudi, Encik Ichsan Marsha, berkata beberapa KBIHU sudah diarah memulangkan wang dam yang dikutip secara tidak sah.
Beliau menambah, terdapat juga KBIHU yang enggan bekerjasama dan sanggup berdepan risiko tindakan pemerintah.
Antara kes yang dikenal pasti termasuk sebuah KBIHU dari Malang, Jawa Timur, yang mengutip bayaran dam daripada 117 anggota jemaah sebelum menyerahkannya kepada mukim.
“Selepas diberikan bimbingan, dana itu berjaya diambil semula daripada mukim dan dibayar kepada Adahi,” katanya.
Satu lagi kes membabitkan KBIHU dari Tegal yang menyerahkan bayaran dam 17 anggota jemaah kepada mukim sebelum wang tersebut akhirnya berjaya dipulangkan dan dibayar melalui saluran rasmi.
Pihak berkuasa turut menyiasat sebuah KBIHU dari Pati, Jawa Tengah, membabitkan 40 anggota jemaah.
Di Nusa Tenggara Barat pula, tiga KBIHU dilaporkan terlibat dalam kes sama melibatkan lebih 140 anggota jemaah.
Menurut Encik Ichsan, dua daripada KBIHU terbabit bersetuju memulangkan wang dan menjelaskan pembayaran kepada Adahi, manakala satu lagi enggan berbuat demikian.
“KBIHU itu menyatakan mereka bersedia menerima segala risiko,” katanya.
Dalam satu kes lain, seorang pengendali KBIHU dikenali sebagai ‘M’ didakwa memperoleh keuntungan sekitar 184.5 juta rupiah hasil kutipan dam daripada 123 anggota jemaah.
Selepas siasatan dijalankan, individu terbabit bersetuju memulangkan keuntungan tersebut kepada jemaah.
Encik Ichsan berkata pembayaran dam wajib mematuhi Surat Pekeliling Nombor 30 2026 yang menetapkan semua pembayaran di Tanah Suci mesti dilakukan melalui Adahi.
“Kerajaan Arab Saudi sudah menetapkan Adahi sebagai institusi rasmi pembayaran dam untuk jemaah dari seluruh dunia termasuk Indonesia,” katanya.
Pemerintah Indonesia menegaskan reformasi pengurusan haji akan diteruskan bagi memastikan ketelusan dan melindungi jemaah daripada penipuan pada masa depan.
Menurut Encik Dahnil, langkah pembaharuan itu mungkin menimbulkan tentangan daripada pihak yang selama ini mengaut keuntungan daripada kelemahan sistem pengurusan haji.
“Tetapi pemerintah bersama Menteri Haji dan Umrah komited membersihkan tatakelola haji demi kepentingan jemaah,” katanya. – Agensi berita.
