JAKARTA: Badan Pusat Statistik (BPS) mengumumkan bahawa kadar kemiskinan nasional Indonesia pada Mac 2025 mencatatkan penurunan kepada 8.47 peratus, bersamaan dengan 23.85 juta orang.
Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.20 juta orang atau 0.10 mata peratusan berbanding September 2024 yang merekodkan kadar 8.57 peratus atau 24.06 juta penduduk miskin.
Timbalan Ketua BPS bidang Statistik Sosial, Encik Ateng Hartono, dalam sidang media di Jakarta berkata: “Kadar kemiskinan di kawasan bandar pada Mac 2025 adalah 6.73 peratus, manakala di luar bandar pula ialah 11.03 peratus.”
Beliau menjelaskan bahawa kadar kemiskinan bandar menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 6.66 peratus pada September 2024.
Sebaliknya, kadar kemiskinan luar bandar menunjukkan penurunan daripada 11.34 peratus sebelum ini.
Menurut Encik Ateng, garis kemiskinan nasional turut meningkat kepada 609,160 rupiah ($50.56) sebulan bagi setiap individu, berbanding 595,242 rupiah pada September 2024.
Di kawasan bandar, garis kemiskinan ialah 629,561 rupiah manakala di kawasan luar bandar ialah 580,349 rupiah.
“Ini bermaksud sesiapa yang membelanjakan kurang daripada 609,160 rupiah sebulan dikategorikan sebagai miskin,” katanya.
Dari segi geografi, majoriti penduduk miskin Indonesia masih tertumpu di Pulau Jawa dengan 12.56 juta orang, atau 52.66 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Sementara itu, Kalimantan mencatatkan jumlah penduduk miskin paling rendah iaitu 0.89 juta orang, hanya sekitar 3.75 peratus daripada keseluruhan penduduk miskin negara.
BPS menjelaskan bahawa data ini diperoleh melalui Tinjauan Sosio-Ekonomi Nasional (Susenas) yang dijalankan pada Februari 2025, bagi mengambil kira bulan Ramadan yang jatuh pada Mac.
Tinjauan tersebut melibatkan lebih 345,000 isi rumah di 38 wilayah dan 514 daerah/kota.
Meskipun masih ramai yang hidup dalam kemiskinan, angka terbaru ini menandakan kadar kemiskinan paling rendah dalam tempoh dua dekad.
Penurunan ini menurut BPS dipengaruhi oleh faktor ekonomi seperti penurunan kadar pengangguran dan pertumbuhan ekonomi yang positif.
“Kadar pengangguran terbuka kita telah menurun sejak Februari 2023 dan kini berada pada paras 4.76 peratus,” kata Encik Ateng.
Tambahnya lagi: “Ekonomi negara berkembang sebanyak 4.87 peratus secara tahunan pada suku pertama 2025, manakala petani pula mendapat keuntungan yang lebih tinggi dengan nilai tukar petani (NTP) mencapai 123.45 mata pada Februari.”
Indeks NTP melebihi 100 mata menunjukkan bahawa petani memperoleh lebihan daripada hasil tani mereka, sekali gus membantu mengurangkan kemiskinan luar bandar.
Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto menyatakan bahawa perkembangan ini seharusnya dijadikan peluang untuk memperkukuhkan ekonomi dan menarik pelaburan baru.
“Dengan kadar kemiskinan yang semakin menurun, kami berharap dasar ekonomi dan pemerintah dapat diteruskan. Kami akan terus mendorong pelaburan yang boleh mencipta peluang pekerjaan,” kata Encik Airlangga kepada pemberita.
Beliau menegaskan bahawa penciptaan pekerjaan merupakan kunci utama untuk menghapuskan kemiskinan secara berkesan dalam jangka panjang. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg